Thursday 11 September 2008

Pudarnya Pesona Cleopatra




Tajuk Buku : Pudarnya Pesona Cleopatra
Penulis : Habiburrahman El-Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 125
ISBN : 983-2672-46-3

Sinopsis :

Novel mini ini mengandungi dua kisah pendek iaitu Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala.

Pudarnya Pesona Cleopatra mengisahkan cerita seorang lelaki yang berkahwin dengan Raihana di atas kehendak ibunya. Beliau bersetuju untuk menikahi Raihana kerana tidak mahu menderhaka kepada ibunya walau pun beliau tidak mencintai Raihana. Lelaki ini begitu terasa terseksa kerana kahwin ‘terpaksa’. Beliau sebenarnya terlalu ingin kepada perempuan Arab yang pada pendapat beliau secantik Cleopatra.

Oleh kerana keinginan tersebut beliau melayani isteri beliau Raihana dengan endah tak endah sahaja meski pun Raihana melayan beliau bagaikan Raja. Namun satu hari ketika tersadar akan kekhilafan beliau apabila mendengar cerita tentang Pak Agung yang beristerikan wanita Amerika dan cerita Pak Qalyubi yang beristerikan wanita Mesir. Ternyata, beliau mengangankan suatu yang hanya indah khabar dari rupa.

Di atas kesedaran itu, beliau ingin memohon maaf kepada isteri beliau – Raihana di atas ketidakadilan beliau selama ini. Namun, semuanya sudah terlambat apabila beliau mendapat tahu bahawa Raihana telah meninggal dunia ketika menanti detik melahirkan anak sulong mereka.

Setitis Embun Cinta Niyala pula menceritakan kisah Niyala seorang gadis yang telah menamatkan pengajian beliau dan bakal dianugerahkan gelaran doktor yang berada di dalam dilema sama ada menerima lamaran Roger atau pun tidak. Menerima lamaran Roger, bagi Niyala hanya menjerumuskan diri beliau ke dalam situasi yang menggerunkan kerana Roger bukanlah seorang lelaki yang baik.

Roger pernah satu ketika dahulu memperkosa sahabat karibnya tetapi tidak mahu bertanggungjawab. Manakala, tidak menerima lamaran Roger bererti ayahnya terpaksa melunaskan hutang yang banyak kepada ayah Roger. Ayah Roger berjanji sekiranya niyala menerima lamaran Roger maka hutang tersebut akan dihapus kira. Sungguh pun Niyala berada di dalam dilema yang agak berat, beliau enggan menceritakan situasi beliau kepada ibu angkatnya – sahabat karib arwah ibunya.

Namun kepada abang angkat beliau - Faiq, Niyala menceritakan masalah beliau sewaktu mereka di dalam perjalanan menjemput ayah dan abang Niyala yang datang bagi menghadiri majlis konvokesyen beliau. Faiq bersetuju untuk membantu Niyala melepaskan diri daripada masalah yang beliau hadapi. Namun, Niyala terkejut apabila Faiq menyatakan ingin memperisterikan beliau.

Ulasan :

Kedua-dua cerita ini mengisahkan dua cerita cinta yang luar biasa dan tidak dijangka. Raihana seorang isteri yang begitu mencintai suaminya walau pun cinta beliau tidak dibalas dan cinta Faiq kepada Niyala yang datang secara tiba-tiba. Jalan cerita ini begitu santai dan memberikan pengakhiran cerita yang begitu meninggalkan kesan kepada pembacanya. Walau pun hanya cerita pendek tetapi mampu memberikan impak kepada pembaca.