Sunday 5 April 2009

Meniti Maut



Judul : Meniti Maut
Penulis : Eyman Hykal
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Halaman : 418 mukasurat
ISBN : 978-983-124-422-7


Menarik dan mengujakan! Itulah kesimpulan yang dapat saya berikan ketika selesai membaca Meniti Maut.

Meniti Maut merupakan buku pertama Eyman Hykal yang saya baca. Ini merupakan karya ketiga beliau setelah Dekat Di Hati dan Ke Mana Hatimu.

Saya tidak pasti bagaimana karya beliau sebelum ini tetapi untuk Meniti Maut, rasanya tidak keterlaluan saya katakan ia merupakan satu karya yang hebat dan mengujakan serta buat kita berfikir panjang. Berfikir tentang adakah apa yang diperkatakan dalam Meniti Maut benar-benar berlaku dalam dunia realiti atau pun tidak. Apa yang saya maksudkan adalah kewujudan economic hitman yang ingin menjajah ekonomi bukan sahaja ekonomi Malaysia tetapi juga cuba mengganggu gugat ekonomi negara-negara Asia yang lain dengan cara ingin menawarkan usahasama perniagaan tetapi sebaliknya cuba menawarkan pinjaman dengan faedah yang berlipat kali ganda bagi menyukarkan bayaran balik dibuat. Setelah syarikat-syarikat yang telah terjebak dalam tipu muslihat economic hitman ini gagal untuk membuat bayaran balik maka syarikat tersebut akan diambil alih seterusnya dijadikan proksi bagi menjalankan kegiatan mereka cuba menawan syarikat lain pula. Dalam novel ini syarikat yang disasarkan mereka untuk dijadikan proksi adalah syarikat Globest Corporation yang dipengerusikan oleh Tan Sri Daud.

Penulis bijak untuk menggabungkan situasi economic hitman ini dengan situasi pejuang Palestin menentang rejim Zionis yang cuba menguasai Palestin dengan cara yang zalim yang juga merupakan dalang di sebalik economic hitman dan jackal (pembunuh upahan). Pada pendapat saya, situasi inilah sebenarnya yang ingin ditonjolkan oleh penulis dan sebagai percubaan untuk menghindari Malaysia daripada terjebak dalam penipuan economic hitman, penulis mewujudkan watak Fariz Zafar sebagai salah seorang anggota BISIK (Biro Risikan Negara) yang ditugaskan untuk menghapuskan Bruce seorang economic hitman dan Tobias seorang jackal melalui operasi Pintas 2 iaitu menangkap dan melarikan sasaran untuk dihantar pulang ke negara asal.

Tambah menarik lagi adalah dengan adanya watak Khaleed al-Nahyan seorang jutawan Arab yang beroperasi di Dubai dan watak adiknya Abu Afdhal. Mereka berdua adalah pejuang Jemaah Intifada' Sedunia (JIS) yang berjuang membela dan mempertahankan Palestin, tanah tumpah darah mereka.

Pertembungan watak Bruce, Tobias, Khaleed dan Abu Afdhal ini dipaparkan begitu menarik sekali dengan penglibatan BISIK untuk memastikan tidak ada kacau-bilau berlaku dengan melaksanakan operasi Pintas 2 terhadap mereka.

Meniti Maut yang agak mendebarkan dan penuh aksi ini di selitkan dengan kisah di antara Faryna, anak kepada Tan Sri Daud dan Fariz yang diarahkan untuk menyamar sebagai pemandu Tan Sri Daud, bagi mengendurkan ketegangan konflik yang ada. Faryna yang pada mulanya digambarkan sebagai gadis yang kasar dan agak biadap beransur berubah watak setelah bertemu dengan Fariz.

Kepada mereka yang gemarkan filem atau cerita aksi, saya sarankan anda jangan lepaskan peluang untuk membaca Meniti Maut.

Secara ringkasnya, berikut adalah beberapa elemen yang menarik tentang Meniti Maut menurut pemerhatian saya :

1. Silent dead - senjata pembunuh menggunakan telefon bimbit (disebut sebagai fonsel dalam novel ini).

2. Teknologi dan strategi perisikan yang biasa dipaparkan dalam filem antarabangsa turut diguna pakai.

3. Penceritaan aksi yang menarik menggambarkan daya imaginasi penulis yang tinggi.

4. Economic hitman dan jackal

5. Jemaah Intifada' Sedunia (JIS)

6. BISIK (Biro Risikan Negara)

Manakala untuk tujuan peningkatan, saya catatkan di sini beberapa perkara yang perlu diperbaiki lagi:

1. Sekiranya 'aku' pada slogan "Aku merempuh hujan peluru di padang yang berlopak darah" pada muka depan novel ini merujuk kepada Fariz, pada pendapat saya slogan ini kurang menepati penceritaan Meniti Maut. Ini adalah kerana Fariz baru sahaja bertugas sebagai anggota BISIK dan ini adalah misi pertama beliau selepas gagal memberkas Mehmoud dalam operasi pemantauan bersama Sharif.

2. Pada akhir sinopsis di bahagian belakang novel ini ada dinyatakan "...Fariz Zafar bukan sahaja mempertaruh nyawanya, malah dia kehilangan mereka yang tersayang!" juga tidak menggambarkan penceritaan Meniti Maut kerana dalam novel ini satu-satunya ahli keluarga Fariz yang ada adalah neneknya Nek Tijah yang tidak menerima sebarang ancaman daripada orang yang diburu Fariz.

3. Faryna dikatakan anak bongsu kepada pasangan Tan Sri Daud dan Puan Sri Salwa tetapi tidak ada pengkisahan yang menceritakan adik-beradik Faryna.

4. Faryna - bertudung atau pun tidak? Tidak ada penceritaan tentang penampilan Faryna. Cuma pada babak beliau berjumpa Fariz bagi menyatakan isi hatinya, beliau digambarkan memakai tudung.

5. Kesilapan teknikal - roti yang dimakan oleh Bruce semasa menculik Faryna adalah sebenarnya kepunyaan Nyonya yang Kelisanya dicuri oleh Bruce dan bukannya milik Faryna.

Syabas diucapkan kepada Eyman Hykal atas kelahiran Meniti Maut dan untuk terus berasa teruja saya akan menantikan pula kemunculan Fariz dengan aksinya dalam tugasan di Thailand. Saya juga mengharapkan agar Eyman Hykal dapat mengetengahkan kisah-kisah aksi seperti kisah seorang wartawan wanita yang dapat membongkar jenayah atau konspirasi politik atau juga kisah aksi orang biasa menjadi hero kebanggaan negara.

Semoga berjaya buat Eyman Hykal!




Untuk melihat komen-komen Meniti Maut yang lain, sila klik di sini.