Sunday 3 January 2010

Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M) / Personal Justice



Judul : Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M)
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Tebal : 570 mukasurat
ISBN : 983-124-099-5

Saya jatuh cinta untuk kedua kali. Bukan dengan Ramlee Awang Murshid tetapi dengan karya beliau - ADAM. Saya membaca semula ADAM kerana saya kehilangan semangat dan motivasi untuk membaca disebabkan faktor kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Untuk itu, saya hendak mengembalikan semangat dengan berpatah balik di mana saya bermula.

ADAM yang berlatarkan Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai lokasi cukup memberi kesan kepada saya. Ia adalah kisah Amerika yang sentiasa gah dengan statusnya sebagai salah sebuah kuasa besar dunia sanggup berbuat apa sahaja untuk menutup kejahatan mereka. Mereka (White House) selalu menuding jari meletakkan kesalahan ke atas bahu musuh luar walhal musuh yang sebenar datangnya dari dalam.

ADAM mengisahkan bagaimana Presiden Amerika Syarikat, Jack William menghapuskan bukti kejahatannya yang menyebabkan Hilman dan anaknya Jeslina terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Queensboro mengakibatkan Jeslina koma dan seorang awam terbunuh. Hilman dikatakan memandu dalam keadaan mabuk lalu menyebabkan kemalangan tersebut. Hilman akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh tanpa niat.

Hilman seorang polis berpangkat ASP adalah seorang penembak tepat (sharp shooter) yang pernah terlibat dalam pelbagai visi menyelamat. Beliau pernah menyelamatkan seorang tentera Amerika Leftenan Kolonel George Whitehall dalam misi menyelamat di Banja Luka, Bosnia Herzegovina. Dalam pada beliau tengah bercuti menunggu hari persaraan awal beliau, beliau dipanggil untuk menyelamatkan Menara Berkembar Petronas daripada kejahatan pengganas dan membebaskan tebusan yang ada.

Dengan profail Hilman yang cemerlang, Kerajaan Malaysia sangsi akan tuduhan yang dilemparkan terhadap Hilman. Oleh itu, dengan arahan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat bertindak membuat siasatan bagi tujuan mendapatkan kepastian.

Mia Sara, wakil Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat diarahkan untuk mengendalikan kes Hilman. Hasil siasatanmendapati bahawa semua ini adalah konspirasi Jack William bagi menutup kejahatannya. Jack William takut sekiranya kes ini terdedah, beliau akan kalah dalam pertandingan pilihanraya yang bakal berlangsung.

Anda juga akan terus membaca ADAM kerana ingin mengetahui kisah di antara Mia Sara dan Hilman. Mia Sara adalah penerima sebahagian organ hati Hilman. Semasa Mia Sara masih bayi, Mia Sara mengidap penyakit hati kerana hatinya gagal berfungsi dengan baik. Hilman secara sukarela mendermakan sebahagian hatinya untuk Mia Sara. Mungkin sebab itulah Mia Sara boleh merasai perasaan Hilman walau pun mereka berjauhan dan percaya atau tidak, Mia Sara jatuh cinta dengan Hilman walau pun mereka tidak pernah bertemu tetapi bagi Mia Sara, hati mereka telah lama bersatu.

Hilman merasakan walau pun bukti menyebelahi beliau, Presiden Jack William tidak akan melepaskan beliau sewenangnya. Oleh itu, beliau nekad untuk mengambil tindakan sendiri bagi menghukum Jack William.

Sebagai seorang penembak tepat yang terlatih, Hilman tidak mengalami kesukaran untuk membunuh Jack William. Kesempatan diambil ketika Jack William berada di City Center New York untuk salah satu acara kempen pilihanraya. Hilman nekad untuk membalas dendam bagi pihak Jeslina, anaknya yang masih dalam keadaan koma. Beliau tidak ingin kehilangan Jeslina kerana Jeslina adalah satu-satunya zuriat beliau yang ada hasil perkongsian dengan arwah isterinya, Haslinda.

Namun, semasa Hilman berada di atas salah sebuah bangunan berhampiran City Center dan telah bersiap-sedia untuk melepaskan tembakan, Hilman bermain-main dengan perasaannya antara membalas dendam dan jati diri yang ada. Kata-kata ayahnya, Haji Imran “Kita anak darah Melayu” yang telah diubahsuai oleh Hilman kepada frasa “Aku Darah Anak Malaysia” bergema di fikiran Hilman.

Fikirannya yang waras menjelma, lantas ketika laras senapang dihalakan ke kepala Jack William, beliau akhirnya mengalihkan laras sejurus melepaskan tembakan ke atas tapak tangan kanan Jack William ketika Jack William melambai-lambai di atas pentas. Tindakan ini beliau ambil bagi tujuan meninggalkan ‘cenderamata’ kepada Jack William.

Kisah ADAM begitu menarik minat saya kerana ia memaparkan konflik antarabangsa yang melibatkan kuasa besar dunia. Penceritaan tambah menarik lagi dengan pertembungan watak ejen-ejen perisikan Malaysian Intelligence Agency (MIA) dan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) serta watak wartawan Malaysia di Amerika Syarikat, Daljit Singh membantu watak Hilman begitu menarik sekali.

Semestinya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kisah konflik dua buah keluarga – keluarga Hilman dan keluarga mertuanya juga selesai. Jeslina, walau dalam keadaan koma mampu membuat kedua-dua keluarga ini bersatu.

Sekiranya ADAM akan diulang cetak, saya ingin menyarankan perkara-perkara berikut dititik-beratkan agar ADAM tidak ketinggalan zaman:

1. Penggunaan disket sudah tidak relevan kini. Saya sarankan ia digantikan dengan ‘pendrive’ atau yang setara dengannya;

2. Penggunaan kaset video juga sudah tidak relevan. Saya sarankan ia digantikan dengan VCD;

3. Penggunaan pemain kaset dalam kereta juga sudah tidak relevan. Saya sarankan ia digantikan dengan CD audio;

4. Penggunaan filem dalam kamera juga tidak relevan. Ia perlu digantikan dengan kamera digital;

5. Terdapat beberapa kesilapan menaip pada tahun kejadian – 2000 ditulis 200 dan 2000 ditulis sebagai 2001. Ini mengganggu kelancaran pembacaan saya kerana terpaksa membelek balik helaian-helaian sebelumnya untuk mendapatkan kepastian.

Kepada anda yang gemar membaca novel Bahasa Inggeris atau kurang selesa dengan Bahasa Melayu, ADAM juga boleh didapati dalam versi Bahasa Inggeris dengan judul Personal Justice.




Judul : Personal Justice
Tebal : 504 mukasurat
ISBN : 978-983-124-381-7

Saya telah membelek-belek dan membaca bahagian-bahagian tertentu sahaja kerana jalan ceritanya sama dengan ADAM. Menurut pemerhatian saya, tidak banyak perubahan yang dibuat cuma Daljit Singh dalam ADAM adalah wartawan Harian Metro tetapi dalam Personal Justice, Daljit adalah wartawan Sinar Harian.

Kepada mereka yang baru cuba-cuba membaca karya Ramlee, saya sarankan anda bermula dengan ADAM.