Saturday 21 March 2009

Pei Pan



Judul : Pei Pan
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Anugerah : Pemenang Kedua Hadiah Sako
Halaman : 443 mukasurat
ISBN : 967-61-1298-4

Pei Pan (dalam Bahasa Cina) yang bermaksud pengkhianatan merakamkan kisah yang biasanya berlaku dalam dunia korporat. Karim yang didapati bersalah kerana membunuh isterinya Hamimi juga Johnny orang kepercayaan beliau dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.

Namun, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, Karim yang dulunya mengabaikan tanggungjawab agama telah menemui diri beliau selama menjalani hukuman. Cubaan beliau untuk membunuh diri di penjara memberikan pengajaran yang sangat bermakna buat beliau. Sarjan Hassan banyak membantu beliau dalam mengenal diri serta membawa beliau kembali ke pangkal jalan.

Karim yang telah diberikan pengampunan dan dibebaskan 5 tahun lebih awal, menemukan bukti komplot pengkhianatan orang-orang kepercayaan beliau. Lebih memeranjatkan lagi bila beliau mengetahui siapakah sebenarnya "Abang Besar". Bukti ini telah disimpan kemas oleh Lydia, orang yang bertanggungjawab ke atas operasi perniagaan KM Holdings selama beliau dalam penjara.

Plot cerita Pei Pan amat menarik sekali. Tidak hairanlah Pei Pan telah diketengahkan di kaca televisyen dalam slot drama bersiri. Dengan pengakhiran yang tidak seperti yang disangkakan, Pei Pan memberikan seribu pengajaran kepada pembacanya. Sememangnya ada segelintir manusia yang terlalu taksub keduniaan sanggup melakukan apa sahaja hatta membunuh demi untuk memuaskan nafsu - nafsu hendak menjadi kaya dengan harta dan kesenangan duniawi.

Seperti biasa, saudara Ramlee suka berteka-teki. Beliau menggarap Pei Pan agar pembaca berteka-teki siapakah "Abang Besar" yang sebenarnya. Kepada pembaca yang juga sukakan teka-teki, semestinya sudah dapat meneka jawapannya.