Saturday 31 March 2018

Legasi Tombiruo


Judul: Legasi Tombiruo
ISBN: 978-967-446-392-2
Halaman: 547

Legasi Tombiruo adalah kesinambungan novel triliguo Tombiruo karya Ramlee sebelum ini. Tiga novel tersebut adalah Tombiruo, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. Legasi Tombiruo ini adalah pelengkap kepada novel triliguo tersebut. Kepada yang belum membaca novel triliguo ini, tidak perlu risau kerana anda masih boleh memahami jalan cerita Legasi Tombiruo kerana pengkisahan imbas kembali membantu anda untuk memahami jalan cerita.

Legasi Tombiruo mengisahkan seorang pembunuh bersiri yang menggelar dirinya sebagai Tombiruo. Tombiruo hutan batu Kuala Lumpur ini melakukan pembunuhan dengan mengenakan topeng dewa untuk menyembunyikan wajahnya. Dia mempunyai kepakaran dan kekuatan tenaga seperti Tombiruo Hutan Keningau iaitu Ejim anak Pondolou atau Amaruddin Abdullah (nama Ejim setelah memeluk Islam). Tombiruo hutan batu ini membunuh mangsanya dengan memancung kepala mereka menggunakan sebilah pedang panjang seperti pedang samurai. Amaruddin yang pada ketika ini telah hidup berumahtangga bersama isterinya Siti Nurhaliz dan anak mereka Suriani, mengalami mimpi dan situasi yang seakan mimpi tapi bukan mimpi menyaksikan pembunuhan yang dilakukan oleh Tombiruo hutan batu melalui pandangan mata Tombiruo ini. Amaruddin menjangkakan seseorang menyamar menjadi Tombiruo dan melakukan pembunuhan kejam. Amaruddin rasa terpanggil sebagai mantan Tombiruo Hutan Keningau, beliau harus memburu pembunuh ini dan menghalangnya untuk terus mengamuk.

Amaruddin berusaha memulihkan tenaga dan kepakaran yang sudah hampir hilang akibat faktor peningkatan usia demi memburu pembunuh kejam ini. Anjakan masa 10 tahun membuatkan Amaruddin sudah tidak seperti dahulu iaitu pada ketika beliau menjaga Hutan Keningau. Semasa pemburun ini, Amaruddin bertemu dengan Sarah dan Diana. Sarah, seorang wartawan jenayah di Sinar Harian manakala Diana adalah seorang peguam syarikat Multi. Sarah dan Diana juga sering mengalami situasi seperti yang dialami oleh Amaruddin iaitu mampu melihat pembunuhan yang dilakukan oleh Tombiruo hutan batu. Mereka kedua-duanya mahir dalam seni mempertahankan diri dan memiliki naluri (instinct) untuk melihat menerusi pandangan mata Tombiruo hutan batu.
Watak yang menjadi tumpuan dalam Legasi Tombiruo adalah Tony, pewaris syarikat Epik, yang diwarisi daripada mendiang ayahnya. Beliau membeli saham syarikat Multi yang dimiliki oleh Durabi. Tony seorang yang dikira kejam di dalam perniagaan kerana beliau dianggap sebagai seorang yang suka memanipulasikan apa juga juga spekulasi dan bijak bermuka-muka dengan kroni politik. Tony seorang ahli perniagaan yang tegas, tidak bertolak-ansur dalam urusnniaga terutama perniagaan yang menjadi saingannya. Polis mengesyaki Tony sebagai pembunuh kejam ini kerana polis mempercayai Tony mempunyai motif untuk membunuh Durabi. Namun, semasa dalam tahanan pihak polis, Tony mengalami situasi pelik apabila perkataan Gui disebut. Tony jatuh, mengalami situasi seperti sawan lalu pengsan. Diana sebagai peguam bela kepada Tony menggunakan situasi Tony ini untuk melepaskan Tony daripada tuduhan membunuh (menslaughter).

Legasi Tombiruo mengajak pembaca bermain teka-teki. Pembaca perlu meneka siapakah Tombiruo hutan batu bertopengkan dewa. Adakah pembunuh bertopengkan dewa ini adalah Sarah, Diana atau Tony atau Piantur (pembantu Diana)? Pembaca juga perlu meneka apakah hubungan di antara Amaruddin, Sarah dan Diana dengan pembunuh kejam ini dan siapakah yang dikatakan sebagai Legasi Tombiruo.

Pada saya, Legasi Tombiruo lebih mengetengahkan kisah ikatan kekeluargaan. Amaruddin, Dr. Wenchu, Linda (isteri Dr. Wenchu) dan Janice Tang (sahabat baik Dr. Wenchu) berada di dalam konflik yang memaksa mereka membuat keputusan yang sukar dibuat dan ikatan kekeluargaan itulah menjadi tunjang untuk mereka membuat keputusan yang terbaik.

Kepada yang meminati genre thriller dan saspens dengan sentuhan kisah kekeluargaan dan agama, anda patut membaca Legasi Tombiruo. 

Selamat membaca Legasi Tombiruo.