Buat Duit Dengan Katering
Judul : Buat Duit Dengan Katering
Penulis : Hizamnuddin Awang dan Imran Yusuf (Websutera)
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
ISBN : 978-967-369-084-8
Tebal : 132 mukasurat
"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang HALAL lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman". (Al-Maidah: 88)
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang HALAL lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu". (Al-Baqarah: 168)
Terdapat banyak lagi dalil dalam Al-Quran dan hadis nabi yang menyeru kita untuk mencari yang HALAL. Justeru itu dunia perniagaan dalam penyediaan makanan yang menyajikan makanan halal adalah satu bidang yang patut diceburi. Siapa lagi yang akan mempelopori perniagaan ini, kalau bukan kita.
Buku Buat Duit Dengan Katering ini pada saya cukup bagus untuk anda yang ingin memulakan perniagaan penyajian makanan. Di dalamnya terkandung pelbagai petua yang dikongsikan oleh penulis melalui pengalaman beliau sendiri. Dari persediaan peralatan dan perkakasan sehinggalah persediaan mental dan fizikal, kesemuanya ada dalam buku ini.
Yang menarik perhatian saya adalah beberapa elemen yang perlu ada seperti melebihkan hidangan dan pinggan mangkuk di dalam satu-satu penyajian katering. Saya selalu menghadapi kekurangan semua ini ketika pihak katering di tempat saya bertugas menyajikan makanan dan minuman untuk para peserta kursus dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati para peserta sehingga apabila mereka membuat penilaian selepas kursus mereka sering mengatakan "penyajian makanan dan minuman tidak memuaskan". Aduh! Walaupun bukan kami sendiri yang menyajikan makanan dan minuman namun sedikit sebanyak terkena juga batang hidung kami selaku pengelola kursus. Ini juga berkait rapat dengan konsep "ihsan", memberi dengan keikhlasan selain daripada urusan berniaga semata-mata.
Aspek keutamaan pelanggan juga disentuh oleh penulis. Dalam dunia perniagaan, pelanggan adalah segala-galanya kerana "Pelanggan adalah Raja" dan "Customer is always right" namun ada ketika kita juga patut mengatakan "TIDAK" kepada pelanggan. Dalam buku ini, penulis mengatakan kita patut mengatakan TIDAK kepada beberapa permintaan pelanggan seperti tempahan pada saat akhir dan tempahan nasi bungkus untuk makan tengahari yang jumlahnya hanya lima! Lucu? Penulis mengalami sendiri insiden ini :)
Pelbagai pakej katering turut diperkenalkan oleh penulis, dari pakej katering untuk majlis kecil seperti minum pagi sehinggalah pakej untuk majlis perkahwinan. Cadangan menu juga turut dikongsi oleh penulis. Sememangnya amat menarik dan PERLU DIBACA oleh anda yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk menceburi bidang perniagaan katering!
Menyajikan makanan dan minuman juga adalah satu seni, oleh itu penyajiannya juga harus dengan cara yang kreatif. Penghasilan makanan dan minuman yang berkualiti dan memuaskan hati pelanggan melibatkan beberapa peringkat iaitu pemilihan dan pembelian bahan mentah, memotong, memerap, menggoreng, memasak dan cara penyajian itu sendiri memerlukan perancangan yang rapi kerana sekiranya tersilap di mana-mana peringkat makanan atau minuman kemungkinan akan basi dan tidak boleh dihidangkan. Rumit? Namun, itulah hakikatnya!
Turut menarik minat saya ialah petua memasak ikan patin dan petua untuk tidak meletakkan periuk panas (makanan baru dimasak) di atas lantai simen.
Saya berpendapat buku ini akan tambah menarik lagi sekiranya diwarnai dengan tips/petua pada akhir setiap bab dan disampaikan dengan olahan karikatur berwarna. Selain itu, buku ini juga boleh diolah dengan tidak ada mula dan akhir, maksud saya terdapat helaian permulaan dengan MENU menarik yang akan membantu pembaca untuk memilih apa yang dia hendak baca. Tanya pembaca apa yang dia hendak mulakan dulu. Sebagai contoh, "Menu 1 : Katering 50 Tempahan Ke Bawah - Mukasurat 1, 5, 11, 25" adalah khusus untuk pembaca yang berminat hendak memulakan katering kecil-kecilan terlebih dahulu. Saya pernah membaca buku seperti ini, dan saya sangat tertarik dengan olahannya.
Diinspirasikan oleh pengalaman memulakan perniagaan katering, Hizamnuddin menulis buku ini dari hati sebagaimana beliau mengatakan dalam mukasurat 90 bahawa memasak juga perlu dari hati. Beliau seboleh mungkin berkongsi ilmu dan pengalaman kepada anda yang mempunyai iltizam yang tinggi untuk memulakan perniagaan katering. Beliau juga turut berkongsi pahit dan manis dunia perniagaan yang tidak seperti semasa beliau makan gaji. Memulakan perniagaan dengan menjual nasi lemak, beliau dan isteri kini menempa nama dalam bidang katering yang melibatkan penyajian ribuan orang! Berbekalkan azam dan semangat yang kuat, beliau mengatakan FOKUS tanpa berpaling. Tahniah kepada Hizamnuddin! Dan kepada anda yang mencari ilmu katering, saya sarankan anda membaca Buat Duit Dengan Katering.