Judul : Ragam Hias al-Qur’an di Alam Melayu
Pengarang : Dzul Haimi Md. Zain, dll.
Terbitan : Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Halaman : 114
Tahun : 2007
Pengulas : Idros Samsudin
Buku kali ini menyentuh tentang pengkajian sejarah dan penghayatan seni Islam. Bab Pertama daripada lapan bab membincangkan tentang ketidaktentuan disiplin kesenian Islam. Yang ada, cuma himpunan maklumat yang bersifat ensiklopedia dan langsung tidak mempunyai perkaitan dengan kesenian Islam. Hal ini menyebabkan para pengkaji menghadapi masalah melihat kesinambungan fakta.
Bab Kedua menyentuh tentang keunggulan seni Islam. Yang jelas, kesenian Islam yang tinggi nilainya dapat dilihat menerusi senaskah al-Qur’an yang bertarikh kira-kira pada abad ke-8 di Sana’a, Yemen. Kesenian yang terpapar dalam al-Qur’an ini, menjadi kayu ukur dalam membicarakan piawai serta kualiti kesenian Islam pada masa itu. Kemungkinan besar kesenian yang dipaparkan sebelum yang terdapat dalam al-Qur’an itu jauh lebih tinggi nilainya berbanding dengan yang ada pada al-Qur’an yang ditemui di Sana’a, Yemen itu.
Penyebaran Islam ke Nusantara dibincangkan dalam Bab Ketiga. Pada umumnya, para pengkaji menyimpulkan bahawa terdapat tiga teori tentang kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Pertama, Islam datang terus dari Tanah Arab yang merupakan tempat kelahiran Islam. Kedua, Islam datang dari India, dan ketiga Islam datang dari China. Ketiga-tiga teori ini disokong oleh para sejarawan menerusi faktor geografi, politik dan sosioekonomi seperti pelayaran dan perdagangan.
Teori yang menyebut bahawa Islam datang terus dari Tanah Arab disandari pada catatan bahawa orang Arab telah pun melakukan urusan perniagaan dengan negara-negara di sebelah Timur, terutamanya dengan China sejak zaman sebelum Islam lagi.
Aktiviti perdagangan antara orang Arab dengan Asia dan China yang banyak bergantung pada laluan di persekitaran Asia Tenggara telah memungkinkan Islam bertapak. Hal ini disokong oleh faktor geoekonomi yang telah menjadikan Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Indonesia sebagai kawasan laluan pedagang Timur dan Barat. Alam Melayu terletak di antara Lautan Hindi dengan Laut China Selatan, iaitu laluan sempit yang mesti dilalui kapal-kapal yang berulang-alik di antara kedua-dua lautan.
Di samping faktor geografi, kekayaan hasil bumi Asia Tenggara telah menyuburkan aktiviti perdagangan di rantau ini dan membolehkan Islam bertapak dan tersebar. Islam telah dibawa ke daerah ini pada abad ke-7 Masihi oleh orang Islam berbangsa Arab-Farsi yang mencari rempah, kapur barus, dan menyebarkan Islam. Para peniaga dari Semenanjung Arab yang berulang-alik ke Gugusan Kepulauan Melayu pada ketika itu kebiasaannya berkumpul di Pelabuhan Aden sebelum belayar ke Timur. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada peniaga dari selatan Semenanjung Arab, atau dari Yemen malah ramai juga yang berasal dari kawasan tengah, iaitu Hijaz atau lebih tepat Makkah. Mereka bertolak dari Pelabuhan Jeddah melalui Laut Merah hingga ke Aden. Dari sana, mereka menuju ke sebelah timur dan seterusnya ke Kepulauan Melayu. Secara tidak langsung, Islam berkembang di sebelah selatan Semenanjung Arab, terutama dalam kalangan peniaga, sebelum sampai ke Kepulauan Melayu.
Teori kedatangan Islam dari Tanah Arab juga boleh didasarkan daripada kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah menyebut riwayat dalam Hikayat Aceh bahawa Islam telah masuk ke Sumatera Utara sekitar tahun 505 Hijrah (1112 Masihi) dengan kedatangan seorang mubaligh Islam bernama Syeikh Abdullah Arif.
Teori kedua menjelaskan Islam datang dari India. Teori ini diperkenalkan oleh C. Snouch Hurgronje dan disokong oleh Dr. Gonda, Marrion, R.A. Kern, dan lain-lain. Teori ini muncul berdasarkan faktor perdagangan antara India dengan Kepulauan Melayu. Sebagaimana para pedagang Arab, orang India telah sampai ke Asia Tenggara sebelum kelahiran Islam lagi.
Teori kedatangan Islam dari India boleh dirujuk melalui kaedah perjalanan golongan para pedagang ke rantau ini, terutamanya melalui kaedah jalan laut. Terdapat juga pedagang Arab yang melalui jalan laut memulakan perjalanan mereka dari pantai Jeddah menerusi Laut Merah terus ke Aden, selatan Semenanjung Arab kemudian ke Gujerat (India) dan terus ke Gugusan Kepulauan Melayu. Hal ini menyokong teori kedatangan Islam dari India, iaitu berdasarkan kaedah pelayaran dan perjalanan para pedagang itu.
Bab Keempat menyentuh tentang konsep keindahan. Konsep ini perlu dihayati seluruh umat Islam kerana sesuatu yang indah itu membawa ke arah kesempurnaan. Untuk melahirkan sesuatu yang indah, kita dituntut untuk bersabar, taat dan berkeyakinan. Perlu diketahui bahawa, teras kesenian Islam ialah ilmu dan iman. Lantaran itu seseorang pelukis Islam perlulah mempunyai ilmu yang berkaitan dengan seni, iaitu menguasai bahasa tampak sebelum berkarya.
Bab Kelima membicarakan tentang keagungan kesucian al-Qur’an. Dalam bab ini, penulis menyentuh tentang seni hias dalam al-Qur’an. Perlu diketahui bahawa seni hias dalam al-Qur’an membawa maksud segala sesuatu yang dilakukan oleh orang yang menghias manuskrip untuk memperindah al-Qur’an itu. Perkara ini di luar daripada teks al-Qur’an itu sendiri. Dalam erti kata lain, seni hias merujuk kepada aspek-aspek luaran dalam pembentukan sesebuah al-Qur’an berhias. Seni hias al-Qur’an dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu seni hias menyeluruh dan seni hias khusus.
Bab Keenam, menyentuh tentang ragam hias dalam al-Qur’an. Tiga ragam hias disentuh dengan agak mendalam dalam bab ini. Ragam hias tersebut ialah ragam Uthmaniah, ragam Safavid dan ragam Mughal. Ketiga-tiga ragam hias ini memaparkan keindahan yang tersendiri. Yang jelas pada setiap ragam adalah penggunaan warna.
Ragam hias al-Qur’an di alam Melayu, dibentuk dengan panjang lebar dalam Bab Ketujuh, dengan mengemukakan banyak lakaran yang menarik. Faktor yang jelas yang dapat membezakan ragam hias di alam Melayu dengan ragam hias lain ialah faktor warna. Di alam Melayu, warna yang menjadi pilihan ialah warna merah dan emas. Di samping itu, lakaran yang digunakan ringkas, tepat dan bersahaja. Hal ini dilakukan selaras dengan nilai estetika Melayu yang gemar kepada sesuatu yang kelihatan ringkas tetapi berkesan dan tidak terlalu menonjolkan diri.
Sumber : Dewan Budaya Mei 2008