Sunday 19 April 2009

Tunggu Teduh Dulu





Judul : Tunggu Teduh Dulu
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Al- Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.
Halaman : 678 mukasurat
ISBN : 978-983-3991-51-8

Mulanya saya memegang novel ini saya berfikir panjang kerana hati saya mengatakan buku ini sangat tebal dan mungkin amat payah untuk dihabiskan. Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila saya amat sayang untuk menghabiskan buku ini yang walau pun tebal tetapi mampu memberikan saya satu kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.

Tunggu Teduh Dulu mengisahkan kisah cinta – cinta sesama manusia dan cinta kepada Yang Maha Pencipta. Penulis adalah seorang lelaki tetapi beliau mampu menceritakan watak wanita dengan begitu baik sekali. Salsabilah Fahim, watak utama novel ini merupakan seorang muslimah yang ingin berbakti kepada bumi Allah dengan mengusahakan ladang betik yang diberi nama Teduh Dulu di atas tanah peninggalan arwah ayahnya. Usaha yang dikongsi bersama dengan rakan karib beliau Teh Sofia , mendepani rintangan demi rintangan daripada masalah kewangan, kehidupan peribadi dengan konflik cinta sesama manusia, pengkhianatan dan yang paling getir ialah apabila mereka berdepan dengan pengambil-alihan milikan tanah atas alasan pembangunan. Namun berkat ketakwaan, keimanan dan kecintaan kepada Yang Maha Pencipta, Salsabilah mampu untuk menangani semua rintangan yang ada.

Kekuatan novel ini adalah pada kata-kata nasihat yang diketengahkan. Antara yang memberi kesan kepada saya adalah petikan kata-kata berikut:

1. “...kerja Tuhan siapa yang tahu...” – Teh Sofia

2. “Tuhan bekerja dengan penuh rahsia...” – Teh Sofia

3. “...penderitaan adalah kerana keinginan dan pemilikan, ia muncul kerana ada kelekatan atau attachment. Aku terlalu bergantung hingga lupa penggantungan yang lain.” – Teh Sofia

4. “Kalau semua orang faham dasar tauhid, tak kan ada yang kesasar daripada gagasan hablumminallah dan hablumminannas...” Salsabilah

5. "Dunia kita di muka bumi ini hanyalah persinggahan. Kita cuma menunggu berteduh, cukup sahaja bekalan dan tiba masanya, kita juga akan berangkat seperti yang lain-lain." - Salsabilah

Saya amat tersentuh dengan hubungan cinta di antara Salsabilah dan Sazli. Sazli merupakan salah seorang pekerja ladang Salsabilah. Sazli yang jauh lebih muda berbanding Salsabilah meluahkan perasaan beliau sebelum beliau berangkat ke Jerman untuk melanjutkan pelajaran. Luahan perasaan Sazli disambut oleh Salsabilah dengan memberi satu tamparan ke pipi Sazli. Tuhan Maha Kuasa, mereka bertemu di Makkah sewaktu Salsabilah membawa mak tirinya mengerjakan umrah. Yang manisnya, Salsabilah dan Sazli diijab kabulkan di Makkah, menjadi pengantin kaabah.

Sememangnya wajar bila S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara menyatakan bahawa karya ini “Memberi kesan dramatik kepada pembacanya” sebab seusai khatam novel ini saya memang benar-benar merasakan kesan dramatik tersebut.

Karya ini sesuai dibaca oleh mereka yang memerlukan suntikan semangat juang yang tinggi. Bacalah buku ini ketika anda kehilangan punca kerana ia sedikit sebanyak memberikan anda panduan untuk kembali bangun setelah rebah.




Nota : Karya ini pernah disiarkan secara bersiri dalam Ruangan Agama Utusan Malaysia mulai Mac hingga Disember 2003.