Tajuk Buku : The Rise of China and the Demise of the Capitalist World Economy
Pengarang : Minqi Li
Penerbit : Monthly Review Press, New York
Tahun : 2008
Halaman : 208
Harga : RM68.89
Pengulas : Zulkifli Salleh
Pertumbuhan ekonomi China yang dijangka dramatik dan meningkatnya pengaruh geopolitik negara itu membentuk ancaman ekonomi, ketenteraan, dan budaya terhadap Barat.
China muncul sebagai hegemoni dunia pada masa depan. Dalam buku The Rise of China and the Demise of the Capitalist World Economy, pengarangnya Minqi Li menganalisis kuasa ekonomi China yang semakin meningkat dan impaknya terhadap sistem kapitalis global.
Dengan menggabungkan perspektif Marxisme dan teori sistem-dunia, di samping mengkaji batas ekologi untuk pertumbuhan, Li menegaskan bahawa China berkemungkinan memburukkan lagi konflik dalam kapitalisme dunia yang boleh menyebabkan berkuburnya sistem kapitalisme yang wujud kini. Li berhujah bahawa sistem-dunia ini akan berakhir tidak lama lagi dan digantikan oleh beberapa sistem lain.
Buku ini turut menyentuh tentang pengekalan China sebagai wilayah ekonomi terbesar dunia di bawah satu bidang kuasa politik, mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pertiga keluaran dunia kasar. Namun, pada masa yang sama, British sedang memperluaskan geografi ekonomi-dunia kapitalis bagi mewujudkan empayar dunia sebenar. Penaklukan British terhadap India dengan tumbangnya Empayar Moghul pada 1757, ekonomi global berpusat semula di Eropah Barat.
British menunjukkan kekuatan ketenteraannya ke atas China seperti dibuktikan dalam Perang Candu (1839-1842 dan 1856-1860). Selepas Perang Petinju (Boxer War) 1900-1901, China secara keseluruhannya menjadi negara terpinggir daripada ekonomi-dunia kapitalis, sistem perdagangan ufti Asia Timur berkecai sama sekali, dan China menjadi negara kurang berdaulat, iaitu negara separuh kolonial. Beberapa wilayah di China dipecahkan mengikut lingkungan pengaruh kuasa besar dipecahkan mengikut lingkungan pengaruh kuasa besar dunia - Britain, Perancis Jerman, Rusia, Austria, Italy, Amerika Syarikat, dan Jepun.
