Imaginasi


Judul: Imaginasi
ISBN: 978-967-86-0692-9
Tebal: 534 mukasurat

"Tanah ini bukan asal lahirmu. Dunia kita pun terpisah jauhnya...biarpun hanya hijab menjadi tabir. Bukankah kita telah memeterai perjanjian untuk berkongsi kasih sayang? Seteguhnya... kita pelihara jalinan itu antara kau dan aku.Tiada yang berkhianat. Tetapi manusia sepertiku tak akan mengerti sepenuhnya sepertimana aku memahamimu... dengan penuh rasa cinta."

Itu adalah ratib mendikir Alang Kassim apabila berhadapan dengan singa putih bermata merah saga. Bukan mantera bukan jampi serapah. Singa putih yang dikatakan saka peliharaan Alang Kassim.

Kampung Padang Ilalang digemparkan dengan kehilangan lembu Pak Budin. Pencarian lembu ini berakhir dengan menemukan bangkai lembu di dalam ladang kelapa sawit milik Suhaila. Keadaan bangkai lembu ini dengan perut terburai, tanpa usus. Abam, pekerja Pak Budin yang bekerja menjaga lembu-lembu Pak Budin menuduh itu adalah perbuatan saka yang dimiliki oleh Suhaila yang diwarisi dari ayahnya, Alang Kassim. Saka itu adalah seekor singa putih bermata merah saga yang sering mengaum apabila bulan mengambang.

Dalam pembacaan Imaginasi, saya lebih tertumpu kepada watak Abam, seorang yang lurus bendul, bodoh piang, berkelakuan seperti terencat menaruh hati terhadap Juita, anak Pak Budin dan Mak Kiah. Abam sesungguh hati ingin berkahwin dengan Juita namun Juita hanya melayan Abam seperti kawan. Pak Budin dan Mak Kiah melihat keakraban Abam dan Juita namun juga tidak memandang serius perasaan Abam dek kerana Abam seorang yang lurus bendul dan seperti terencat. Pak Budin menyatakan kepada Abam, sekiranya ingin mengahwini Juita, Abam mesti menyediakan hantaran sebuah kereta, sebuah rumah, dan menghantar Pak Budin dan Mak Kiah pergi mengerjakan umrah. Juita pula menambah syarat kepada Abam agar Abam menyiapkan sebuah novel sebagai hantaran perkahwinan kerana Juita amat meminati novel karya Ramda Amira. Mana mungkin Abam dapat memenuhi semua itu kerana Abam hanya bekerja sebagai penjaga lembu dan seorang yang bodoh piang. Abam agak cuak kerana Juita dipinang oleh seorang jejaka dari Kuala Lumpur bernama Rastam Amirullah.  Itu adalah kisah cinta yang pertama.

Hafiz, anak kepada Suhaila, dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Kuala Lumpur. Suhaila dan Hafiz terpisah sejak Hafiz berusia remaja kerana Suhaila mengalami kemurungan akibat kematian suaminya Hamidi dan Suhaila dituduh sebagai penyebab kematian Hamidi. Hafiz bertemu dengan Citra Widya, warganegara Indonesia ketika berada di Amsterdam. Hafiz jatuh cinta dengan Citra Widya namun Citra Widya menganggap Hafiz sebagai kenalan sahaja. Citra Widya yang diburu oleh Erawan dan Budiman meminta bantuan Hafiz untuk melarikan diri dari Erawan dan Budiman ke London. Hafiz dan Citra Widya melalui perjalanan dari Amterdam ke Paris dan seterusnya ke London dalam usaha melarikan diri dari Erawan dan Budiman. Citra Widya melihat ketulusan Hafiz membantunya menyelamatkan diri dan akhirnya mengakui cintanya terhadap Hafiz. Itu adalah kisah cinta yang kedua.

Imaginasi menceritakan kisah Suhaila, Kamil, Hafiz, Citra Widya, Abam, Juita, selaku watak-watak utama dalam novel ini dipertemukan dalam satu pengkisahan thriller, aksi dan cinta. Kali ini Ramlee menulis secara santai namun penuh dengan pengisian tentang cinta dan kehidupan. Saya berasa kekok membaca karya Ramlee ini kerana karya beliau biasanya padat dengan saspen, aksi dan misteri yang harus pembaca rungkaikan sepanjang pembacaan, namun Imaginasi adalah versi thriller santai. Misteri yang diketengahkan adalah singa putih bermata merah saga yang didakwa saka peliharaan Suhaila yang mengajak pembaca meneka-neka adakah benar singa putih bermata merah saga ini adalah saka. Imaginasi lebih menceritakan kisah cinta tiga lelaki dan tiga wanita dalam mengungkapkan tiga kata.

Adakah benar singa putih bermata merah saga itu adalah saka? Apakah kisah cinta yang ketiga? Adakah Abam akan mengahwini Juita? Apakah kesudahan kisah cinta Hafiz dan Citra Widya? Anda perlu membaca Imaginasi untuk mengetahui semua itu. Imaginasi mengajak pembaca untuk membuat pengakhiran sendiri. Ramlee, dalam ruang Tinta Penulis menyatakan "Perlu diingat... bukan semua imaginasi itu mampu menjadi nyata dalam kehidupan kita sehari-hari. Sebab itu doa dan reda menjadi peranan penting dalam merealisasikan kehendak masing-masing."

Selamat membaca Imaginasi!



Nota:

1) Terdapat sedikit kesilapan menaip nama Pak Jusoh yang ditaip sebagai Pak Jusof, bukan sekali dua tapi berkali-kali. Sejujurnya, ia mengganggu pembacaan saya sebab saya ingatkan watak Pak Jusoh dan Pak Jusof adalah dua watak yang berbeza.

2) Ramlee ada menggunakan beberapa perkataan Bahasa Brunei Sabah seperti ulah, sisik tapuk, landir, bertinggir, diacut, menggurui, lagur, tengkumus, palui, berkarih, ketulahan dan terpisuk. Untuk kemudahan para pembaca memahami maksud perkataan-perkataan ini, ada baiknya disertakan glosari pada bahagian akhir novel ini. Saya tidak punya masalah sebab saya tahu maksud perkataan-perkataan tersebut. Saya orang Sabah bah! :)