Sunday 21 September 2008

Anak Bentayan



Tajuk Buku : Anak Bentayan
Penulis : Hamdan Raja Abdullah
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 154
ISBN : 983-62-8060-X
Anugerah : Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Sejarah (Kanak-Kanak) DBP 1981

Ulasan :

Seperti juga Terima Kasih Nudra Syafini, Anak Bentayan adalah di antara novel terawal yang saya baca semasa di bangku sekolah rendah. Saya juga mendapatkan buku ini semasa Jualan Gudang Dawama yang baru lalu.

Membaca semula novel ini, seolah-olah membaca kesinambungan cerita Hijab Sang Pencinta oleh Ramlee Awang Murshid kerana cerita ini berlatar belakangkan tahun 1511, ketika Portugis (disebut sebagai Peringgi di dalam novel ini) berjaya menawan dan menduduki Melaka.

Ia mengisahkan kisah perjuangan untuk mendapatkan semula Melaka oleh sekumpulan rakyat yang masih menyokong Sultan Mahmud. Fokus cerita ini adalah pada watak Andak sebagai Anak Bentayan di Kuala Muar, yang baru berusia 14 tahun tetapi sudah mampu untuk mengepalai sekumpulan hulubalang untuk membuat serangan demi serangan. Turut dimasukkan di dalam cerita sejarah ini adalah watak Laksamana Hang Nadim, Bendahara Tepok, Tun Isap, Sang Setia dan beberapa watak sejarah yang seolah-olah ‘hidup’. Ia digarap dengan begitu baik sekali sehingga ke penghujung novel. Wajarlah ia dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kedua Peraduan Menulis Sejarah (Kanak-Kanak) DBP pada tahun 1981.

Pada pendapat saya, buku ini bukan sahaja sesuai dibaca oleh golongan remaja tetapi juga harus dibaca oleh semua golongan bagi mengambil iktibar perjuangan Andak bersama angkatan Sultan Mahmud untuk mendapatkan semula Melaka dan seterusnya memartabatkan semula bangsa Melayu yang telah kehilangan negeri.