9 Nyawa



Judul : 9 Nyawa
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd.
Tebal : 519 mukasurat
ISBN : 978-983-124-487-6

“Ini bukan stail baru, Cuma diaplikasikan dalam persembahan novel. Konsep drama banyak disaksikan menerusi siaran drama tempatan mahupun drama luar. Saya satukan dengan rentak cara saya sendiri menjadikan setiap plot ada unsur-unsur ‘lonjakan’ dan tidak terkurung dalam lingkungan ‘dialog’ semata-mata. Seawal penderitaan pula saya gunakan teknik ‘hock’ agar lonjakan itu berterusan sehingga ke muka surat terakhir,” begitulah yang dijelaskan oleh saudara Ramlee Awang Murshid pada ruangan Tinta Penulis di bahagian akhir novel ini.

Saya akui pada peringkat awal pembacaan 9 Nyawa, saya berasa sedikit bosan kerana saya seolah-olah membaca sebuah novel biasa seperti novel cinta remaja yang tidak ada ‘thrill’nya.

Permulaan 9 Nyawa lebih menumpu kepada latar belakang Intan Suryani selaku watak utama dalam 9 Nyawa. Intan Suryani yang mengidap sakit jantung sejak lahir dipercayai oleh mamanya, Puan Azizah memiliki 9 Nyawa kerana sudah beberapa kali mampu untuk bernyawa kembali setelah jantungnya gagal berfungsi. Kedudukan kewangan keluarga Intan Suryani yang memiliki perniagaan D’Diamond dengan pemilikan aset melebihi RM300 juta membolehkan Intan Suryani mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital yang beliau kehendaki. Namun apa yang menjadi penghalang adalah untuk mencari penderma jantung yang sesuai untuk Intan Suryani.

‘Thrill’ 9 Nyawa bermula apabila terdapat perancangan hendak menjatuhkan D’Diamond oleh sekumpulan samseng dengan strategi yang cukup teliti.

Pada masa yang sama, penulis menceritakan kisah Hakim seorang pemuda yang buta tetapi mampu untuk mendengar suara-suara mereka yang berada di ambang maut. Hakim yang mengalami cacat penglihatan akibat satu kemalangan yang mengorbankan ayah dan ibunya kini tinggal bersama adiknya Shauqi yang bekerja menjual barang seludup di Lorong 22, Geylang Singapura.

“Thrill” 9 Nyawa bertambah hangat lagi dengan pertembungan kisah samseng yang hendak menumpaskan perniagaan D’Diamond dengan samseng yang melakukan pembunuhan di Singapura.

Pembaca akan sentiasa tertanya-tanya apakah kaitan antara satu kisah dengan kisah yang satu lagi sehinggalah semua persoalan terungkai pada bahagian akhir 9 Nyawa.

Saya melihat 9 Nyawa seperti telenovela televisyen yang terkandung di dalamnya kisah realiti kehidupan manusia. Turut disentuh oleh Ramlee adalah kisah percintaan antara Intan Suryani dan Khairil yang seperti Rumi dan Juli bahkan terdapat satu babak yang tidak pernah disentuh oleh Ramlee dalam novel-novelnya sebelum ini iaitu babak ciuman yang dibawakan oleh Ramlee ketika pasangan ini berbulan madu di Singapura. Ini merupakan satu elemen yang di luar jangkaan saya dalam penulisan Ramlee. Saya tidak pasti tujuan Ramlee memuatkan babak ini, adakah ingin membuat kelainan atau sengaja untuk menarik minat mereka yang suka membaca novel cinta atau ingin menonjolkan konsep drama atau telenovela cinta dalam novel beliau, jawapannya hanya ada pada Ramlee.

Secara ringkas, pembacaan 9 Nyawa seperti membaca sebuah karya bukan hasil tulisan Ramlee, mungkin ini gaya baru penulisan beliau tetapi masih seronok untuk dibaca oleh kerana terdapat elemen ‘teka-teki’ yang perlu dijawab oleh pembaca sebelum mendapat jawapannya. Gaya penulisan Ramlee yang menyentuh aspek psikologi, thriller, suspen, sedikit keagamaan dan alam roh semuanya digabungkan dalam bentuk drama.

Saya tertanya-tanya akan perkara berikut seusai membaca 9 Nyawa:

1. Apakah penamat hubungan Puan Azizah dengan Dr. David Chu atau Daud Abdullah? Berkahwinkah mereka? Ada dinyatakan bahawa Dr. David Chu akan melamar Puan Azizah setelah balik dari mengerjakan umrah, tetapi tidak ada pula dikisahkan sedemikian setelah mereka kembali ke Malaysia;

2. Apakah kaitan antara Intan suryani dengan kucing-kucing yang suka mendekati beliau? Kenapa kucing suka pada Intan Suryani? Tidak ada dinyatakan dengan jelas tentang perkaitan antara keduanya.

Pada pendapat saya, 9 Nyawa yang berkonsepkan drama ini amat sesuai untuk diketengahkan di kaca televisyen.

Syabas kepada saudara Ramlee atas kelahiran 9 Nyawa. Ini adalah karya beliau yang kedua dalam tahun 2009 setelah Mikhail yang diterbitkan pada awal tahun. Tak sabar untuk membaca karya seterusnya daripada Ramlee iaitu Cinta Sufi. Semoga terus berkarya!