Sunday 20 May 2012

Rayyan Fantasi


Judul : Rayyan Fantasi
ISBN : 978-983-124-615-3
Tebal : 553 Mukasurat

Rayyan Fantasi adalah karya pertama Ramlee Awang Murshid yang menampilkan thriller sains fiksyen. Dengan menggunakan gaya penulisan "imbas kembali" membawa pembaca untuk terus membaca daripada mukasurat pertama hingga ke penghujungnya tanpa meninggalkan satu mukasurat pun. Ini adalah kerana sekiranya pembaca tidak mengamati babak ke babak, pembaca akan putus jalan cerita.

Karya Ramlee kali ini di bahagikan kepada dua segmen iaitu segmen pertama yang berlatar belakangkan cerita realiti di atas bumi dan segmen kedua berlatar belakangkan cerita fantasi di Planet Yuk'kaa. Pembahagian segmen dengan cara teratur ini memudahkan pembaca lebih memahami cerita yang merungkai rahsia yang tersirat satu-persatu.

Rayyan Fantasi mengisahkan Aiddin atau nama sebenarnya Rayyan di Planet Yuk'kaa yang disahkan oleh doktor mengidap barah otak tahap empat mengalami beberapa pengalaman luar biasa dan beliau sering bertanya kepada ayahnya Ibrahim atau nama sebenarnya Mij-Gillion di Planet Yuk'kaa tentang perkara ini dan kenapa beliau mengalami kejadian sedemikian. Ibrahim enggan memberitahu Aiddin perkara sebenar walau pun di desak oleh isterinya Supinah.

Aiddin sering mendengar suara bisikan seorang perempuan yang menakutkan menyuruh Aiddin kembali ke tempat asal beliau iaitu Planet Yuk'kaa kerana penduduk di sana memerlukan beliau sebagai ketua. Aiddin sangat takut dan sering meracau serta bercakap seorang diri. Rahsia demi rahsia terungkai satu-persatu sebaik sahaja Mika dari Planet Yuk'kaa menculik Aiddin dan membawanya pulang.

Penulisan Rayyan Fantasi dengan tagline "Apa yang terfikir... itu ada!" berjaya membawa pembaca ke satu fantasi penuh teka-teki dan saspen. Membaca novel ini membuatkan saya berfantasi dan menggambarkan suasana seperti dalam filem Star Wars. Ramlee sekali lagi membawa para pembaca menulusuri lokasi Kundasang setelah novel Satu Janji. 

Sekiranya anda peminat thriller dan sains fiksyen, Rayyan Fantasi adalah bacaan yang sesuai untuk anda.