Thursday 11 September 2008

Ketika Cinta Bertasbih 1




Tajuk Buku : Ketika Cinta Bertasbih 1
Penulis : Habiburrahman El-Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 484
ISBN : 978-983-2672-54-8

Sinopsis :

Azzam seorang mahasiswa Al-Azhar yang juga seorang anak yatim dan seorang abang kepada tiga adik perempuan berusaha untuk menghabiskan pengajian beliau yang sudah masuk tahun keenam di Al-Azhar.

Azzam seorang pelajar yang pintar tetapi oleh kerana rasa bertanggungjawab untuk menyara ibunya di Indonesia dan membiayai persekolahan tiga adik perempuannya setelah ayahnya meninggal dunia memaksa Azzam melengahkan pengajian dengan hanya mengambil sedikit mata pelajaran setiap semester sambil berniaga di Mesir.

Berkat kesabaran dan ketekunan beliau, akhirnya beliau berjaya juga menamatkan pengajian beliau. Dua daripada tiga adik beliau telah berjaya menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan yang selesa.

Adik Azzam mendesak agar beliau segera bernikah tetapi Azzam belum menemui calon yang sesuai dan berasa sedikit tawar hati setelah pinangan beliau tidak diterima oleh bapa saudara Anna Althafunnisa kerana Anna telah pun dipinang oleh sahabat beliau sendiri – Furqan.

Ulasan :

Cerita ini amat sesuai dibaca oleh semua peringkat umur terutama sekali mereka yang memerlukan dorongan motivasi yang tinggi untuk mengharungi cabaran hidup. Kecekalan dan kesabaran Azzam di dalam menghadapi cabaran dan dugaan wajar dicontohi. Semasa membaca buku ini, saya merasa sedikit terganggu pada satu slot ketika Azzam berbual dengan Furqan – Azzam memanggil Furqan dengan ‘Rul’ tetapi sepatutnya Azzam memanggil Furqan sebagai ‘Fur’. Saya kira ini mungkin kesilapan menaip.