Friday 31 October 2008

Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan



Tajuk : Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan
Penulis : Norhalim Haji Ibrahim
Penerbit : Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Tebal : 313
Pengulas : Idros Samsudin

Perkahwinan merupakan amalan yang sangat-sangat dituntut oleh agama. Terdapat du aspek utama dalam sesuatu majlis perkahwinan, iaitu keagamaan dan kebudayaan. Pelaksanaan aspek keagamaan hampir sama dalam kalangan masyarakat yang menganut kepercayaan yang sama. Manakala aspek kebudayaan pula merupakan bahagian yang merealisasikan adat istiadat masyarakat yang melaksanakannya.

Buku ini membincangkan perkahwinan adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan. Perlu diketahui bahawa istiadat perkahwinan yang dijalankan oleh pengamal adat perpatih jelas berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Setiap peraturan dan adat istiadat perkahwinan dalam adat perpatih menampakkan peribadi masyarakatnya. Dalam masyarakat yang mengamalkan masyarakat yang mengamalkan sistem bersuku ini terdapat nilai muafakat dalam melakukan sesuatu perkara. Perkara ini merupakan sendi utama dalam membuat sesuatu keputusan, merangkumi penentuan tarikh perkahwinan dan pembahagian tugas.

Tegasnya, adat perpatih adalah sangat fleksibel dalam aspek tertentu, terutama yang berkaitan dengan kemanusiaan. Dalam upacara perkahwinan, sanak-saudara pengantin, sama ada jauh atau dekat akan menghulurkan bantuan berupa kebendaan mahupun tenaga. Di samping itu, konsep bermuafakat dan kebulatan ini juga telah mewujudkan nilai dan sifat kerjasama, gotong-royong, tolong-menolong dan bantu-membantu antara pengamal adat perpatih.

Konsep muafakat dan kebulatan telah dijadikan peraturan harian yangharus dilakukan dan dipatuhi anggota masyarakat ini. Setiap anggota bertanggungjawab atas kejayaan keseluruhan majlis atau apa jua upacara lain yang dijalankan. Kejayaan sesuatu majlis, bukannya kejayaan individu atau sekumpulan orang tertentu tetapi adalah kejayaan keseluruhan kelompok kekeluargaan. Fenomena tersebut jelas tergambar dalam upacara perkahwinan di Negeri Sembilan.


Semangat tolong-menolong dan kerjasama yang terhasil daripada kebulatan muafakat seluruh ahli secara tidak langsung memberikan suatu ilustrasi tentang masyarakat adat kesatuan serta kesepaduannya. Nilai ini terhasil daripada kekukuhan ikatan kekeluargaannya, baik dari segi darah mahupun perkahwinan. Secara tidak langsung, semangat ini merapatkan ahli-ahli yang "telah renggang" dan mengeratkan lagi ahli-ahli yang telah sedia rapat hubungannya. Dengan demikian, sikap penyayang akan berkembang kepada kelompok kekeluargaan yang lebih luas - ruang, perut dan suku. Akhirnya sikap murni ini merebak kepada masyarakat seluruhnya.

Perkahwinan dalam masyarakat adat perpatih, seperti juga dalam masyarakat lain. Dalam adat perpatih, kepentingannya terletak pada suku isteri. Kekuatan sesuatu suku itu bergantung pada bertambahnya keahlian diperoleh melalui dua proses iaitu kelahiran dan kerkodin (mengambil anak angkat). Namun sesetengah luak, proses kerkodin telah pun diharamkan. Oleh hal demikian, upacara perkahwinan dilihat bukan hanya sebagai penggabungan dua buah keluarga (rumpun dan ruang, perut dan suku) tetapi sebagai proses menambah lagi anggota kelompok kekeluargaan isteri.

Keramaian ahli (kuantiti) sahaja tidak memberi makna kepada kelompok kekeluargaan. Bagi menyeimbangkan kedudukan sesuatu suku dengan yang lain, maka harta atau kekayaan suku juga perlu bertambah. Institusi perkahwinan adalah salah satu cara untuk membanyakkan harta dari luar masuk ke dalam suku. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa upacara perkahwinan dalam kalangan masyarakat adat perpatih, bukan hanya setakat mengadakan perhubungan antara dua individu yang berlainan jantina (kehendak biologi manusia), tetapi juga perhubungan antara kedua-dua kelompok kekeluargaan.

Sumber : Dewan Budaya Oktober 2008