Judul: Magis
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-124-893-5
Halaman: 512
Magis mengisahkan lima watak hero dalam novel-novel Ramlee Awang Murshid dipertemukan dalam satu ruang dimensi "hujung waktu". Watak-watak tersebut adalah Saifudin atau Laksamana Sunan, Ejim (Tombiruo), Mikhail, Ryu-Watanabe dan Carlos. Pengkisahan yang teratur memudahkan pembacaan. Bahagian awal Magis mengisahkan watak-watak ini menjalani kehidupan masing-masing pada tempat dan masa (tahun) yang berbeza. Fenomena halo membawa mereka ke satu dimensi dunia akhir zaman, pada ketika dunia dikuasai oleh satu kuasa yang menganggap dirinya Tuhan.
Saifudin merentas masa dari tahun 1540. Mengalami situasi halo ketika berada di Negeri Kayangan Bumi, berperang dengan tentera Raja Siam yang diketuai oleh Trang. Ejim pula merentasi masa dari tahun 1990 ketika berada di Hutan Keningau. Manakala Mikhail mengalami situasi halo ketika melarikan diri dari tawanan Haluk di Istanbul, Turki pada tahun 2008. Ryu-Watanabe merentas masa dari tahun 2007 melalui situasi halo ketika terjun dari bangunan ketika menghadapi situasi sukar dengan kuncu-kuncu Kobun, ketua Yakuza Jiro dan Carlos pada tahun 2025 pula menghadapi situasi halo ketika jatuh akibat dilanggar lari oleh Jamil kerana dendam.
Mereka berlima merentas masa ke dunia "hujung waktu" dan melalui pengalaman yang berbeza. Saifudin dan Ejim terjebak di Buyuk Rimsiz/Hujung Waktu, Mikhail dan Ryu-Watanabe terjebak di Buyuk Docia/Hujung Waktu manakala Carlos pula terjebak di Buyuk Bulsinatur/Hujung Waktu, tempat di mana Tuan Turak, Raja akhir zaman yang menakluk dunia kecuali Mekah dan Madinah. Tuan Turak sangat berkuasa, dia boleh menghidupkan orang yang mati, boleh memberikan Cinnie (pendamping Carlos) tangan yang baru setelah tangan Cinnie dicantas, boleh membinasakan wilayah Tur-Kus kerana enggan tunduk kepadanya dan setelah Tur-Kus akur, dengan sekelip mata Tuan Turak memakmurkan Tur-Kus.
Tur-Kus sebuah wilayah jajahan Tuan Turak adalah sebuah wilayah yang maju. Mempunyai banyak bangunan pencakar langit dan kenderaan yang boleh terapung di udara. Di sinilah Ejim terperangkap oleh Juvia, anak Gabenor Tur-Kus. Ejim dalam dimensi ini digambarkan sebagai seorang lelaki kacak tidak seperti rupanya semasa di Hutan Keningau. Juvia melayani Ejim sebaiknya, dari ranjang sehinggalah pakaian dan perhiasan diri yang mewah. Ejim tidak mengetahui bahawa semua itu adalah perangkap. Ejim adalah salah seorang lelaki yang diperangkap Juvia untuk tujuan kajian oleh Professor Zeedus. Bahan kajian seperti Ejim akan melalui pembiusan otak dan seterusnya dijadikan pejuang Tur-Kus untuk berperang mempertahankan Tur-Kus.
Mikhail melalui pengalaman luar biasa bersama kawanan dubuk di Buyuk Docia. Setelah cedera akibat gigitan seekor dubuk, Mikhail mampu untuk berkomunikasi dengan kawanan dubuk. Dubuk-dubuk ini dikawal oleh seorang pengembala iaitu Biyin. Dubuk-dubuk itu tidak menyukai Biyin lalu meminta Mikhail untuk menghapuskan Biyin dan mengambil wisel kepunyaan Biyin, wisel yang mengawal mereka untuk terus patuh pada Biyin.
Ryu-Watanabe pula tergelincir dan terperosok ke dalam tanah dan bertemu dengan orang-orang Memalik yang diketuai oleh Adid. Penempatan di bawah tanah ini diberi nama Derinkuyu. Orang-orang Memalik bersembunyi di sini untuk mengelakkan daripada dikesan oleh musuh iaitu orang-orang Tur-Kus dan Tuan Turak.
Carlos di dalam Magis mempunyai watak hitam dan putih. Carlos merupakan watak hitam manakala Bilal Piut adalah watak putih. Carlos dan Bilal Piut silih-berganti bertukar watak. Setelah penyingkiran watak putih iaitu Bilal Piut dalam diri Carlos, Carlos dijadikan ketua pejuang tentera Tuan Turak. Namun, Jeneral Karanlik tidak berpuas hati dengan perlantikan ini dan menyimpan dendam untuk menghapuskan Carlos dan Cinnie (pendamping Carlos).
Ketika dalam perjalanan Saifudin menuju ke arah matahari terbenam mencari "kiblat", Saifudin bertemu dengan Syeikh Thauban ketika memasuki sebuah masjid di Buyuk Docia. Syeikh Thauban mengetahui bahawa Saifudin adalah pengembara yang merentasi masa. Pada ketika Saifudin berada di dalam masjid inilah Carlos datang menyerang dan di sinilah bermula aksi Magis.
Magis sangat menghiburkan untuk dibaca kerana ia menggabungkan tema aksi, futuristik dan juga islami. Penceritaan yang teratur - sebelum, semasa dan selepas, memudahkan pembaca memahami jalan cerita. Ramlee menyampaikan pesanan bahawa kiamat itu semakin hampir, dunia ini sudah terlalu tua, ramai manusia sudah "gila" dunia dan melupakan Tuhan. Di dalam Magis, Ramlee menggabungkan fiksyen dan ilmiah sebaik mungkin agar ia kelihatan selari.
Apa yang saya suka tentang Magis adalah apabila lima hero ini dipertemukan di dalam satu pertempuran di antara tentera Tuan Turak dan orang-orang Memalik. Peceritaan aksi yang cukup baik seperti menonton filem kisah perang. Membawa aksi pertarungan di dalam novel memang agak sukar berbanding di dalam filem. Pembaca akan membuat imaginasi sendiri mengikut apa yang digambarkan oleh penulis. Ramlee menceritakan susana perang dengan aksi-aksi tersebut dengan baik sekali.
Di dalam dunia "hujung waktu", Saifudin dan Mikhail sering diintai dan diperhatikan oleh seorang perempuan berkelubung memakai tongkat berwajah mengerikan. Perempuan ini adalah gambaran dunia itu sendiri, dunia yang manusia sanggup berbunuhan antara satu sama lain, berputus hubungan, berhasad dengki, marah-memarahi dan tipu-menipu.
Sekiranya anda meminati cerita yang luar biasa, aksi, saspen, futuristik dan islami, anda patut membaca Magis.