The Rise of China and the Demise of the Capitalist World Economy


Tajuk Buku : The Rise of China and the Demise of the Capitalist World Economy
Pengarang : Minqi Li
Penerbit : Monthly Review Press, New York
Tahun : 2008
Halaman : 208
Harga : RM68.89
Pengulas : Zulkifli Salleh

Pertumbuhan ekonomi China yang dijangka dramatik dan meningkatnya pengaruh geopolitik negara itu membentuk ancaman ekonomi, ketenteraan, dan budaya terhadap Barat.

China muncul sebagai hegemoni dunia pada masa depan. Dalam buku The Rise of China and the Demise of the Capitalist World Economy, pengarangnya Minqi Li menganalisis kuasa ekonomi China yang semakin meningkat dan impaknya terhadap sistem kapitalis global.

Dengan menggabungkan perspektif Marxisme dan teori sistem-dunia, di samping mengkaji batas ekologi untuk pertumbuhan, Li menegaskan bahawa China berkemungkinan memburukkan lagi konflik dalam kapitalisme dunia yang boleh menyebabkan berkuburnya sistem kapitalisme yang wujud kini. Li berhujah bahawa sistem-dunia ini akan berakhir tidak lama lagi dan digantikan oleh beberapa sistem lain.

Buku ini turut menyentuh tentang pengekalan China sebagai wilayah ekonomi terbesar dunia di bawah satu bidang kuasa politik, mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pertiga keluaran dunia kasar. Namun, pada masa yang sama, British sedang memperluaskan geografi ekonomi-dunia kapitalis bagi mewujudkan empayar dunia sebenar. Penaklukan British terhadap India dengan tumbangnya Empayar Moghul pada 1757, ekonomi global berpusat semula di Eropah Barat.

British menunjukkan kekuatan ketenteraannya ke atas China seperti dibuktikan dalam Perang Candu (1839-1842 dan 1856-1860). Selepas Perang Petinju (Boxer War) 1900-1901, China secara keseluruhannya menjadi negara terpinggir daripada ekonomi-dunia kapitalis, sistem perdagangan ufti Asia Timur berkecai sama sekali, dan China menjadi negara kurang berdaulat, iaitu negara separuh kolonial. Beberapa wilayah di China dipecahkan mengikut lingkungan pengaruh kuasa besar dipecahkan mengikut lingkungan pengaruh kuasa besar dunia - Britain, Perancis Jerman, Rusia, Austria, Italy, Amerika Syarikat, dan Jepun.

Pada 1500, Eropah Barat mendahului China dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita. Pada pertengahan abad ke-20, China merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia, tetapi sejak itu, ekonomi dan kedudukan geopolitik negara itu menngkat secara dramatik.

Pada 1979, Deng Xiaoping secara aktif bertanggungjawab terhadap Parti Komunis dan memulakan "pembaharuan ekonomi." Pada peringkat awal, pembaharuan ekonomi ini, menurut Minqi Li, memberikan manfaat kepada setiaplapisan penduduk, baik kaum tani di desa mahupun golongan pekerja di bandar.

Pada 1990-an, jelas menunjukkan struktur institusi neoliberal menjadi dominan dalam ekonomi-dunia kapitalis, dan globalisasi tidak dapat dipisahkan daripada neoliberalisme. Menerusi integrasi yang sangat besar dan cukup dalam bagi ekonomi pinggir atau separuh pinggir ke dalam bagi ekonomi dunia-kapitalis dalam bentuk perdagangan dan liberalisasi kewangan, maka modal di zon pusat ditempatkan semula di pinggir atau separuh pinggir. "Kebangkitan China dan Kebangkitan India", tulis Li, "perlu difahami dalam konteks ini."

Tambah beliau lagi, "tanpa pembukaan China dan India, serta kebangkitan ekonomi kedua-dua buah negara ini, neoliberalisme terbukti bukan sahaja amat merugikan golongan kapitalis dan mungkin berakhir dalam hayat yang amat pendek."

Sebagaimana golongan kiri yang lain, Li yang terpengaruh dengan pemikiran Immanuel Wallerstein dan Karl Marx, mengkritik neoliberalisme, tetapi beliau juga mengakui kebangkitan China dan kemenangan neoliberalisme.

Dalam buku yang padat dengan rajah dan jadual ini, Li menunjukkan bahawa kebangkitan dunia kapitalis menyebabkan berkuburnya Empayar China. Kini, kemungkinan sejarah akan berubah, iaitu kebangkitan China menyebabkan ekonomi-dunia kapitalis berubah. Seperti yang cuba dipolemikkan oleh beliau : "Dengan kebangkitan China, bolehkan ekonomi-dunia kapitalis terus wujud?"

Dengan menyusur kebangkitan dan kejatuhan hegemoni Belanda, kemudian kebangkitan dan kejatuhan hegemoni Pax Britannica, dan seterusnya kebangkitan dan kejatuhan Pax Americana, Li cuba menunjukkan bahawa sesebuah empayar tidak kekal selama-lamanya.

"Oleh sebab Amerika Syarikat hilang keupayaannya untuk terus mengatur geopolitik global dan ekonomi global," tegas Li, "negara ini tidak lagi dalam kedudukan untuk menyediakan penyelesaian tahap sistem untuk masalah tahap sistem. Sistem-dunia yang wujud kini secara terdesak memerlukan kepimpinan sistematik yang baharu."

Namun, dengan mengemukakan persoalan, "adakah wujud kuasa geopolitik yang berpotensi menggantikan Amerika Syarikat untuk menjadi hegemoni depan?" Seakan-akannya pengarang sendiri tidak dapat memberikan kepastian.

Hal ini demikian kerana, menurutnya, pada abad ke-20, negara bangsa tradisional menjadi terlalu "kecil" untuk menjadi pemain dalam permainan kuasa hegemoni. Dari segi penduduk dan saiz wilayah, hanya China, Kesatuan Eropah, Rusia, dan Brazil layak dalam senarai calon.

"China kini dianggap bakal muncul sebagai hegemoni pada masa depan, dan lambat-laun, China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia," tegas Li.

Namun, beliau mengakui bahawa dari segi aspek lain, kelemahan China sukar diselesaikan. China lemah dari segi ketenteraan. Tentera laut dan udaranya tidak dapat menandingi Amerika Syarikat atau Rusia, dan terlalu bergantung pada teknologi yang dibekalkan oleh Rusia. China ketinggalan daripada Amerika Syarikat, Eropah Barat, dan Jepun dalam penyelidikan saintifik asas dan pembangunan teknologi asli.

Penguasaan China terhadap ekonomi dunia tidak dapat dinafikan lagi, cuma potensi negara itu untuk muncul sebagai hegemoni masih belum dapat dipastikan lagi. Apa yang pasti, masyarakat dunia melihat kebangkitan China bakal menguburkan ekonomi-dunia kapitalis.

Dipetik dari Dewan Masyarakat September 2009