Ulasan Buku: Merintis Jarak Ungu Bersama Auntie Purple

Naskah Merintis Jarak Ungu seperti judulnya,
juga berwarna ungu.
"Tiba masanya nanti kita akan jadi secantik pelangi sebangga itu dengan diri kita sendiri."

Tagline ini memancing saya untuk membaca Merintis Jarak Ungu tulisan Auntie Purple. Naskah yang berwarna ungu dan tidak terlalu tebal ini menarik untuk dibaca. Ia adalah sebuah catatan kehidupan Auntie Purple bermula dari remajanya sehingga beliau bergelar content creator di platform Instagram dan Tik Tok.

Saya adalah salah seorang pengikut Auntie Purple di Tik Tok. Content Auntie Purple memang saya nantikan terutama yang menampilkan transition, resepi masakan dan di sebalik tabir pembikinan content beliau.

Merintis Jarak Ungu adalah salah satu kisah kehidupan seorang yang bergelar isteri dan ibu. Saya percaya banyak lagi kisah kehidupan di luar sana yang lebih kurang sama dengan kisah yang dikongsikan oleh Auntie Purple dalam buku ini. Kisah yang memaparkan pelbagai emosi, gembira dan sedih silih berganti.

Di dalam Merintis Jarak Ungu, Auntie Purple berkongsi perjalanan hidup beliau menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ). Cabaran demi cabaran beliau hadapi bermula dari seawal perkahwinan, mengandung, melahirkan sehinggalah kehidupan terkini beliau sebagai content creator.

Bagi saya, perjalanan hidup yang dikongsikan oleh Auntie Purple dalam naskah ini sangat menarik kerana dalam kepayahan mendepani PJJ, Auntie Purple berpeluang untuk menjejak kaki ke tempat yang beliau tidak pernah kunjungi untuk mengikuti suaminya. Auntie Purple berkongsi pengalaman tinggal di Bintulu Sarawak, di Indonesia dan di Dubai. Tidak semua orang mempunyai pengalaman seperti ini. Sememangnya Allah telah mengatur perjalanan setiap kita, ada masa kita merasa pahit namun ada kemanisan di dalam rasa pahit tersebut.

Saya amat kagum dengan Auntie Purple yang sangat cekal mengharungi PJJ. Ada masa beliau menangis, meluahkan perasaan sedih namun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan kehidupan. Beliau sangat bertuah kerana dikelilingi oleh support system yang sentiasa memberikan semangat dan membantu beliau apabila perlu. Support system itu adalah keluarga dan rakan-rakan beliau.

Buku yang setebal 199 mukasurat ini saya baca dalam masa dua hari bila saja ada masa terluang. Terdapat 10 bab semuanya yang mana setiap bab mengisahkan cabaran Auntie Purple di berlainan lokasi kehidupan beliau. Setiap permulaan bab ada diberikan simpulan bahasa dan quotes yang menarik. Saya kongsikan di sini beberapa simpulan bahasa tersebut:
"Seperti enau mencari sigai."
"Berbilang dari esa, mengaji dari alif."
"Sauk menyauk air mandikan diri."
"Setinggi-tinggi melambung, surutnya ke tanah juga."

Auntie Purple juga turut berkongsi perihal anak-anak beliau. Irdina, anak sulungnya, seorang yang mampu berdikari. Irfan anak kedua adalah anak yang istimewa yang memerlukan perhatian lebih. Irdina banyak membantu ibunya dalam menjaga Irfan. Manakala anak yang ketiga, Irsa, sempat bersekolah di Indonesia semasa ayahnya bekerja di sana. Sedap nama anak-anak Auntie Purple :)

Pengalaman Auntie Purple keguguran kandungan yang ketiga juga turut dikongsikan. Pada masa kejadian, Auntie Purple hanya berseorangan di rumah. Beliau menyambut janin anaknya sendirian, menggunting tali pusat dan menghubungi rakan sekerjanya, Nor untuk membawanya ke hospital. Rasa ngilu bila baca bab ni :(

Auntie Purple juga turut berkongsi pengalaman dikuarantin ketika balik dari Indonesia semasa pandemik covid-19. Beliau dan Irsa dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin di Melaka sebelum balik ke rumah mereka di Kuala Lumpur.

Saya kongsikan di sini beberapa petikan dari Merintis Jarak Ungu yang saya suka:

"Sedangkan kita manusia ini diizinkan untuk menangis. Dibolehkan untuk merasa takut. Tidak ditegah untuk merasa lemah. Kita tidak selamanya kuat, tidak selalunya hebat. Berpura-puralah seketika, tidak mengapa. Tertawalah dalam kepuraan asal sahaja diri kita masih kuat bertahan."
"Kerja Tuhan ini bukan boleh diambil alih oleh manusia. Rezeki setiap makhluk di dunia ini dijaga oleh Allah dan ia sudah diatur dan dijamin oleh Nya."
"Paling utama jangan bandingkan diri kita, hidup kita ini dengan orang lain. Bila kita mula membanding dengan kesenangan orang lain, rasa bersyukur itu akan berkurang sedangkan rasa bersyukur itu bisa membuat hidup ini tenang."
"Ibu-ibu, kita kuat, masih belum terlambat untuk menjadi hebat."
"Ibu-ibu, kita mampu, masih belum terlewat untuk mengejar impianmu."
"Ibu-ibu, kita gagah, masih cukup waktu untuk diasah."


Rekod Auntie Purple sebagai content creator juga cukup membanggakan. Beliau pernah dicalonkan sebagai Tiktok Creator Of The Year 2023 sebaris dengan Khairul Aming, Lawyer Gandhi, Ceddy, Boss James dan Sally. Salah satu content beliau juga pernah meraih jutaan views merentasi fyp Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Singapura.

Untuk penambahbaikan cetakan pada masa akan datang, sedikit editing perlu dibuat kerana saya sering menemui perkataan yang berulang-ulang dalam satu ayat membuatkan pembacaan saya terganggu kerana terpaksa membaca ayat tersebut semula untuk memahami apa yang cuba disampaikan.

Buku ini juga wajar didaftarkan di dalam Goodreads. Saya telah beberapa kali mencari judul Merentas Jarak Ungu di dalam Goodreads tapi tidak berhasil.

Pembelian Merintis Jarak Ungu ada disertakan
penanda buku



Pada pendapat saya, Merentas Jarak Ungu mesti dibaca oleh para wanita di luar sana termasuklah para remaja. Mereka harus tahu bahawa perkahwinan adalah satu perjalanan kehidupan yang sebenar tidak seperti masa bercinta, semuanya nampak indah sahaja. Alam perkahwinan adalah penentu kuat atau tidak mental seseorang wanita. Kekuatan fizikal boleh sahaja dilentur, namun kekuatan mental itu memerlukan jati diri yang tinggi dan kekuatan iman yang kental untuk terus bangun setiap kali jatuh.

Anda juga harus membaca buku ini untuk mengetahui bagaimana seorang yang bernama Noor Suhaili binti Mohamed Amin digelar Auntie Purple.

Terima kasih Auntie Purple kerana berkongsi kisah kehidupan yang bagi saya wajar dijadikan motivasi. Saya doakan Auntie Purple terus memberikan inspirasi bukan sahaja melalui penulisan tetapi juga melalui content yang dihasilkan.

Membaca karya Auntie Purple ini sambil ditemani lagu Nikmati Perjalanannya dendangan Chintya Gabriella tambah memberikan impak kepada bacaan saya. Bait-bait liriknya memang selari dengan Merintis Jarak Ungu. 
"Bukan untuk menang kalah;
Tapi tentang bagaimana;
Kau bangkit berkali kalinya;
Sebesar apa pun hasilnya;
Nikmati perjalanannya..." 

Berbaloikah untuk membeli Merintis Jarak Ungu? Bagi anda yang memerlukan suntikan motivasi untuk terus bersemangat mengharungi alam perkahwinan, bolehlah membeli buku ini. Anda boleh membacanya ketika kekuatan mental anda pada tahap rendah.

Selamat membaca Merintis Jarak Ungu :)


Judul: Merintis Jarak Ungu
Penulis: Noor Suhaili binti Mohamed Amin
ISBN: 978-629-99355-2-0
Halaman: 199 mukasurat