Monday 22 October 2018

Pelukis Jalanan


Judul: Pelukis Jalanan
Penulis: Teme Abdullah
ISBN: 978-983-2423-29-4
Tebal: 215 halaman

Ayam Goreng.

Ya, Ayam Goreng merupakan bab di dalam Pelukis Jalanan yang saya paling gemari. Kenapa? Sebab bab ini membuatkan saya menitiskan air mata (saya memang seorang yang cengeng, mudah menitiskan air mata, mungkin tahap empati saya sangat tinggi hehe...). Perasaan sedih dan terharu bercampur-baur. Sedih sebab Teme tidak dapat menjamah ayam goreng yang dibelinya walau pun Teme memang sangat-sangat ingin menjamah ayam goreng tersebut memandangkan telah beberapa lama Teme hanya makan nasi berlaukkan telur dadar dan garam kerana duit belanja tak mencukupi. Terharu kerana ayam goreng yang Teme teringin sangat nak makan tu Teme berikan kepada seorang homeless (gelandangan, orang yang hidup merempat tanpa ada tempat tinggal) di tepi perhentian bas tempat Teme berteduh dari hujan dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.

Berpegang dengan firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud:

"Kamu tidak akan sekali-kali dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

Teme memberikan ayam goreng yang baru dibelinya dan masih hangat kepada gelandangan tersebut kerana Teme melihat dia menitiskan air mata mungkin sebab sedih melihat makanannya sudah bercampur dengan air hujan dan sudah tidak elok untuk dimakan.

Manisnya, setelah memberikan ayam goreng tersebut Teme tidak berasa sedih kerana tidak dapat menikmati ayam goreng tersebut tetapi Teme merasakan satu ketenangan kerana dapat membantu orang lain dengan memberikan satu-satunya benda yang Teme 'sayangi' pada ketika itu.

Ayam Goreng adalah salah satu daripada 11 bab di dalam Pelukis Jalanan. Pelukis Jalanan menceritakan permulaan perjalanan Teme sebagai seorang pelajar di salah sebuah universiti di Kota London dalam bidang architecture (seni bina). Bermula dari kegagalan Teme mendapat markah yang melayakkan Teme mendapat biasiswa penuh sehinggalah kisah survival Teme mengharungi cabaran melengkapkan yuran pengajian, membayar sewa bilik dan perbelanjaan sara hidup.

Setiap bab menceritakan cabaran Teme yang berbeza dan bagaimana Teme berdepan dan menangani cabaran tersebut. Selain Ayam Goreng, ruang Galeri juga menarik perhatian saya.

Pelukis Jalanan mesti dibaca oleh mereka yang inginkan cetusan motivasi untuk terus berjuang merealisasikan impian walau pun menghadapi cabaran yang pelbagai tidak mengira usia kerana tidak ada had umur untuk kita merealisasikan impian masing-masing terutama adik-adik dan anak-anak yang masih kabur dan tidak yakin tentang bagaimana hendak mengenal pasti bakat yang ada, mengasah bakat tersebut dan seterusnya menggunakan bakat tersebut untuk bukan sahaja kepuasan diri sendiri tetapi juga untuk membantu orang lain.

Naskah Pelukis Jalanan tidak tebal, boleh sahaja dihabiskan dalam masa beberapa jam. Sesuai dijadikan hadiah untuk mereka yang ingin memulakan langkah berani merealisasikan impian.

Lebih seronok lagi sekiranya buku ini dibaca secara berantai, seorang akan mulakan membaca sehingga habis dan meurunkan tandatangan dan tarikh habis membaca pada mukasurat kosong di akhir naskah Pelukis Jalanan kemudian passkan buku ini kepada rakan yang lain dan melalui proses yang sama sehinggalah sampai kepada rakan yang terakhir. Selepas itu, bolehlah berkongsi reaksi dan impian masing-masing. Mesti best kan? 

Pelukis Jalanan juga sarat dengan kata-kata semangat dan indah yang boleh djadikan pemangkin motivasi pada ketika anda merasa down. Ini di antara pilihan saya:

"Ia akan kekal dongeng jika engkau tidak mula berjalan."
"Janganlah tengok periuk nasi orang lain untuk dibandingkan dengan periuk nasi kau sendiri. Tapi, tengoklah periuk nasi orang lain untuk pastikan mereka ada cukup makanan. Bersyukurlah dengan rezeki yang Tuhan beri pada kita. Bantu orang lain. Kau akan jadi tenang."
"Jika terlihat kecantikan, ingatlah Penciptanya."

Banyak lagi kata-kata seperti ini anda boleh baca di ruangan Galeri pada akhir naskah Pelukis Jalanan. Galeri memuatkan beberapa lukisan tangan Teme sendiri. Lukisan bangunan-bangunan yang ada di Kota London. Di bawah lukisan ini Teme kongsikan kata-kata indah untuk tatapan pembaca.

Teme memang seorang yang sangat berbakat. Cover buku-buku tulisannya juga adalah hasil lakaran Teme sendiri.

Buku yang nipis, namun memberikan impak besar kepada pembacanya.

Selamat memulakan langkah dengan Pelukis Jalanan kerana ia akan kekal dongeng jika tidak mula berjalan :)