Wednesday 13 March 2019

Impian Jalanan


Judul: Impian Jalanan
Penulis: Teme Abdullah
Penerbit: Iman Publication Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-2423-55-3
Tebal: 347 halaman

Agak lambat untuk saya habiskan Impian Jalanan.Bukan kerana tulisan Teme kali ini tidak menarik namun Babak 1 Impian Jalanan ini begitu menyentuh jiwa saya. Dalam Babak 1 ini Teme menceritakan kisah Ikiy seorang budak berkaca mata yang selalu menjadi ejekan rakan-rakan sekolah kerana berkaca mata dan seorang budak yang belum pandai membaca walau pun sudah masuk Darjah 1. Ada masa saya menitiskan air mata kerana dua sebab. Satu kerana saya sedih dan terlalu empati dengan Ikiy, dua kerana saya terharu dengan semangat juang Ikiy yang walau pun tidak seperti rakan-rakan sekelasnya, Ikiy yang mempunyai bakat melukis mampu mengharumkan nama sekolah dengan memenangi pertandingan melukis poster peringkat daerah. Ikiy kalah beberapa kali sebelum memenangi pertandingan melukis poster. Kekalahan yang banyak memberi pengalaman dan pengajaran buat Ikiy untuk mencuba yang terbaik selepas itu.

Impian Jalanan adalah pelengkap kepada Siri Jalanan tulisan Teme. Tulisan Teme yang ini mengisahkan pengalaman Ikiy sebagai seorang kanak-kanak dalam Babak 1 dan kisah Ikiy setelah tamat pengajian dan dalam dunia pekerjaan dalam Babak 2. Babak 3 pula memaparkan galeri lukisan yang dihasilkan oleh Teme. Menurut kata penerbit, Fatin Syamimy, Impian Jalanan adalah pengisi ruang kosong sebelum dan selepas Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan. Kisah Ikiy adalah kisah kebanyakan kita, orang-orang yang biasa-biasa tetapi mampu untuk melakar kejayaan sendiri yang luar biasa, sebuah kejayaan yang bukan untuk dimegah-megahkan tetapi cukup sekadar mengukur kejayaan sendiri mengikut kemampuan diri. Siapa sangka Ikiy yang dulunya gagap, lambat pandai membaca kini bekerja di Kota London sebagai arkitek.

Apa yang saya suka dalam Babak 1 Impian Jalanan adalah kisah ketabahan dan kesabaran mama Ikiy mendidik Ikiy. Tanpa jemu setiap malam mama Ikiy akan membantu Ikiy untuk belajar membaca menggunakan flash card. Pada masa Ikiy menangis kerana ejekan kawan-kawannya, kecewa kerana tidak dapat keputusan sebaik kakaknya, mama Ikiy sentiasa tenang memberikan kata-kata semangat buat Ikiy. Kisah yang paling saya suka adalah apabila Ikiy berasa sedih dan marah apabila cermin matanya dipatahkan oleh seorang budak perempuan dalam bas semasa balik dari sekolah. Mama Ikiy menggunakan analogi 86,400 aiskrim. Aiskrim adalah kegemaran Ikiy. Mama Ikiy kata, kalau ada orang ambil aiskrim Ikiy sebanyak 10, Ikiy masih ada 86,390 aiskrim, masih banyak. Ikiy tak marah kan? Dalam sehari Allah bagi kita 86,400 saat, orang yang ejek Ikiy tu ambil 10 saat saja dan Ikiy masih ada 86,390 saat, masih banyak. Jadi, tak perlulah Ikiy merosakkan berpuluh-puluh saat yang ada hanya kerana 10 saat yang orang lain dah ambil. Memang sangat deep dan terkesan di hati saya.

Babak 2 Impian Jalanan menceritakan kejayaan Ikiy. Ikiy sedang bekerja di Kota London dengan pendapatan yang lumayan dan mampu membeli kereta mewah. Ikiy seorang yang merendah diri. Ikiy tidak mendedahkan kesenangannya kepada teman wanitanya, Yana. Bagi Ikiy, Yana seorang yang tidak memandang kemewahan dan menerima dirinya seadanya. Namun, tanggapan Ikiy terhadap Yana meleset bila Yana memutuskan hubungan mereka hanya kerana melihat Ikiy datang bertemu keluarganya menggunakan kereta Kenari yang usang. Walau pun Ikiy mempunyai kesenangan yang diimpikan namun Ikiy berasa tidak bahagia. Jauh di sudut hati Ikiy terasa kosong. Bagi Ikiy kemewahan bukanlah kebahagiaan yang dicari. Kebahagiaan adalah ketenangan. Ketenangan itu bagi Ikiy adalah mendapat redha Allah. Ikiy mengambil langkah untuk berkongsi rezeki dan membuat kehidupan orang lain lebih senang. Ikiy berasa satu kepuasan bila dapat membina sebuah jambatan untuk kegunaan jemaah masjid.

Elemen yang paling saya suka dalam Babak 2 adalah hubungan persahabatan di antara Ikiy dan Ahmad. "True friendship isn't being inseparable, it's being separated and nothing changes." Ikiy dan Ahmad jarang bertemu, namun sekali-sekala bertemu mereka akan berkongsi cerita, bertelagah pendapat sedikit dan bergurau untuk menjernihkan keadaan. Rasa tak puas membaca keletah Ikiy dan Ahmad.

Babak 1 dan Babak 2 adalah kisah Ikiy yang berlainan usia. Babak 1 lebih menceritakan keinginan dan perjuangan Ikiy semasa kanak-kanak. Babak 2 adalah kisah Ikiy seorang yang berjaya namun dalam kejayaan itu Ikiy mencari ketenangan. Ketenangan bukanlah pada kemewahan harta dan wang ringgit namun pada rasa syukur dengan apa yang ada. 

Jangan keliru membaca Impian Jalanan kerana Ikiy itu adalah Iskandar. Ikiy adalah nama timangan Iskandar. Tapi adakah Ikiy itu Teme? Haha... Kena baca semua Siri Jalanan untuk tahu itu :)

Saya kongsikan di sini ayat-ayat yang menarik dalam Impian Jalanan yang saya suka:

"You're something but you're actually nothing." 

"Jangan bersedih ketika hilangnya mentari.

Kerana air mata akan menutup pandangan kita dari melihat kilauan seri bintang-bintang. Walau hujan turun membasahi bumi, kita masih boleh menari.

Follow the flow.

Jika hujan, mainlah kapal kertas di saluran.

Jika terang, hidupkanlah api dan sediakan makanan.

Jika banjir, panjat ke tempat tinggi dan nikmati pemandangan.

Jika angin kuat, ikatlah kain di leher lalu berseronoklah menjadi adiwira dalam angan-angan.

Belajar bahagia dengan apa yang ada. Bukan bersedih dengan perkara yang tidak ada. Inilah kunci untuk hidup bebas daripada belenggu dunia."

Rasa nak baca lagi sekali :)

Selamat membaca Impian Jalanan. Tak sabar membaca sambungan Siri Jalanan.