Anding Ayangan

Judul: Anding Ayangan
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
ISBN: 978-967-446-317-5
Halaman: 502

Membaca sinopsis Anding Ayangan membuatkan saya sangat teruja untuk membaca novel ini kerana ceritanya berlatarkan pekan Papar yang merupakan tempat lahir dan tempat tinggal saya. Karya Ramlee yang ini banyak diwarnai oleh bahasa Brunei Sabah yang juga sangat menarik perhatian saya untuk membaca. Saya bukan berbangsa Brunei tapi tidak menjadi masalah untuk saya memahami dan bertutur dalam bahasa Brunei, itulah keunikan dibesarkan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai suku dan bangsa. Kepada yang tidak tahu berbahasa Brunei, jangan risau kerana glosari ada disediakan di bahagian akhir naskah.

Anding Ayangan mengisahkan dua kerajaan iaitu kerajaan Anding dan kerajaan Ayangan pada tahun 1414H. Kerajaan Ayangan percaya Tuhan yang satu manakala Anding meyakini Allah Yang Maha Esa. Tuhan yang satu di sini saya kira lebih mirip kepada pendekatan Syiah manakala kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa merujuk kepada Sunni. Penceritaan, penerangan dan perdebatan di antara Syiah dan Sunni diketengahkan dalam bentuk santai dan mudah difahami.

Kerajaan Ayangan yang diperintah oleh Raja Tabakbauta' merupakan sebuah kerajaan yang digeruni dan sangat berkuasa pada zamannya. Ayangan telah menguasai dan menakluk semua wilayah kecuali Anding. Anding yang meyakini Allah Yang Maha Esa sangat ampuh dan sukar untuk ditumbangkan. Setiap kali percubaan untuk memasuki Anding, bala tentera Ayangan akan tumpas ketika melalui tembok bertampik yang merupakan benteng kuat Anding. Bala tentera Ayangan akan hancur lebur apabila melalui tembok bertampik tersebut.

Setelah banyak kali percubaan menumbangkan Anding, akhirnya Anding tumpas juga kepada Ayangan. Ayangan mengupah orang dalaman Anding menjadi munafik untuk menghasut penduduk Anding untuk melupakan masjid dan amalan-amalan yang lain sehingga melumpuhkan tembok bertampik. Kelemahan inilah yang memberi ruang kepada Ayangan untuk memasuki Anding.

Kisah Anding dan Ayangan ini diceritakan oleh Nyian (masa kini), seorang yang telah ditemui terapung di Sungai Papar. Nyian yang tidak mengetahui asal-usulnya (lupa ingatan) mengisahkan dongeng Anding Ayangan ini kepada Damit dan Buntak tanpa menyedari penceritaannya itu benar-benar berlaku di dunia sebelah sana. Saya sebenarnya meneka-neka sendiri siapa Nyian yang sebenar dalam kisah dongeng Anding Ayangan. Saya kuat mengatakan bahawa Nyian adalah Betatar, putera Raja Tabakbauta' namun tekaan saya silap apabila di penghujung cerita ketika Nyian dan Damit memasuki relung masa 1438H (beza 24 tahun sejak tahun 1414H) dan Betatar memasuki relung masa kini, dikisahkan bahawa sebenarnya Damit dan Betatar mempunyai rupa yang seiras.

Keterujaan saya membaca Anding Ayangan adalah pada bahagian akhir novel ini apabila Betatar yang seiras Damit memasuki relung masa kini dan bertemu mata dengan Datuk Johar. Datuk Johar merupakan seorang ahli politik yang amat dikenali di daerah Papar kerana kemurahan hatinya membantu masyarakat sekitar Papar tidak kira majlis keraian atau ada kematian/kesusahan, Datuk Johar akan datang menziarah dan menghulurkan bantuan. Di sisi lain pula, Datuk Johar merupakan seorang yang tidak disenangi oleh ahli keluarganya dan hidup sendirian di banglonya di Pantai Manis. Kesukaannya Datuk Johar adalah mandi di dalam bath tub berjam-jam sama seperti Raja Tabakbauta' yang diceritakan oleh Nyian dalam dongeng Anding Ayangan untuk tujuan penyembuhan.

Kepada yang sudah membaca Anding Ayangan mesti berasa kecewa kerana cerita ini tergantung. Banyak persoalan yang belum dirungkaikan. Saya sendiri kecewa namun saya percaya pengakhiran Anding Ayangan sebenarnya permulaan kepada yang baru. Siapa sebenarnya di sebalik Raja Tabakbauta' dan Raja Suir (pemerintah Laut Selatan yang memisahkan Ayangan dan Anding), apakah kesudahan Nyian dan Damit yang memasuki relung masa 1438H yang menemui Chahaya (anak Penghulu Sunni, pemerintah Anding) di Pulau Chermin, apakah kesudahan Betatar yang akhirnya bersua muka dengan Datuk Johar? Kena tunggu sambungan Anding Ayanganlah jawabnya :)

Ramlee sekali lagi menggunakan plot merentasi relung masa di dalam Anding Ayangan seperti di dalam Bagaikan Puteri, Fiksyen 302 dan Magis (setakat yang saya baca, ada beberapa karya Ramlee lagi yang belum saya baca). Walau pun digunakan banyak kali namun saya masih teruja membaca karya dengan plot ini kerana banyak persoalan akan timbul dan membuat saya berteka-teki sendiri tentang siapa, apa, bagaimana dan kenapa. Sebab itulah saya sukakan genre thriller :)

Kepada yang meminati genre thriller, islami dan cinta, saya sarankan untuk anda membaca Anding Ayangan.