Sunday 12 April 2009

Manikam Kalbu



Judul : Manikam Kalbu
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Halaman : 364 mukasurat
ISBN : 978-983-62-9678-8
Anugerah : Hadiah Pertama Sayembara Mengarang Novel Remaja Sempena Perayaan Jubli Emas DBP

“Takkan baju Melayu hilang di dunia” – itulah sepatah ungkapan yang menggambarkan inti pati Manikam Kalbu. Mesej yang bersahaja tetapi sarat mengandung makna ini disampaikan dengan begitu kreatif oleh penulis. Dengan menggunakan pendekatan gaya bahasa moden dan klasik komedi novel ini memberikan kesan di hati saya.

Melalui Manikam Kalbu saya dapat merasai keindahan busana Melayu bukan hanya terletak pada keindahan material atau pun fesyen baju itu tetapi juga terletak pada falsafahnya. Kata-kata pada akhir karya ini yang berbunyi “...agar busana Melayu tidak diikuti di seluruh dunia hanya pada gaya dan fesyen, bahkan pada prinsip dan falsafahnya... bahawa pakaian itu pelindung malu, petunjuk budi dan adab. Busana Melayu akan menjadi senjata keamanan sejagat!” begitu member kesan dihati saya.

Kata-kata ini mampu meremangkan bulu roma saya bukan kerana takut atau seram tetapi kerana suntikan semangat patriotisme yang diberikan olehnya. Pada masa kini, sekiranya kita perhatikan sekeliling kita, anak-anak muda remaja terutamanya anak-anak perempuan Melayu Islam lebih suka berpakaian meniru cara Barat. Ya, mungkin kurang atau tidak ada pakaian yang dijual malahan direka untuk mereka berpakaian menutup aurat atau untuk mereka tampil bergaya dengan lebih sopan. Oleh itu, adalah penting untuk kita mempelajari dan mencintai kerjaya seni reka fesyen bukan kerana harta kekayaan tetapi untuk mendapatkan pahala dalam mentajdidkan busana Melayu. Saya tertarik dengan petikan “...Tajdid ialah usaha untuk kembali kepada yang asal, dan asal kita adalah agama dan adab...”, “...sebagai jurubusana atau orang yang mereka pakaian tentulah lebih-lebih lagi tertakluk kepada ibadah, pada nilai pahala dan dosa. Takkan nak mereka cipta satu busana yang dapat dosa bila memakainya?”

Manikam Kalbu juga membuka mata saya kerana penulis turut mengisahkan Ziryab atau Abul Hasan Ali Ibnu Nafi seorang jurubusana muslim yang bertanggungjawab untuk mereka fesyen baju musim sejuk dan musim panas yang pada masa kini diikuti oleh orang Barat. Di samping menjadi pereka busana, Ziryab juga adalah orang yang bertanggungjawab mencipta minyak wangi. Sungguh saya tidak tahu semua ini kalau tidak membaca Manikam Kalbu.

Turut dihuraikan dengan terperinci dan menarik sekali adalah falsafah baju kurung atau baju melayu itu sendiri. Semuanya mempunyai falsafah dan prinsip yang berkaitan langsung dengan prinsip dan falsafah berpakaian dalam Islam.

Terdapat dua versi penceritaan dalam Manikam Kalbu bertujuan menyampaikan mesej berpakaian dalam Islam. Versi moden menceritakan watak Ziryab, seorang yatim piatu merupakan pelajar lelaki tunggal yang mengambil bidang jahitan dan seni reka fesyen dalam sekolahnya. Walau pun menerima banyak usikan daripada rakan-rakan beliau, beliau tetap nekad ingin berjaya dalam bidang tersebut. Minat beliau dalam seni reka fesyen, beliau warisi daripada nenek beliau yang memiliki sebuah kedai jahitan yang juga merupakan bekas jurubusana istana (beliau hanya mengetahui hal ini semasa bertemu dengan Pak Ated ketika mempelajari cara-cara membuat destar setelah nenek beliau meninggal dunia). Ziryab juga menghadapi situasi mencabar kerana neneknya adalah penghidap alzheimer. Nenek Ziryab telah menjumpai seekor kucing Madura semasa merayau seorang diri dan tidak bertemu jalan pulang. Kucing itu dinamakan Manikam Kalbu.

Manakala versi penceritaan klasik pula, diceritakan oleh seekor kucing Madura yang bernama Manira dalam bentuk komedi. Berlatar belakangkan zaman kemasyhuran Kerajaan Melayu Melaka, Manira menceritakan kisah tuan beliau – Manikam Kalbu menjadi seorang jurubusana istana yang terkenal. Manikam Kalbu pada mulanya hanyalah anak kepada seorang hamba di istana telah berjaya memenangi pertandingan mereka busana yang dianjurkan oleh Sultan Muhammad Syah, sultan Melaka ketika itu. Beliau telah berjaya dengan rekaan beliau mereka baju kurung. Sebagai hadiah kemenangan, Sultan Muhammad Syah memperkenankan permintaan beliau ingin mempelajari lebih mendalam tentang seni busana Melayu di negeri Aceh.

Apa yang menarik lagi adalah penceritaan perihal bagaimana orang dahulu mendapatkan warna yang mana semuanya adalah dari sumber alam. Begitu juga perihal tenunan songket yang pelbagai termasuk tenunan pua kumbu yang terkenal di negeri Sarawak.

Sememangnya wajar para juri mengatakan “Gabungan antara tema, plot, watak dan perwatakan, latar dan bahasa menjadikan Manikam Kalbu sebuah novel remaja yang kuat dan menarik.”

Saya sememangnya terpegun dengan karya ini yang saya percaya digarap berdasarkan kajian dan ketekunan penulis untuk menghasilkan satu karya yang pada saya cukup menggambarkan keindahan Islam dan ketertiban Melayu. Gabungan dua elemen ini semestinya dihayati oleh generasi muda masa kini demi membuktikan bahawa “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Manikam Kalbu amat sesuai dibaca oleh golongan remaja dan para ibu bapa yang sayangkan anak-anak mereka dan mereka yang ingin melihat Melayu tetap akan wujud di muka bumi ini.