Wednesday 27 August 2008

Ayat-Ayat Cinta



Tajuk Buku : Ayat-Ayat Cinta
Penulis : Habiburrahman El-Shirazy
Penerbit : Al-Risalah Product Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 510
ISBN : 983-2672-36-8

Sinopsis :

Buku ini mengisahkan kehidupan seorang penuntut Sarjana di Universiti Al-Azhar Mesir bernama Fahri yang berasal dari Indonesia. Cerita berkisar tentang kehidupan beliau di dalam rumah sewa bersama-sama teman, kisah jiran tetangga, kisah guru-guru beliau sehinggalah kisah perkahwinan beliau dengan Aisha. Keseronokan membaca novel ini ditambahkan pula dengan kisah beliau difitnah memperkosa Noura, jirannya dan juga telah jatuh cinta padanya. Dugaan buat beliau juga datang ketika menerima surat daripada Nurul, seorang mahasisiwi Indonesia beberapa jam sebelum beliau mengahwini Aisha.

Kesabaran beliau juga diuji semasa jatuh sakit sehingga terpaksa berada di hospital dan keperitan beliau semasa berada di penjara semasa disoal-siasat oleh pihak berkuasa Mesir. Berkat doa dan kesabaran Fahri, isterinya dan orang-orang yang dekat dan sayang padanya, beliau terlepas daripada fitnah Noura. Bukti yang kukuh yang mampu membuktikan beliau tidak bersalah adalah kenyataan Maria yang sebenarnya ada bersama Noura pada malam kejadian Noura dihalau keluar oleh bapa dan kakaknya.

Maria adalah seorang gadis Mesir, jiran Fahri yang kebetulan biliknya terletak di atas bilik Fahri juga secara diam-diam jatuh cinta pada Fahri sehingga Maria jatuh sakit dan koma di hospital sehinggalah Fahri bernikah dengan Maria sebagai tujuan terapi bagi menyedarkan Maria daripada koma dan dengan harapan Maria boleh memberikan keterangan di mahkamah membuktikan Fahri tidak bersalah. Pengakhiran cerita agak sedih dan gembira, sedih - Maria kembali ke rahmatullah, gembira - Maria meninggal setelah beliau melafazkan dua kalimah syahadat.

Ulasan :

Buku ini berkisar tentang tema cinta - cinta kepada ilmu, cinta pada sesama manusia dan cinta pada yang Maha Agung Allah Azza Wajalla. Kekuatan buku ini adalah pada watak Fahri yang pada saya adalah seorang lelaki yang begitu tetap imannya dan dalam ilmu agamanya sehingga ketika beliau menyampaikan sesuatu mesti dengan fakta dan bukti Al-Qur'an, Hadis dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tidak ketinggalan juga fakta yang beliau ambil melalui pembacaan beliau menerusi buku-buku karya para ulama terkemuka dan penulis buku motivasi yang terkenal. Wajar kiranya buku ini dikira sebagai karya Pembangun Jiwa sebab dewasa ini amat jarang kita temui buku-buku seperti ini. Saya amat menyarankan agar sesiapa juga membaca buku ini.