Monday 28 May 2012

Fiksyen 302


Judul : Fiksyen 302
ISBN : 978-83-124-746-4
Tebal : 501 mukasurat

Bertemakan psikologi thriller, Fiksyen 302 cukup mengujakan untuk dibaca. Bermula daripada prolog, Fiksyen 302 memberikan seribu satu teka-teki yang memaksa kita untuk membaca helaian-helaian seterusnya. 

Fiksyen 302 mengisahkan sebuah plot balas dendam oleh tunang kepada Zarina Mustapha yang telah mati dibunuh dengan kejam. Mayat Zarina ditemui dengan keadaan muka yang teruk dan sukar untuk dikenali. Suspek utama pembunuhan, Datuk Mahali dan Sabri dilepaskan oleh mahkamah atas keputusan tidak bersalah sekaligus melepaskan mereka daripada hukuman mati mandatori di bawah kanun keseksaan 302.

Seorang demi seorang yang terlibat dalam kes pembunuhan Zarina dibunuh dengan tragis oleh Lan Lani, Jimmy Yeoh, Prakash Kumar dan Farid Ja'ah yang kesemuanya adalah pesakit mental yang telah dibebaskan daripada Hospital Permai Johor Bahru yang telah disahkan pulih sepenuhnya oleh Dr. Rozlina. Pembunuh-pembunuh ini melakukan pembunuhan ke atas pelaku-pelaku jenayah, melakar "302" pada dahi mangsa dan kemudiannya menelefon polis untuk membuat laporan serta berbogel semasa diberkas oleh pihak polis. Mereka mengaku tidak bersalah dan mendakwa pembunuhan itu dilakukan oleh Zonan, roh jahat yang tidak berwajah. Zonan boleh muncul di mana-mana dan boleh datang sesuka hati serta sangat kejam. Sekiranya mereka tidak melakukan pembunuhan tersebut atas perintah Zonan, mereka sendiri akan menjadi mangsa pembunuhan kejam Zonan.

Tambah saspens lagi bila peguam bela Lan Lani iaitu Noorhafiza Izura mendakwa diganggu oleh Zonan yang bertopeng putih tanpa mulut dan hidung, hanya kelihatan mata sahaja di parkir kereta dan di rumah beliau sendiri. Pembunuhan kejam Nurul, pembantu Noorhafiza yang bekerja di firma guaman Sainoh & Co. tambah mencelarukan keadaan kerana Nurul tidak terlibat dengan kes pembunuhan Zarina. Pihak polis agak sukar mengaitkan kes pembunuhan Nurul dengan kes pembunuhan mangsa-mangsa lain.
Penampilan watak Dina binti Din teman wanita Farid Ja'ah juga mengundang konflik dalam penceritaan Fiksyen 302. Dina yang kuat cemburu juga mempunyai perwatakan yang cukup membahayakan kerana beliau sanggup membunuh demi kekasihnya, Farid.

Kes pembunuhan Fiksyen 302 ditutup tanpa mengetahui pembunuh yang sebenar. Ramlee mengajak pembaca melalui teknik back to the future dalam menyelesaikan tekai-teki ini. Pada tahun 2032, Rita-anak kepada Datuk Mahali seorang peguam, menerima tawaran Dr. Rozlina dan secara sukarela menjadi subjek pertama untuk projek anjakan kuantum (Quantum Leap) bagi mengetahui dalang dan pembunuh sebenar dalam kes pembunuhan Fiksyen 302 yang berlaku 20 tahun lalu. Dengan mengambil watak Noorhafiza Izura, Rita kembali ke tahun 2014 untuk menyelesaikan misteri Fiksyen 302.

Zonan pada tahun 2032 telah mengetahui akan projek ini dan membunuh Dr. Rozlina dan Dr. Hakimi serta memusnahkan semua peralatan projek semasa Rita masih berada di dalam inkubator. Rita tersadar dan hilang ingatan akibat kemusnahan ini mengakibatkan berlakunya keterbalikan watak. Rita yang sebenar terperangkap dalam relung masa 2014 manakala Noorhafiza Izura muncul pada tahun 2032. 

Novel Fiksyen 302 dengan tagline "Jangan Percaya" digarap dengan kemas sekali. Dengan gabungan teknik mewujudkan persoalan demi persoalan, imbas kembali, psikologi, thriller dan back to the future menjanjikan pengalaman pembacaan yang cukup menarik. Novel ini mengajak pembaca untuk terus berteka-teki sehingga ke noktah yang terakhir. "Jangan Percaya" pada diri anda sendiri kerana pengakhiran Fiksyen 302 tidak seperti yang anda jangkakan.

Selamat membaca Fiksyen 302!