Wednesday 23 December 2009

Begawan



Judul : Begawan
Penulis : Arena Wati
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 983-62-4909-5
Tahun : 1996

Sememangnya hasil karya Arena Wati adalah antara penulisan yang saya gemari. Ini adalah kerana penulisannya bukan sekadar untuk mengisi masa lapang tetapi lebih kepada menjana pemikiran agar lebih kreatif dan berfikir di luar kotak (think out of the box). Di samping itu, penulisannya juga memerlukan kita untuk lebih berpandangan jauh dan lebih kritis.

Begawan, walau pun ditulis dan dicetak lebih satu abad yang lalu, namun masih relevan pada masa kini. Sebabnya, apa yang diceritakan dalam Begawan merupakan satu kisah yang pernah, sedang dan kemungkinan akan berlaku selagi manusia tidak pupus.

Begawan adalah satu pengkisahan sebuah Kerajaan di bawah kepimpinan Salabu turun-temurun. Bermula dengan mengusahakan ladang kelapa, menjual daging monyet, membuka ladang kuda dengan menjual baka kuda termasuklah kencing kuda, perusahaan Salabu mampu untuk menempa nama di arena antarabangsa. Dengan menghargai sumber alam yang digabungkan dengan kepakaran ahli keluarga Salabuyang dalam pelbagai bidang membolehkan Salabu menceburkan diri dalam perusahaan menternak dan membiak gamat dan pelbagai hasil laut. Hasil laut ini digunakan bukan sahaja dalam bidang perubatan malahan juga dalam bidang kosmetik dengan jenama tempatan iaitu Juwita, mengambil nama anak saudara Salabu.

Namun demikian, sebagai manusia, Salabu juga mempunyai kekurangan dan kelemahan. Kekayaan dan kemasyhuran yang ada tidak mampu untuk memberikan ketenangan kepada Salabu yang sentiasa dibayangi dosa silamnya. Pada peringkat akhir usianya, Salabu masih tidak mendapat kemaafan daripada suami Jora atas kesalahannya menodai Jora seminggu sebelum Jora dan suaminya menikah. Rahsia ini disimpan kemas oleh Salabu tetapi dapat diketahui oleh orang kampung dan adik-beradiknya hanya dengan melihat Johari anak Jora yang mirip wajah Salabu.

Begawan adalah kisah realiti kehidupan yang sememangnya wujud dalam masyarakat kita kini. Manusia sentiasa alpa dan lalai. Bila berada di kemuncak kejayaan, manusia mudah lupa diri sehinggakan lupa akan nilai-nilai murni yang sepatutnya menjadi asas kepada manusia untuk membuat keputusan apabila berada di persimpangan antara betul dan salah, atau hitam dan putih.

Begawan juga mengetengahkan ayat-ayat yang menarik dan perlu untuk kita renungkan bersama seperti :

1. Keputusan hari ini menentukan realiti esok; Orang yang hanya leka berhati-hati, tidak akan sampai ke mana. Rebut peluang! Pegang pimpinan! Kendalikan!; Lebih baik membuat yang tidak sempurna daripada tidak membuat yang sempurna. (Dipetik dari Robert H. Schuller, 1986. Tough Times Never Last, But Tough People Do & Tough Minded Faith for Tender Hearted People).

2. Jangan bunuh impianmu, tapi laksanakan!

3. ... seseorang membuka pangkal bual dalam warung tua milik orang tua di kampung tua itu, yang selalu jadi tumpuan pelanggan lelaki terlalu tua yang sudah tidak produktif, juga telah membosankan anak-anaknya, kerana orang tua mereka liat mati dalam usia tua.

4. ...Pada sebuah kafeteria baru, di pinggir jalan baru, pada sebuah kawasan perindustrian baru, yang dikelilingi perumahan baru, di tepi bandar baru; sekumpulan pemuda tiba dengan motokar baru masing-masing, baru pulang dari tempat kerja mereka, pada beberapa buah kilang milik syarikat baru...

5. ... Yang masih hidup tetapi tidak berbuat apa-apa, tidak ada ertinya kalau dibandingkan dengan yang sudah mati tetapi semasa hidupnya telah berbuat jasa yang besar...

6. ... Ambil secawan ehsan. Adun dengan kasih sayang. Kukus dalam dandang kesabaran. Jerang atas tungku iman kepada Allah. Hidang dalam dulang senyum riang. Suap dengan tangan kemahiran. Kunyah dalam mulut bestari. Maka bergembira dan bersyukurlah, kerana dengan itu engkau telah menikmati rezeki yang direstui Malaikat; untuk engkau bahagia dan mulia seumur hidup...