Sunday 3 May 2009

Imam



Judul : Imam
Penulis : Abdullah Hussain
Penerbit : Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Halaman : 705 mukasurat
ISBN : 967-61-0499-X
Anugerah : Pemenang Hadiah Pertama Hadiah Novel Nasional Utusan Melayu Public Bank Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. 1992/94 Sempena mengenang Allahyarham Pak Sako

"Imam" merupakan buku yang kedua setelah Tunggu Teduh Dulu yang mencabar kredibiliti saya. Ini adalah kerana ketebalan buku ini begitu menduga kesabaran. Tambahan lagi isu yang dibincangkan dalam karya ini adalah isu berat dan disampaikan pula dengan cara yang berat.

Isu yang dibincangkan saya katakan sebagai berat kerana "Imam" mengetengahkan kisah perubahan dalam melaksanakan pendekatan berdakwah, dan perubahan tersebut tidak boleh diterima oleh segelintir masyarakat. Manakala penyampaian juga saya katakan berat sebab buku yang setebal 705 mukasurat ini hanya mengandungi 7 bab sahaja membuatkan saya sangat sukar untuk mengagihkan pembacaan saya kerana saya khuatir akan kehilangan kesinambungan cerita sekiranya saya tidak berhenti membaca pada tempat yang betul.

"Imam" mengisahkan tentang Haji Mihad, seorang bekas tentera yang diberitakan telah mati dalam pertempuran dengan Gerila Indonesia di Kalimantan telah kembali ke kampungnya, Kampung Anggerik Desa setelah 20 tahun berhijrah ke Aceh, Indonesia. Sekembalinya beliau ke kampung yang hanya untuk melihat tanah kelahirannya memberikan kejutan buat beliau. Ini adalah kerana beliau menyaksikan betapa kampungnya yang dahulu makmur telah menjadi suram dan 'mati'. Masjid Haji Salih yang telah diwakafkan oleh arwah Haji Salih sudah tidak ada serinya lagi. Solat fardhu berjemaah dan solat Jumaat sudah tidak semeriah sebelum Haji Mihad meninggalkan kampung itu dahulu. Setiap kali solat jumaat diikuti dengan solat zuhur kerana jemaah tidak sampai 40 orang.

Tanah sawah sudah jadi kering kontang kerana tidak dikerjakan oleh penduduk kampung. Begitu juga halnya dengan ladang getah yang cuma tinggal bekas torehan dan sisa getah yang berwarna hitam sahaja. Anak-anak muda pula lebih suka bekerja di bandar kerana pekerjaan di bandar lebih menjanjikan upah yang lumayan berbanding dengan mengusahakan tanah untuk bertani dan berbudi kepada tanah.

Melihat keadaan inilah, Haji Mihad yang pada mulanya ingin kembali ke Aceh semula telah mengambil keputusan untuk mengajak anak dan isterinya untuk menetap dan tinggal di kampung halaman beliau. Beliau diberikan kepercayaan oleh masyarakat kampung untuk membuat 'sesuatu' supaya Kampung Anggerik Desa kembali 'bernyawa'.

Kepulangan beliau bersama keluarga disambut dengan meriah sekali oleh masyarakat kampung. Beliau selanjutnya dilantik menjadi imam Masjid Haji Salih bagi menggantikan Haji Abdul Rahman yang sudah uzur dan ingin berehat.

Perlantikan Haji Mihad sebagai Imam tidak disenangi oleh Haji Syamsuri, yang juga dua pupu Haji Mihad. Haji Syamsuri yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Imam mengharapkan jawatan Imam itu akan jatuh ke tangan beliau seterusnya memberikan hak kepada beliau untuk memiliki dua suara sebagai trusti pemegang amanah wakaf Haji Salih.

Haji Mihad mula mengatur strategi dan bertindak melakukan perubahan demi perubahan untuk menghidupkan lagi Masjid Haji Salih dan membantu untuk menyuntik semangat masyarakat kampung supaya kembali mengerjakan tanah sawah dan bertani untuk menyara kehidupan berbanding hanya mengharapkan duit sedekah atau bantuan daripada wakaf. Seperti biasa, tidak semua masyarakat kampung suka akan perubahan ini yang mereka anggap sebagai membebankan sahaja.

Berikut saya catatkan beberapa perkara yang diketengahkan dalam "Imam" yang menarik perhatian saya:

1. Persoalan wuduk yang sempurna atau pun tidak sekiranya kita hanya menyapu sebahagian anak rambut berbanding dengan menyapu keseluruhan kepala menggunakan kedua-dua tangan.

2. Dalam salah satu khutbah Solat Jumaat Haji Mihad ada mengatakan bahawa dengan mengerjakan solat kita telah dapat menghayati kesemua Rukun Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah, puasa dan zakat.

3. Kita mengerjakan solat hendaklah kerana mengharapkan keredhaan Allah dan bukannya kerana kita takut kepada Allah dan juga mengharapkan pahala semata-mata.

4. Nama-nama sasterawan Islam turut dimuatkan seperti Ibn Maskawaih, Ibn Rusyd, Al-Ma'ari, Ibn Sina, Al-Farabi, Amir Asy-Syu'ara Ahmad Syauqi, Al-Imam Al-Busyairi dan Imam Syafi'i.

5. Perbincangan tentang penulisan : penulisan / sastera dalam Islam haruslah ditunjangi dengan niat menulis kerana Allah dan tidak mengharapkan habuan semata, penulis-penulis tidak sepatutnya memberi hukuman kepada watak-watak dalam penulisannya dengan cara hukum karma iaitu yang baik dibalas baik dan yang jahat dibalas jahat kerana setiap perbuatan baik atau jahat hanya Allah yang berhak memberi hukuman.

6. Sekiranya kita boleh bertoleransi dalam perbezaan mazhab, mengapa dalam politik kita tidak boleh?

7. Perbincangan tentang zakat : siapa yang layak menerima, pengiraan zakat yang hendak dikeluarkan.

8. Perbincangan tentang solat : asal-usul solat, perbezaan antara 'sembahyang' dan 'solat'.

9. "Beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari dan carilah kekayaan seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi" - mencari harta tidak menjadi kesalahan malahan dituntut dalam Islam cuma cara mencari harta itu kenalah mengikut jalan yang benar dan harta kekayaan yang diperolehi itu hendaklah dibelanjakan pada tempat yang betul. Sememangnya harta tidak boleh dibawa mati tetapi sekiranya kita membelanjakan harta itu untuk amal jariah dan untuk pembangunan Islam maka pahala itu akan sampai pada kita walau pun kita sudah mati.

10. Ada disebutkan berkenaan dengan tanggapan orang luar terhadap Melayu. Melayu dikatakan malas dan mundur tidak seperti orang Cina dan India yang rajin bekerja dan lebih kaya berbanding dengan Melayu. Apa yang ada pada Melayu hanyalah sikap baik hati. Tetapi setelah bekerja dengan orang Melayu barulah mereka sedar bahawa Melayu tidak malas dan tidak mundur dan Islam bukanlah alasan untuk Melayu menjadi bangsa yang malas dan mundur.

Dan banyak lagi isu-isu yang menarik dan wajar untuk kita fikirkan bersama.

"Imam" disudahkan dengan kisah kematian Haji Mihad yang telah dibunuh secara tidak sengaja oleh dua orang yang telah diupah oleh Haji Syamsuri untuk menakut-nakutkan Haji Mihad dan juga kisah Masjid Haji Salih yang runtuh ketika jenazah Haji Mihad diusung untuk disempurnakan di masjid tersebut. Masjid Haji Salih berkubur sama seperti Imamnya Haji Mihad yang disemadikan di tanah perkuburan Bukit Merah.

Pemergian Haji Mihad sedikit pun tidak menjejaskan dakwah Islam di Kampung Anggerik Desa. Seperti kata Syahidan, seorang sasterawan anak jati Kampung Anggerik Desa "Tiga orang sahabat Nabi yang agung juga mati dalam keadaan yang sama. Siapa sangka Umar yang begitu taqwa dan keras mempertahankan hukum Allah boleh dibunuh dengan kejam? Ali yang begitu intelek dan menjadi rujukan dalam banyak perkara tentang hukum-hukum agama dibunuh begitu kejam? Tetapi, itu kan tidak sedikit pun menghalang penyebaran agama Islam?"