Thursday 11 September 2008

Satu Janji



Tajuk Buku : Satu Janji
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 549
ISBN : 983-124-118-5

Sinopsis :

Luqman seorang anak yatim piatu diambil sebagai anak angkat oleh pasangan Datuk Abdullah dan Datin Zaiton. Luqman dibesarkan dengan penuh rasa kasih sayang seperti anak sendiri. Atas rasa kasih dan sayang itulah Datuk Abdullah mewasiatkan syarikat AZ-L Holdings kepada Luqman setelah kematian beliau. Datuk Abdullah mati akibat dibunuh oleh orang yang tidak bertanggungjawab di atas satu motif - tidak mahu rahsia kejahatan mereka terdedah.

Titik tolak daripada kematian Datuk Abdullah itulah, Luqman berjanji kepada diri sendiri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan berusaha mencari pembunuh ayah angkat beliau. Selain itu, Luqman menyenaraikan janji-janji untuk beliau tunaikan termasuk mencari ayah dan ibu kandung beliau dan mengahwini Adelia - gadis yang berjaya mencuri hatinya. Malang buat Luqman kerana Adelia mengahwini Luqman bukan kerana cinta tetapi kerana terpaksa dan tidak mahu digelar sebagai anak derhaka.

Adelia sebenarnya mencintai Hadi, lelaki yang beliau kenal semasa belajar dahulu. Walau pun layanan Adelia terhadap Luqman begitu hambar dan kadang kala menjengkelkan, Luqman tetap bersabar dan berdoa agar Adelia akan menerima cintanya satu hari nanti. Namun, kedegilan hati Adelia yang seakan tidak mahu menerima Luqman membawa Luqman ke Kundasang, Sabah - tempat yang dicadangkan oleh Luqman untuk bulan madu mereka.

Di Kundasang, Luqman menggunakan nama Agus sebagai penyamaran bekerja sebagai pembuat roti canai di rumah Anak-Anak Yatim Kundasang. Di sinilah beliau mengenali Noraziah - pengusaha kantin rumah anak-anak yatim tersebut dan Lukman - anak yatim piatu yang mengidap sakit barah otak. Luqman begitu tersentuh dengan sikap Lukman yang walau pun masih kecil tapi amat tabah di dalam menjalani unjian yang Allah berikan kepada beliau. Luqman makin tersentuh lagi apabila Lukman meninggal dunia sebelum sempat beliau membantu untuk membiayai kos perubatan Lukman.

Sepanjang ketiadaan Luqman, Adelia yang baru terlepas daripada musibah penculikan, tersadar dan mula menyedari kekhilafan beliau terhadap suami beliau - Luqman. Di atas kesedaran tersebut, beliau mula menjejaki Luqman dengan membantu Luqman menunaikan janji-janji beliau. Usaha Adelia akhirnya mendatangkan hasil apabila Adelia berjaya menemui Luqman di Kundasang. Namun, kebahagiaan yang mereka kecapi tidak lama apabila Luqman terkena tembakan di dalam kejadian tembak-menembak sekembalinya mereka dari Sabah. Berkat doa, kesabaran dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Adelia sepanjang Luqman berada di dalam keadaan koma akhirnya memulihkan Luqman.


Ulasan :

Kekuatan cerita ini adalah pada watak Luqman, seorang anak yatim piatu tetapi berjaya di dalam hidup beliau hasil didikan dan kasih sayang ayah dan ibu angkat beliau. Luqman seorang yang berpegang teguh pada ikrar dan janji beliau dan mencuba sedaya upaya untuk memenuhi janji-janji tersebut. Penceritaan dan pengolahan aksi-aksi suspen juga turut membantu menghidupkan cerita Satu Janji. Gambaran persekitaran yang agak terperinci terutama sekali ketika di Kundasang, Sabah membawa pembaca seolah-olah turut berada di tempat yang sama. Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan.