Thursday 30 October 2008

Bimbingan Mencapai Kesempurnaan Ibadah Puasa



Tajuk Buku : Bimbingan Mencapai Kesempurnaan Ibadah Puasa
Penulis : Drs. Abdul Ghani Azmi
Penerbit : Al-Hidayah Publishers
Tebal : 272 mukasurat
ISBN : 983-9188-83-6

Anda sempat berpuasa enam dalam bulan Syawal setelah genap berpuasa dalam bulan Ramadhan? Kalau sudah, alhamdulillah, semoga ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t. Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal, jangan risau sebab kita masih boleh meneruskan ibadah puasa dengan berpuasa sunat mengikut sunnah Rasulullah s.a.w iaitu berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis atau pun berpuasa menurut sunnah Nabi Daud a.s iaitu berpuasa selang sehari.

”Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Daud dan solat yang lebih disukai oleh Allah ialah solat Daud, ia tidur seperdua malam, bangun sepertiganya, lalu tidur seperempatnya dan ia berpuasa satu hari lalu berbuka satu hari.”(Riwayat Bikhari, Muslim, Ahmad dan Nasa’i)
Buku ini sangat baik untuk dijadikan panduan ibadah puasa kerana bagi saya ia cukup lengkap. Dalam bab satu yang bertajuk Peranan dan Keutamaan Puasa Dalam Pembinaan Iman dan Islam diterangkan dengan panjang lebar mengenai kelebihan berpuasa dari sudut rohani dan jasmani. Kelebihan-kelebihan yang dinyatakan disertai dengan dalil al-Qur’an atau hadis.

Dalam bab-bab berikutnya adalah penerangan terperinci mengenai puasa yang dilarang, puasa wajib, puasa kifarat, puasa qadha dan puasa sunat.

Dalil-dalil yang dinyatakan dalam buku ini jelas dan boleh dipercayai serta boleh dikuti tanpa sebarang keraguan. Terdapat beberapa perkara yang saya ragui sebelum ini, saya temui jawapannya dalam buku ini. Antara perkara yang saya ragui ada jawapannya di dalam dalil berikut:

Aisyah r.a. berkata ”Adakalanya Rasulullah s.a.w. mengucup sebahagian isterinya sedangkan beliau berpuasa, lalu Aisyah ketawa.” (Hadith Muttafaq ’Alaih)
Ummu Salamah r.a. berkata ”Adalah Rasulullah s.a.w kedatangan subuh dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh bukan kerana bermimpi, kemudian beliau tidak berbuka puasa dan tidak pula mengqadhanya.” (Hadith takhrij al-Bukhari dan Muslim)
Marilah sama-sama kita perbaiki diri dan mencari ilmu untuk tujuan kesempurnaan ibadah.