Friday 5 September 2008

Salju Sakinah



Tajuk Buku : Salju Sakinah
Penulis : Zaid Akhtar
Penerbit : PTS Millennia Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 559
ISBN : 978-983-3604-41-8


Sinopsis :

Sajlu Sakinah berkisar tentang kehidupan seorang pelajar Malaysia di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan bernama Sumayyah. Sumayyah adalah seorang pelajar yang pintar dan cemerlang. Kehidupan harian beliau bersama dengan teman serumah beliau - Hakimah dan Fatihah, serta rakan karib beliau - Izzati yang juga menuntut di universiti yang sama begitu bermakna sekali kerana mereka saling menghormati di antara satu sama lain walau pun mereka sering usik-mengusik sesama sendiri.

Begitu juga ketika Sumayyah dilanda kemurungan sejak menerima surat daripada teman lelaki beliau di Mesir yang memutuskan hubungan mereka. Rakan-rakan beliaulah yang membantu menguatkan semangat Sumayyah agar lebih tabah dan sabar di dalam mengharungi ujian tersebut. Sumayyah seorang gadis yang bukan sahaja teguh imannya, pintar di dalam pelajaran tetapi beliau juga aktif dan berketrampilan di dalam arena pengucapan awam.

Beliau pernah digandingkan sebagai panel penceramah di dalam satu majlis ilmu anjuran PERMAYA - persatuan pelajar Malaysia di Jordan bersama-sama dengan Naufal dan Hakimi. Sumayyah agak terkejut bila bersemuka dengan Naufal kerana Naufallah orangnya yang menegur beliau kerana keluar lewat malam beberapa hari sebelum itu. Namun, Sumayyah membalas teguran Naufal dengan menyatakan bahawa beliau mempunyai urusan penting dan tidak dapat dielakkan untuk tidak keluar malam pada malam tersebut. Tambah memalukan lagi apabila Sumayyah tertinggal dompet dan tidak mempunyai wang sesen pun untuk membayar tambang. Nasibnya baik apabila Naufal telah pun membayarkan tambang bas untuk beliau.

Sekembali Sumayyah ke Malaysia setelah selesai menduduki peperiksaan akhir, beliau amat berdukacita kerana ayah beliau telah kembali ke Rahmatullah semasa beliau masih berada di Jordan. Di atas amanah / wasiat ayah Sumayyah, Sumayyah menguruskan perniagaan kerepek ayahnya di kampung. Nasib beliau baik kerana kebanyakan urusan perniagaan turut dibantu oleh Muazam pembantu ayah beliau yang cukup cekap melaksanakan tugas. Di samping menguruskan perniagaan, Sumayyah juga bergiat aktif di dalam aktiviti kemasyarakatan seperti memberikan ceramah agama kepada kaum ibu / wanita di kampung-kampung berdekatan dan juga kampung beliau sendiri.

Kredibiliti Sumayyah tercabar apabila terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran yang datang - konflik keluarga, difitnah, dilamar dan kegagalan beliau untuk lulus satu mata pelajaran yang menyebabkan beliau terpaksa datang semula ke Jordan untuk satu semester lagi.

Berkat kesabaran dan keteguhan kepercayaan kepada Allah - setiap yang berlaku ada hikmahnya. Beliau datang semula ke Jordan dan bertemu kembali dengan rakan-rakan serumah beliau dahulu dan yang paling beliau tidak sangka adalah apabila beliau dilamar oleh Naufal. Beliau menerima lamaran Naufal setelah membuat Solat Istikharah dan mendapat restu ibu beliau di kampung. Naufal menikahi Sumayyah dan menghadiahkan Sumayyah dengan bulan madu mengerjakan haji.


Ulasan :

Novel ini begitu santai dan menyenangkan sesiapa yang membacanya. Watak Sumayyah begitu berkesan sekali sebagai seorang muslimah, seorang anak dan seorang pelajar yang berdedikasi. Keperibadian Sumayyah harus dicontohi oleh golongan remaja wanita dan wanita itu sendiri.

Kredibiliti beliau semasa menghadapi konflik dan cabaran berjaya dipaparkan dengan baik sekali. Apa yang kurang menyelesakan apabila membaca buku ini adalah glosari Bahasa Arab yang kurang. Memang penulis menyediakan glosari namun tidak semua Bahasa Arab yang digunakan di dalam novel ini terkandung di dalam glosari tersebut. Adalah diharapkan kekurangan ini dapat dibaiki di dalam cetakan-cetakan pada masa akan datang.

Klik di sini untuk ke blog Salju Sakinah.