How Markets Fail: The Logic of Economic Calaminites


Judul: How Markets Fail: The Logic of Economic Calaminities
Pengarang: John Cassidy
Penerbit: Penguin Books, London
Tahun: 2010 (Kulit lembut)
Halaman: 390
Harga: RM54.95
Pengulas: Zulkifli Salleh

Nama John Cassidy memang tidak asing kerana penulisannya dapat diikuti antaranya dalam The New Yorker dan The New York Review of Books. Cassidy-salah seorang wartawan kewangan yang turut membanjiri pasaran dengan buku tentang kegagalan ekonomi semasa. Beliau muncul dengan bukunya, How Markets Fail: The Logic of Economic Calaminities yang membahaskan dan mengupas kebangkitan dan kejatuhan ideologi pasaran bebas yang menjadi keagungan Alan Greenspan, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan. Sebagaimana beliau tulis dalam pengenalan, melalui ganbungan sejarah idea dan naratif krisis kewangan, beliau membahaskan bahawa "kita tidak dapat memahami peristiwa terbaharu ini tanpa mengambil kira konteks intelektual dan sejarah yang didedahkan."

Tidak seperti buku lain tentang krisis kewangan 2007-2009, dalam buku ini, Cassidy cuba memeriksa dengan teliti ekonomi yang mendasari krisis dan menjelaskan cara mengejar kepentingan peribadi rasional, yang menjadi asas ekonomi pasaran bebas mencetuskan dan memanjangkan krisis berkenaan. Selepas berdekad-dekad ahli ekonomi menegaskan bahawa cara terbaik untuk memastikan kemakmuran adalah dengan mengecilkan penglibatan kerajaan dalam ekonomi dan biarkan sektor swasta mengambil alih peranan itu, berlaku krisis yang paling buruk. Akibatnya, pemikiran intelektual, seerti Freidrich Hayek, Milton Friedman, Arthur Laffer, dan Sir Keith Joseph yang menyumbang kepada revolusi balas Margaret Thatcher dan Ronald Reagan pada akhir dekad 1970-an, dipersoalkan kerana menyebabkan dunia porak-poranda.

Reaksi terhadap sesuatu peristiwa yang melampau yang berlaku di Amerika, seperti serangan terhadap Pearl Harbour, serangan 11 September, dan Taufan Katrina, selalunya dikatakan bahawa peristiwa tersebut tidak dapat diramalkan. Demikian dengan krisis gadai janji subprima seolah-olahnya tidak ada sesiapa pun memberikan amaran. Namun begitu, Cassidy mengingatkan bahawa seawal tahun 2002 lagi, beberapa orang pengulas, termasuk beliau sendiri, menyatakan bahawa di banyak tempat di Amerika, nilai hartanah telah jatuh. Satu alasan sebab amaran tersebut tidak dipedulikan ialah penafian. Greenspan, Pengerusi Rizab Persekutuan ketika itu, berkali-kali menafikan bahawa hartanah mengalami penderitaan gelembung.

Bagi Cassidy, kegagalan pasaran tidak dapat difahami tenpa merujuk konsep yang diperkenalkan oleh ahli eknomi, John Kenneth Galbraith, iaitu kebijakan konvensional yang lebih kurang serupa dengan kesarjanaan yang bijak. Dalam hubungan ini, beliau cuba mengesani cara kebijakan konvensional itu dibentuk yang melibatkan pengembaraan penuh peristiwa intelektual: bermula di Glasgow pada abad ke-18 kemudian menjelajah Lausanne, Vienna, Chicago, New York, dan Washington D.C. "Ekonomi Eutopia", tulis Cassidy, "mempunyai sejarah yang panjang dan terkenal."

Buku How Markets Fail terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu ekonomi utopia, ekonomi berasaskan realiti, dan kerkah besar. Dalam ekonomi utopia yang sejarahnya daripada Adam Smith kepada Greenspan, Cassidy tidka hanya menumpukan perbincangannya pada Freidrich Hayek, Milton Friedman, dan pengikut mereka di "Sekolah Chicago", semata-mata, tetapi beliau juga memasukkan pemerian teori formal pasaran bebas yang ahli ekonomi rujuk sebagai teori keseimbangan umum. Meskipun jenama ekonomi utopia Friedman lebih dikenali, bahas Cassidy, "pendedahan matematik yang berkait dengan nama, seperti Leon Walras, Vilfredo Pareto, dan Kenneth Arrow menjelaskan aspek yang tiada rasa kagum dengan banyak pandangan ahli ekonomi profesional tentang pasaran bebas."

Ahli ekonomi klasik mewajarkan syor mereka atas alasan ekonomi, tetapi wujud juga unsur moral yang kuat untuk pengajaran mereka. Adam Smith percaya bahawa kerajaan mempunyai tugas melindung orang awam daripada penipuan kewangan dan panik spekulatif. Namun demikian, Alan Greenspan dan yang lain yang mendakwa diri mereka "keturunan" Smith, jarang-jarang menyebut pandangannya yang ragu-ragu terhadap sistem perbankan. "Pendapat bahawa pasaran kewangan adalah rasional dan mekanisme membetulkan dengan sendiri merupakan ciptaan 40 tahun lalu." Teori "tangan tidak nampak" diperkenalkan oleh Smith, bahas Cassidy, tidak pernah bertujuan supaya diterapkan untuk kewangan.

Walaupun taasub terhadap pasaran bebas, akhirnya Greenspan mengakui kecacatan ideologi anutannya. "Saya buat silap," akui beliau ketika "disoal siasat" oleh Jawatankuasa Dewan Tentang Pengawasan dan Pembaharuan Kerajaan yang dipengerusikan oleh anggota KOngres Demokrat Henry Waxman pada 23 Oktober 2008 di tengah-tengah kerakusan krisis ekonomi.

Dalam bab "kemenangan" ekonomi utopia, Casidy mengetengahkan Robert Lucas, seorang lagi ahli ekonomi Chicago, dan penerima Hadiah Nobel Ekonomi tahun 1995, tetapi berbanding dengan Milton Friedman, beliau tidak sangat dikenali. Salah seorang ahli eknomi berpengaruh sejak Perang Dunia Kedua, Lucas dan rakan-rakannya membina cara baharu pemikiran tentang dasar ekonomi, secara berkesan memperluas pendekatan pasaran cekap untuk seluruh ekonomi.

Bagi beliau, percubaan kerajaan untuk memguruskan ekonomi adalah tidka perlu, tidak produktif atau kedua-duanya. Idea Lucas adalah mengandaikan bahawa setiap orang tahu benar-benar bagaimana ekonomi berfungsi. Dalam ekonomi Lucasian, bahas Cassidy, "pengangguran merupakan persoalan pilihan. Tenaga buruh menganggur ketika Kemelesetan Besar adalah kerana mereka tidak mahu bekerja pada upah yang ditawarkan." Cassidy cuba menarik perhatian bahawa seorang ahli ekonomi liberal menuduh Lucas melakukan ekonomi fasis.

Meskipun gagal menguji realiti, eori Lucas kekal amat berpengaruh, dalam dunia ekonomi. Pda dekad 1980-an, pengikutnya memperluas pendekatan jangkaan rasional dalam pelbagai cara dan dipasarkan dengan nama baharu: ekonomi klasik baharu. Namun begitu, lebih memeranjatkan pada pertengahan dekad 1990-an, banyak ahli ekonomi terpaksa berurusan dengan dunia sebenar berbanding dengan membina teori anggun dari segi matematik mengenainya, akhirnya meninggalkan ekonomi Lucasian dan ahli ekonomi muda yang terdidik dalam bidang ekonomi itu. Banyak yang menganggap bahawa ekonomi Lucasian terlalu akademik, terlalu matematik, seperti yang pernah dibangkitkan oleh ahli ekonomi Joseph Stiglitz: "Jelas bahawa ekonomi klasik baharu tidak relevan."

Walau bagaimanapun, Cassidy mengingatkan bahawa asalahnya bukan matematik per se, tetapi cara matematik digunakan (atau disalahgunakan). Tambah beliau lagi, ketka 10 tahun lalu, banyak ahli ekonomi yang bekerja di bank pusat dan kementerian kewangan mendakap mesra apa-apa yang dikenali sebagai model Keynesian Baharu. Meskipun nama itu melekat pada model tersebut, model ini terhutang budi sekurang-kurangnya pada Lucas, sebagaimana model berkenaan terhutang budi pada Keynes.

Pandangan diracuni Keynes tentang dunia kewangan, seperti yang dinyatakan dalam buku ini adalah konsisten dengan kritikan beliau secara keseluruhan terhadap ekonomi utopia. Dalam membahaskan bahawa tindakan kepentingan diri individu membawa hasil yang diingini dari segi sosial, penganut "tangan tidak nampak" menjadi mangsa kepada falasi komposisi, hujah Keynes, mengelirukan jumlah dengan bahagiannya. Jika pada permulaan tanda kemerosotan ekonomi orang ramai memikirkan masa depan mereka, bahkan keberatan berbelanja, keadaan ini menurut istilah terkenal Keynes "pengganda", dan turut membantu menjelaskan kejutan kecil yang secara relatif boleh membawa kepada kemelesetan. Bagi Keynesianisme, "rawatan yang paling dapat dipercayai untuk kemelesetan yang dalam ialah 'pakej rangsangan' kerajaan besar."

Seperti yang lazim diperkatakan, krisis ekonomi semasa mendorong orang merujuk semula pemikiran John Maynard Keynes dan tidak ketinggalan Hyman Minsky. Minsky mengkritik Wall Street bahawa kuasa tidak stabil yang mengancam kestabilan kewangan dan ekonomi yang serius, mengingatkan bahawa dalam sistem kapitalis juga, banyak spekulasi aliran tunai dan keadaan pasaran kewangan berlaku melalui sistem perbankan yang bertindak sebagai pengagih utama modal.

Seperti Keynes, Minsky juga mengalami nasib yang sama, iaitu diketepikan ketika ahli ekonomi arus perdana begitu terpesona dengan hipotesis pasaran cekap. "Pada dekad 1980-an dan 1990-an, tulis Cassidy, "hanya ahli ekonomi Marxis yang kecil bilangannya yang berminat dan bersimpati pada pemikiran Minsky. Mereka memberi tumpuan terhadap 'financialization' ekonomi Amerika."

Cassidy dapat mengesan bahawa wujudnya persamaan antara MInsky dengan ahli ekonomi Marxis, Paul Sweezy, meskipun kedua-duanya tidak bersetuju dengan segala-galanya. Kedua-dua ahli ekonomi berkenaan memajukan daya kritis yang sangat tinggi yang membolehkan mereka melihat dengan jelas sebelum banyak ahli ekonomi arus perdana, melihat model memacu kapitalisme dari segi kewangan, telah muncul. Kedua-duanya bersetuju dalam jenis ekonomi ini, cara untuk mencegah kestabilan yang menular adalah hanya dengan kerajaan memainkan peranan yang lebih aktif.

Buku ini bukannya tentang krisis ekonomi semata-mata, tetapi juga tentang teori ekonomi yang cukup luas. Seperti Stiglitz, Cassidy juga bersetuju dengan peranan kerajaan dalam ekonomi, "kerajaan yang berkesan merupakan persoalan menentukan keseimbangan yang betul antara autonomi dengan penyelarasan." Beliau juga berpegang pada semangat pragmatik ekonomi berasaskan realiti dengan memetik sialan popular Lenin, "Apakah yang perlu dilakukan?" Di sini, Cassidy sekali lagi memetik Minsky, bahawa "Wall Street perlu dikawal."

Dipetik dari Dewan Ekonomi Jun 2011