Ungu Karmila



Tajuk Buku : Ungu Karmila
Penulis : Ramlee Awang murshidPenerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 511
ISBN : 978-983-124-3497


Sinopsis :

Arif dan Karmila pasangan suami isteri yang berpindah ke rumah baru mereka, Vila Sunyi sebuah banglo di Puncak Rimba, Cameron Highland. Vila Sunyi adalah hadiah Arif buat isterinya Karmila yang sangat dicintai sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama. Misteri muncul dan mula berlaku apabila Arif mula menunjukkan sikap yang menakutkan isterinya dan orang gaji mereka - Jainab.

Perlakuan Arif mencurigakan dan memberikan kesedihan kepada Karmila. Satu malapetaka berlaku apabila mayat mereka bertiga ditemui oleh Tok Batin, ketua suku kaum orang Asli yang berhampiran datang ke rumah mereka untuk berdamai dengan Arif kerana perselisihan faham mereka berkenaan dengan spesis bunga liar yang diambil oleh Arif daripada 'kawasan larangan' di dalam hutan yang berdekatan.

Sejak malapetaka tersebut, kejadian demi kejadian misteri berlaku bermula dengan kematian Jikon, seorang pemuda orang Asli, abang kepada Ema yang bekerja sebagai pakar bioteknologi di UPM Serdang berkelulusan sarjana dari UKM. Ema difahamkan oleh ayahnya bahawa Jikon telah mati akibat puaka Vila Sunyi. Namun sebagai seorang yang berpendidikan, Ema tidak mempercayai cerita tersebut dan mengambil langkah membuat penyiasatan sendiri ke atas Vila Sunyi.

Pada masa yang sama juga, Arafat abang kepada Arif mengupah sekumpulan penyiasat untuk pergi ke Vila Sunyi dengan tujuan membuktikan bahawa Arif tidak membunuh Karmila dan Jainab. Apa yang terjadi semasa penyiasatan tersebut amat mendukacitakan dan mengerikan kerana seorang demi seorang daripada mereka mati kecuali Dino yang berjaya melarikan diri ke hutan. Ema yang juga kebetulan berada di dalam Vila Sunyi ketika itu turut menjadi mangsa.

Dr. Ismadi, rakan sekerja Ema mula membuat penyiasatan ke atas kejadian tersebut dan hasil siasatan menunjukkan bahawa misteri Vila Sunyi bukanlah kerana puaka tetapi sebenarnya berpunca daripada Ungu Karmila - bunga kacukan yang dihasilkan oleh Arif.


Ulasan:

Ungu Karmila merupakan sebuah karya RAM yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kekuatan novel ini adalah pada pengolahan RAM yang berjaya membuatkan pembaca mempercayai misteri di Vila Sunyi adalah kerana puaka. Namun demikian, kepada pembaca yang suka meneka jawapan kepada 'teka-teki' Ungu Karmila akan dapat juga mengagak jawapan sebenar kepada misteri tersebut. Buku ini menggabungkan unsur tahyul, psikologi dan sains bioteknologi dengan begitu baik sekali. Syabas untuk RAM.