Maaf Dari Sorga



Judul : Maaf Dari Sorga
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Zebra Editions Sdn. Bhd.
Tahun : 2003 (Cetakan pertama)
ISBN : 983-2617-08-1
Tebal : 107 mukasurat

Buku ini dicadangkan oleh Arianna Salleh untuk saya baca seusai saya membaca 9 Nyawa tulisan Ramlee Awang Murshid. Buku ini sebenarnya sudah lama saya beli cuma belum berkesempatan untuk dibaca. Atas saranan Arianna, saya baca novel remaja ini.

Maaf Dari Sorga mengisahkan misteri sebuah rumah teres dua tingkat yang beralamat di Nombor 33 Jalan Kelana Jaya, Taman Pengkalan Rama. Rumah yang dimiliki oleh Pakcik Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Pak Tar seorang pesara tentera. Pak Tar menyewakan rumah ini kerana beliau dan isteri mengambil keputusan untuk balik ke kampung setelah menamatkan perkhidmatan beliau. Beberapa penyewa mengadu diganggu oleh peristiwa-peristiwa menakutkan lantas mengambil keputusan untuk berpindah keluar.

Hakiki dan Sarah pasangan muda berpindah masuk ke rumah ini. Mereka juga turut diganggu oleh kelibat-kelibat misteri sehingga mimpi ngeri mereka seolah-olah satu realiti. Sarah yang berasal dari Australia menyarankan kepada suaminya Hakiki agar mereka berbaik-baik dengan jiran sekaligus bertanyakan perihal rumah yang mereka duduki.

Mereka terlebih dahulu menziarahi Pak Idi yang nampaknya suka merenung Sarah dengan satu renungan yang meragukan. Selepas itu, mereka bertandang ke rumah Ustaz Wan dan Ustazah Midah. Cerita yang mereka dengar agak menakutkan kerana daripada jiran-jiran inilah Hakiki dan Sarah mendapat tahu bahawa penyewa-penyewa sebelum ini tidak duduk lama kerana tidak tahan diganggu oleh 'makhluk halus'.

Namun Hakiki dan Sarah tidak menggelabah lantas meminta bantuan Ustaz Wan. Ustaz Wan memberikan pandangan beliau dan menasihatkan Hakiki dan Sarah agar kembali ke pangkal jalan dengan mengingati Allah dan meninggalkan segala apa yang dilarang-Nya.

Karya ini bagi saya begitu sederhana dan sememangnya sesuai dibaca oleh para remaja. Buku yang setebal 107 mukasurat ini mampu dihabiskan dalam beberapa jam sahaja tetapi memberikan pengajaran kepada pembacanya. Sedikit unsur thriller membuatkan pembaca berteka-teki apakah yang sebenarnya berlaku di rumah teres ini.