Wednesday 19 February 2020

Sujud Yang Terakhir

Judul: Sujud Yang Terakhir
Penulis: Aizuddin Hamid
Penerbit: Sentap Press Sdn. Bhd.
Halaman: 390 mukasurat
ISBN: 978-967-2118-176

"Pernah tak kamu terfikir, macam mana kalau Allah terus balas 'cash' atas maksiat dan dosa yang kamu buat? Contohnya, kamu suka tengok aurat perempuan, tiba-tiba Allah tarik nikmat mata kamu sampai buta. Tapi, Allah tak buat macam tu sebab Allah nak bagi kamu peluang untuk bertaubat."

Kata-kata dari Malik, salah satu watak dalam Sujud Yang Terakhir ini adalah antara banyak lagi kata-kata sentap yang anda boleh dapati dan jadikan iktibar dalam muhasabah diri.

Sujud Yang Terakhir adalah tulisan Aizuddin Hamid yang pertama saya baca. Saya beli naskah Sujud Yang Terakhir ini di kedai buku MPH semasa saya berada di KL untuk urusan kerja. Seperti biasa, saya suka singgah dan melilau di MPH untuk mendapatkan beberapa buku yang patut saya beli dan baca. Sujud Yang Terakhir pada ketika itu adalah antara best seller, jadi saya membelinya untuk mengetahui kenapa ia menjadi best seller.

Mesej yang disampaikan oleh Aizuddin menerusi Sujud Yang Terakhir adalah mesej dakwah yang cuba disampaikan dalam bentuk santai melalui penceritaan kehidupan yang dilalui oleh watak-watak utama Asyraf dan Malik. Cerita yang straight forward, bermula dengan penceritaan Asyraf bersama mendekati sekumpulan remaja - Aqil, Hafiz, Amirun dan Syauqi yang pada pendapat Asyraf perlukan bimbingan sehinggalah penceritaan Malik dengan Ika yang menghadapi cabaran perhubungan pertunangan namun dapat diselesaikan dengan baik dan akhirnya mereka diijab kabulkan sebagai suami isteri.

Apa yang menarik dalam Sujud Yang Terakhir adalah ia sarat dengan mesej-mesej dakwah yang pada saya wajar diketengahkan untuk difikirkan oleh para pembaca. Kepada yang mencari buku yang mampu menyentap perasaan untuk lebih muhasabah diri, saya sarankan anda membaca Sujud Yang Terakhir.

Isu terkini yang sedang viral juga turut diketengahkan oleh Aizuddin dalam Sujud Yang Terakhir iaitu isu LGBT. Watak Sally atau Salleh diceritakan sebagai seorang pondan yang mencari nafkah dengan 'menjual' diri. Asyraf bertemu dengan Salleh semasa Asyraf bersama dengan Aqil, Hafiz, Amirun dan Syauqi memberi sedekah makanan dan minuman kepada golongan gelandangan. Salleh dipelawa oleh Asyraf untuk mengikuti program "Turn to Allah" dan Salleh bersetuju. Dalam program ini Salleh bersama yang lain berpeluang mendengar tazkirah dan menyemak semula rukun dan adab menyucikan diri dengan berwuduk dan mandi hadas serta mencabar diri dalam aktiviti fizikal. Program seperti ini pada saya wajar diketengahkan bukan sahaja untuk golongan LGBT tetapi juga untuk masyarakat muslim yang lain.

Pada pendapat saya yang menggemari genre thriller dan buku tulisan Teme Abdullah, Sujud Yang Terkahir ini terlalu berat buat saya. Berat kerana hampir keseluruhan penceritaan adalah mesej dakwah. Pengkisahan dan penceritaan yang ada cuma diplotkan dan disampaikan untuk menyampaikan mesej dakwah tersebut. Menjadikan ia sebuah cerita dalam mesej bukan mesej dalam cerita.

Kepada anda yang mencari bahan bacaan yang mampu membuka hati anda, bacalah Sujud Yang Terakhir. Anda juga patut baca Sujud Yang Terakhir untuk mengetahui apa yang dimaksudkan dengan Sujud Yang Terakhir dalam novel islami ini.

Selamat membaca Sujud Yang Terakhir.