Ulasan Buku: Perempuan Busana Merah, Umpama Mimpi Dalam Mimpi

Berlatarkan Kundasang, Sabah, Perempuan
Busana Merah mengujakan untuk dibaca
Saya berjaya menghabiskan Perempuan Busana Merah dalam sehari. Rasa ingin tahu apa yang terjadi seterusnya memaksa saya untuk terus membaca. Nasib baik naskahnya tidak tebal, kalau tebal saya rasa saya akan terus membaca juga dan mengorbankan masa tidur saya :)

Perempuan Busana Merah adalah salah sebuah cerita dalam Siri Aku Bercerita. Ia mengisahkan pengalaman watak seorang perempuan yang berbusana merah di alam roh. Dia terperangkap di sebuah rumah agam, Little New Zealand di Kundasang, Sabah. Dia tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia kecuali Mandur dan Mukmin. Mandur ialah tukang kebun manakala Mukmin adalah pengawal keselamatan yang diamanahkan untuk menjaga rumah agam tersebut.

Mukmin tidak takut akan Perempuan Busana Merah namun Mukmin pengsan apabila perempuan itu menanggalkan kepalanya. Tapi Mukmin hanya pengsan sekali sahaja dan pertemuannya dengan perempuan itu selepas itu sudah menjadi kebiasaan bagi Mukmin. Perempuan itu meminta bantuan Mukmin untuk membawanya keluar dari rumah agam. Setelah mengharungi pelbagai cabaran melawan Sang Temparik, Mukmin akhirnya berjaya membawa keluar perempuan tersebut. Namun, itu bukanlah pengakhiran cerita Perempuan Busana Merah.

Pembaca akan terus dibawa ke fasa cerita seterusnya yang membuatkan pembaca seperti berada di dalam beberapa mimpi, umpama mimpi dalam mimpi. Perasaan ingin tahu saya bermula dari membaca Epilog. Saya ingin mencari di mana kesinambungan Epilog di dalam cerita Perempuan Busana Merah. Jawapannya ada di penghujung cerita. Tidak tergantung. Cuma pembaca harus sedar bahawa itu semua hanyalah dunia tipu-tipu.

Sudah agak lama saya tidak membaca karya Ramlee Awang Murshid. Ternyata tulisannya masih berbisa. Diilhamkan dari sebuah game, Ramlee menghasilkan Perempuan Busana Merah dengan mengekalkan genre thriller, jalan cerita misteri, seram, saspens dan keagamaan membuatkan Perempuan Busana Merah menarik untuk dibaca.

Tambahan pula, cerita ini berlatarkan Kota Kinabalu dan Kundasang, Sabah, tempat kelahiran saya, ia begitu mengujakan untuk dibaca. Di dalam Perempuan Busana Merah, Ramlee banyak menampilkan bahasa Sabah seperti karau, pincur, pengacut, berlagur-lagur dan marung yang digunakan oleh suku kaum Brunei di sabah.

Terima kasih Ramlee untuk tandatangan ini.
Pembelian Perempuan Busana Merah
mendapat penanda buku, sekeping sticker,
fridge magnet dan tandatangan Ramlee.

Berikut adalah petikan di dalam Perempuan Busana Merah yang saya suka:

"Pidatonya biasa-biasa sahaja. tidak setanding dengan pemidato politik yang banyak memungkiri janji kepada rakyat."

"Untuk menyingkirkan semua ketakutan adalah menghadapi ketakutan itu sendiri."

"Mungkin aku salah tajwid ketika membacanya." - Mukmin ketika membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau Perempuan Busana Merah namun tidak berhasil. Ini lucu bagi saya ;)


Berbaloikah membeli Perempuan Busana Merah? Kepada peminat karya Ramlee Awang Murshid dan genre thriller, anda bolehlah membelinya untuk melengkapkan koleksi anda. Cuma jangan membacanya seorang diri pada waktu malam. Itu adalah amaran dari saya haha... Kepada yang baru nak membaca tulisan Ramlee Awang Murshid, apa kata anda mulakan dengan Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M)

Kepada yang telah memiliki Perempuan Busana Merah, Selamat membaca. Jangan terleka dengan dunia tipu-tipu ;)

Klik di sini untuk ulasan karya Ramlee Awang Murshid yang lain.


Judul: Perempuan Busana Merah (Siri Aku Bercerita)
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Buku Prima
ISBN: 978-967-498-176-1
Halaman: 224 mukasurat