Mantera Hitam
Judul : Mantera Hitam
Penulis : Serunai Faqir
Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd.Tebal : 409 mukasurat
ISBN : 978-983-124-406-7
Saya terkedu campur terkejut apabila sahaja menamatkan Mantera Hitam. Terkedu dan terkejut kerana saya merasakan cerita ini tidak ada kesudahannya. Terdapat juga beberapa persoalan yang tidak saya temui jawapannya. Fikiran saya juga agak bercelaru kerana bingung dengan hala tuju cerita yang cuba disampaikan.
Mantera Hitam adalah sebuah penulisan yang cuba menggabungkan pelbagai elemen dalam sebuah karya. Elemen ilmu persilatan yang sentiasa diiringi dengan bunyi gendang, unsur mistik dan kisah alam ghaib disatukan menjadi satu fiksyen fantasi.
Untuk memudahkan pembaca memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis, novel ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian 1 Sebelum Perang dengan Bahagian 2 Setelah Perang. Meskipun terdapat dua bahagian, watak-watak utama dalam novel adalah sama melainkan penambahan watak Tengku Fauzi dalam Bahagian 2.
Mantera Hitam mengisahkan dengan jelas tentang dua kehidupan berbeza iaitu kehidupan alam manusia dan kehidupan alam ghaib. Pertembungan kisah dua alam ini bermula apabila tiga sekawan iaitu Nik, Tunku dan Hizal bermain 'Spirit of the coin' ketika didenda untuk berjaga malam semasa perkhemahan pengakap mereka di Alang Sedayu. Secara tidak sengaja dan dengan perasaan percaya atau tidak, tiga sekawan ini telah berjaya membebaskan Marcel (seekor jin) yang telah dikurung oleh Ali Kilat Remang Senja sejak tahun 1511 lagi.
Bermula dari peristiwa itulah, mereka melalui pengalaman demi pengalaman yang belum pernah mereka alami iaitu yang berkaitan dengan alam ghaib.
Saya catatkan di sini beberapa elemen yang menarik minat saya terhadap Mantera Hitam:
1. Jin digambarkan mempunyai kerajaan dan pentadbiran sendiri sama seperti manusia.
2. Jin juga diceritakan datang daripada pelbagai jenis dan keturunan serta mempunyai rupa bentuk yang berbeza.
3. Teknik OBE (out of body experience) ada disentuh dalam novel ini. Menurut sains, ia dikenali sebagai “autoscopy”. Turut dibincangkan serba sedikit adalah perbezaan OBE dengan NOD (near to death).
4. Saya amat suka pada ayat-ayat “Meskipun begitu, hatinya berasa sedikit gentar melihat keadaan bangunan yang sesak dengan manusia. Semuanya berpakaian aneh baginya. Paling aneh apabila melihat manusia seperti tidak cukup kain. Dia tersengih. Manusia zaman ini lagi teruk dari zaman aku. Rupa-rupanya, mereka sangat daif lagi miskin.”
5. Begitu juga dengan ayat-ayat ini – “Dia menggeleng-geleng mengenangkan betapa bodohnya manusia menghisap asap. Sedangkan itu adalah makanan bangsa mereka...”
6. Kepada kaki pancing, penulis ada juga menyebut petua memancing:
a. Sebelum memancing jangan makan dulu, biarkan perut berlapar.
b. Sebelum mula memancing, baca ayat seribu dinar sebanyak tujuh kali kemudian hembus ke hadapan lalu menepuk air sebanyak tiga kali. Betul atau tidak petua ini, wallahua’alam.
7. Saya menambahkan satu kosa kata yang baharu iaitu “terkernying”. Terkernying bermaksud senyum yang menampakkan gigi (tersengih).
Saya juga dapat mengesan beberapa kesilapan menaip atau susunan ayat yang seperti tidak lengkap yang sedikit mengganggu pembacaan saya. Antara kesilapan tersebut adalah:
1. Ungku sepatutnya Tunku. - mukasurat 52
2. Tungku sepatutnya Tunku . - mukasurat 138
3. “Segala fail dan dokumen sulit yang disimpan oleh seseorang yang ingin ditemuinya itu.” – mukasurat 334. Ayat ini seolah-olah tidak lengkap kerana saya tidak memahami kesinambungan ayat ini dengan ayat sebelumnya.
4. “... diterima oleh dek akal.” – mukasurat 341. Saya berpendapat harus digugurkan salah satu perkataan sama ada “oleh” atau “dek” kerana kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama.
Saya juga sedikit keliru tentang perkara berikut:
1. Kisah kehilangan keris Semerah Adiwira yang dikisahkan disimpan oleh Ungku Omar tapi akhirnya hilang atau ghaib dengan sendiri kerana dikatakan Ungku Omar bukan lagi pemiliknya memandangkan Ungku Omar sudah 20 tahun tidak mempraktiskan silat. Akan tetapi selepas itu dikisahkan pula, tok guru silat Ungku Omar berpesan kepada beberapa orang yang tidak dikenali agar menyerahkan keris tersebut kepada Ungku Omar. Semua ini adalah pada mukasurat 303 hingga 305.
2. Pada mukasurat 346 ada dinyatakan “Kalau sudah dua Namtar dan Tiamat bergabung, apa akan jadi agaknya?”. Sedangkan dikisahkan sebelum itu bahawa Tiamat adalah kembar Namtar. Maknanya, yang dimaksudkan dengan dua Namtar itu adalah Namtar dan Tiamat.
Pada pengakhiran pembacaan saya, saya tidak berjaya menemui jawapan kepada persoalan-persoalan berikut:
1. Adakah Suraya menerima pinangan seorang pemuda dari alam ghaib atau tidak?
2. Apakah kesilapan Pakku sehingga Pakku mengatakan bahawa beliau tidak layak untuk mendapatkan kitab yang menjadi rebutan manusia dan alam ghaib?
3. Siapakah pemilik keris Semerah Adiwira selepas Ungku Omar?
4. Berjayakah dua orang budak yang rohnya terperangkap dalam alam ghaib diselamatkan oleh Suraya, Tengku Fauzi, Nik, Tunku dan Hizal?
5. Apakah kesudahan cerita Pakku, Pak Chu Deris dan Cikgu Hazit yang dikisahkan datang dari zaman dahulu kala?
6. Siapakah yang berjaya mendapatkan kitab yang dikhabarkan menjadi rebutan manusia dan makhluk alam ghaib itu?
Mungkin penulis sengaja membuat pengakhiran dengan membiarkan pembaca berteka-teki kerana penulis ingin membuat sambungan cerita ini dalam novel berikutnya. Namun, pada pendapat saya ada baiknya penulis hanya meninggalkan satu persoalan sahaja yang belum dijawab kerana membaca Mantera Hitam dengan banyak persoalan yang tidak dijawab adalah sangat tidak berbaloi.
Mungkin juga penulis berpendapat adalah tidak wajar menamatkan cerita ini kerana peperangan antara jin dan manusia tidak akan selesai dari masa Allah menciptakan Nabi Adam a.s. sehinggalah hari kiamat. Namun demikian, penulis perlu ingat kebanyakan pembaca novel ini adalah pembaca remaja kerana watak-watak utama di dalamnya adalah watak remaja yang semestinya mempunyai rasa ingin tahu yang sangat tinggi. Oleh itu adalah perlu bagi penulis mengakhiri penulisan Mantera Hitam dengan satu pengakhiran yang akan memberikan impak dan pengajaran yang positif kepada pembacanya.
Sekiranya diolah menggunakan jalan cerita dan skrip yang baik, saya berpendapat Mantera Hitam wajar dibawa ke layar perak seperti Harry Potter kerana Mantera Hitam juga sarat dengan magisnya yang tersendiri.