Thursday 8 November 2018

Arkitek Jalanan

Judul: Arkitek Jalanan
Penulis: Teme Abdullah
Penerbit: Iman Publication Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-2423-43-0
Tebal: 330 halaman

Saya keliru.

Seusai saya menamatkan pembacaan Arkitek Jalanan, saya membelek semula bab pertama buku ini iaitu Bateri. Saya keliru siapa sebenarnya Loh, Ahmad dan Teme. Saya kira ramai pembaca juga akan berbuat sama seperti saya kerana kesinambungan bab pertama Arkitek Jalanan adalah dalam Bab 19 dan Bab 22 (bab akhir). Walau pun highlight Arkitek Jalanan bukan pada bab-bab tersebut tetapi sedikit sebanyak twist yang diketengahkan oleh Teme membuat saya berfikir "Yang mana satu Teme sebenarnya?" Haha... bijak sungguh Teme mengelirukan pembaca rupanya, ala-ala genre thriller gitu :)

Arkitek Jalanan adalah sambungan Pelukis Jalanan oleh Teme Abdullah namun penceritaan Arkitek Jalanan adalah apa yang berlaku sebelum, semasa dan selepas lahirnya Pelukis Jalanan. Teme berkongsi cerita macam mana dan bagaimana lahirnya buku Pelukis Jalanan. Kepada yang telah membaca Pelukis Jalanan, anda perlu baca Arkitek Jalanan kerana anda perlu tahu bagaimana manuskrip Pelukis Jalanan yang telah di'tong sampah'kan oleh Teme menjadi realiti, diterbitkan dan boleh anda beli dan baca.

Seperti karya Teme yang saya baca sebelum ini iaitu Empayar dan Pelukis Jalanan, kekuatan Arkitek Jalanan adalah juga pada kata-kata semangat dan cetusan pendapat yang dikongsikan oleh Teme. Di dalam Arkitek Jalanan Teme berkongsi pengalamannya dan Ahmad mengharungi tahun akhir sebagai pelajar Jurusan Seni Bina (Architecture). Arkitek Jalanan pada saya lebih memaparkan keakraban Teme dan Ahmad sebagai sahabat baik. Apa yang saya suka tentang persahabatan mereka berdua adalah mereka sering tidak sependapat, selalu berbahas (di sini rupanya perbahasan dalam Empayar bermula :)) namun mereka saling memberikan semangat dan dorongan untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang. Sekiranya Teme berasa down, Ahmad akan memberikan suntikan semangat, begitulah sebaliknya.

Arkitek Jalanan mempunyai 22 bab dan Bab 9: Tua adalah bab yang paling memberi kesan kepada saya. Bab ini menceritakan kisah Teme berada di masjid untuk solat subuh. Selesai solat subuh, Teme bersandar di dinding masjid sambil memerhati seorang tua yang masih berteleku di atas sejadah. Sebelum itu, Teme terlebih dahulu mendermakan sejumlah £10 ke dalam tabung masjid. Orang tua itu menghampiri tabung masjid sambil kepalanya tertoleh kiri dan kanan. Teme mengesyaki sesuatu dan terus memerhatikan orang tua tersebut. Orang tua itu mengeluarkan uncangnya yang usang dan mengeluarkan beberapa duit syiling lalu dimasukkan ke dalam tabung masjid tersebut. Teme rasa terpukul dengan tindakan orang tua tersebut. Orang tua itu menghabiskan kesemua syilingnya sedangkan Teme masih lagi ada sejumlah £20 di dalam dompet. Teme bangun dan memberikan sejumlah £20 itu kepada orang tua itu dengan harapan duit itu boleh menggantikan syiling yang beliau dermakan tadi. Orang tua itu berasa terharu dengan pemberian Teme dan apa yang mengejutkan Teme adalah orang tua itu bangun dan memasukkan £20 pemberian Teme tadi ke dalam tabung masjid. Kisah ini sangat memberi kesan kepada saya dan inshaAllah akan mengambil iktibar dari kisah ini. Terima kasih Teme kerana berkongsi cerita ini.

Terlalu banyak sebenarnya kata-kata semangat dan perbahasan di antara Teme dan Ahmad yang harus dibaca dan dijadikan pencetus idea untuk bukan sahaja membaiki diri tetapi juga mereka yang ada di sekeliling kita dan masyarakat Malaysia secara amnya. Teme juga ada menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sistem akademik yang dipraktikkan di Malaysia yang mana menghalang mereka yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran dan subjek-subjek yang tidak sepatutnya diambil oleh pelajar jurusan tertentu serta banyak lagi yang diketengahkan oleh Teme yang wajar kita fikirkan bersama.

Kepada yang telah membaca Pelukis Jalanan, silalah baca Arkitek Jalanan. Anda perlu baca bagaimana Teme struggle untuk menyiapkan final crit pada ketika komputer ribanya rosak. Hanya tinggal seminggu sahaja untuk ke final crit dan kesemua yang telah disiapkan ada di dalam komputer riba tersebut. Anda perlu baca kerana perjalanan tahun akhir Teme bukanlah sesuatu yang indah dan mudah. Teme jatuh dan bangun walau pun dalam keadaan sukar.

Saya sudah selesai dan akan meneruskan dengan Impian Jalanan.

Saya kongsikan di sini salah satu perbualan di antara Teme dan Ahmad. Perbualan ini adalah pada ketika Ahmad ingin pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian dan setelah bergraduasi:

Ahmad: "Teme, how do we produce great work?"

Teme: "Enjoy the process!"

Saya sangat sukakan ini! :)

Selamat membaca Arkitek Jalanan.





Nota tambahan:
Saya sebenarnya nak tengok lukisan Ahmad semasa di Portugal. Kenapa? Sebab Teme bagi komen macam ni: "Ok, kali ni sumpah... Boleh tahan buruk jugalah. Tapi still ok... Haha." Macam manalah rupanya lukisan Ahmad yang "boleh tahan buruk" tu ye dan yang lukisannya "boleh tahan buruk" itu telah graduate dengan First Class Degree :)