Sunday 14 October 2018

Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama

Judul: Empayar-Hikayat Putera Tanpa Nama
Penulis: Teme Abdullah
Penerbit: Iman Publication Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-2423-56-0
Tebal: 347 halaman

"Oh! Tidakkkkkkkkk!!!"

Saya menjerit dalam hati seusai menoktahkan Empayar sebab tak boleh menjerit kuat-kuat memandangkan saya di dalam flight bersebelahan dengan dua orang penumpang lelaki yang sedang nyenyak tidur dalam penerbangan balik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. Saya membelek sisa-sisa mukasurat Empayar sehingga ke kulit muka belakang dengan muka sedikit tercengang sebab cerita Empayar belum habis dengan selamatnya (menangis dalam hati).

Teme, kalau anda membaca ini, tolong buat sambungan Empayar, okay? :)

Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama merupakan buku pertama Teme (baca tur-may dalam Bahasa Inggeris) yang saya baca. Macam mana saya dapat tahu pasal Empayar? Saya ternampak orang yang saya follow dekat Twitter liked tweet Teme dan saya klik profile Teme dan baca timeline Teme dan di situlah saya mendapat tahu pasal Empayar. Selanjutnya, saya gagahkan diri pergi kedai buku Popular dan bertanya pekerja kedai di mana buku-buku Teme dan akhirnya tadaaaa.... saya beli Empayar dan juga buku-buku Teme yang lain (akan dibaca selepas ini semestinya).

Empayar mengisahkan kehidupan para pelatih Madrasah Taming Sari. Kepada anda yang sukakan nombor mungkin anda suka dengan Empayar kerana para pelatih Madrasah Taming Sari diberi nama menggunakan nombor (bukan nama sebenar). Kepada yang tidak suka nombor, penggunaan nama sebegini boleh mengganggu pembacaan anda. Kenapa nombor? Hanya Teme sahaja yang tahu kenapa :)

Pada saya, highlight Empayar adalah pada perbahasan di antara Pelatih 8492 dengan Pahlawan 1636 (gelaran Pahlawan diberikan oleh para mualim kepada ketua untuk setiap tahun ambilan). Perbahasan ini rentetan daripada hukuman yang dikenakan kepada Pelatih 6480 yang didapati bersalah kerana bercinta (baca menghampiri zina menurut Pahlawan 1636) dan berhasrat ingin mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Pelatih 2335. Pelatih 8492 yang merupakan sahabat Pelatih 6480 agak kurang senang dengan pertuduhan ini apatah lagi bila mengetahui hukuman yang bakal diterima oleh Pelatih 6480 adalah dibuang Madrasah. Di atas rasa tanggungjawab ingin mencari kebenaran, Pelatih 8492 mencabar Pahlawan 1636 untuk ke pentas perbahasan.

Di dalam penceritaan Empayar, saya amat tertarik dengan watak dan perwatakan Pelatih 8492. Dia seorang yang merendah diri namun tidak kurang ilmu agama. Sebaliknya, saya rasa meluat dengan watak Pahlawan 1636 yang bukan sahaja bermegah-megah dengan ilmu agamanya tapi juga menggunakan kedudukannya sebagai ketua untuk memenuhi keinginan peribadinya.

Selain daripada perbahasan di antara Pelatih 8492 dan Pahlawan 1636, saya sukakan naskah Empayar dengan grafik yang menarik serta cetakan yang memudahkan pembacaan. Kepada yang berkelapangan, boleh saja menghabiskan bacaan Empayar dalam masa kurang daripada 24 jam :)

Tidak banyak yang saya perlu perkatakan berkenaan Empayar. Kepada anda yang sukakan perbahasan berkaitan agama tentang satu-satu perkara, saya sarankan anda untuk membaca Empayar. Selain persoalan bercinta sebelum perkahwinan, mencintai makhluk lain selain Allah, Empayar juga menyentuh soal doa makan, adakah doa makan itu hanya dibaca sebelum makan dan adakah memadai dengan membaca bismillah sahaja sebelum makan. Menarik bukan? Persoalan yang agak berat tapi disampaikan dalam bentuk santai. Empayar mengingatkan saya kepada buku Isabella tulisan Maulana Muhammad Saeed Dehlvi yang diterjemahkan oleh Abdullah Hussain (tiba-tiba rasa nak baca buku ni balik). Empayar tidak seberat Isabella, namun pentas perbahasan itu wujud dalam kedua-duanya.

Kekuatan Empayar juga adalah pada kata-kata yang Teme gunakan. Ini adalah pilihan saya:
"Siapalah kita untuk menghakimi kotor jernihnya seseorang. Kita semua ada dosa yang Allah sembunyikan daripada pengetahuan umum. Bersederhanalah, dan kenanglah dosa kita sendiri."
"Bawalah dosa setinggi langit sekalipun, jika engkau bertaubat dan Allah berkenan untuk mengampunkanmu, tiada sesiapa pun dapat menafikannya walau seluruh dunia berpakat memulaukanmu." 
Kepada yang mencari bahan santai namun sarat ilmu dan mampu membuat anda tersenyum ketika membaca, saya sarankan anda membaca Empayar. Anda juga perlu membaca Empayar untuk mengetahui siapakah Putera Tanpa Nama yang dimaksudkan :)

Sekali lagi, Teme, tolonglah buat sambungan Empayar :)


Nota tambahan:
Saya menaip ulasan ini sambil mendengar cover lagu Kisah Antara Kita (berulang kali sampai siap) oleh Teme kat youtube. Teme main gitar sambil nyanyi, walawehhhh... siapalah mamat Teme ni ye, pandai melukis, tulis buku, main gitar, pandai nyanyi (walau pun tak sedap sangat tapi bolehlah mendodoi untuk tidur hahaha....) kalau nak tau, pegilah tanya Encik Google ye :)