Lagukan Senandung Itu



Judul : Lagukan Senandung Itu
Penulis : Serunai Faqir
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tebal : 311 mukasurat
ISBN : 978-983-62-9609-2

Agak lama untuk saya menghabiskan buku ini. Mungkin kerana kesibukan saya di tempat kerja atau mungkin juga perjalanan cerita Lagukan Senandung Itu yang agak lembab membuatkan saya seolah-oleh kehilangan daya penggerak untuk terus membaca karya ini.

Saya amat bersetuju dengan tema novel ini yang tanpa ragu memperjuangkan seni warisan Melayu yang semakin kehilangan pewarisnya. Waris yang betul-betul menghayati dan menjiwai seni pergendangan Melayu, daripada proses membuat gendang dengan memilih kayu yang sesuai untuk dibuat gendang sehinggalah memainkan irama gendang yang mempunyai rohnya yang tersendiri dengan penuh rasa kecintaan.

Memang saya mendapat semua itu daripada pembacaan Lagukan Senandung Itu. Namun, apa yang saya rasakan kurang adalah penceritaan yang agak tidak menyuntik kecintaan saya untuk terus membaca kerana pada pertengahan novel ini penceritaan seolah-olah jauh daripada maksud asal dan membawa pembaca lari daripada persoalan asal.

Lagukan Senandung Itu mengisahkan seorang wanita bernama Fatimah yang mewarisi seni pergendangan daripada ayahnya. Beliau yang semasa kecil lagi menunjukkan minat yang mendalam untuk bermain gendang dan serunai bukan sahaja mampu bermain dengan baik tetapi juga menjadikan gendang sebagai satu peluang perniagaan bagi tujuan menempatkan seni warisan ini gah bukan sahaja di dalam negara bahkan juga di arena antarabangsa.

Pelbagai dugaan dan cabaran dihadapi oleh Fatimah dalam menempa kejayaan. Paling getir apabila beliau difitnah menggunakan varnis alkohol dalam proses membuat gendang yang beliau bekalkan. Tambah sadis lagi fitnah ini mampu membuatkan pihak Kementerian untuk tidak memilih syarikat beliau iaitu Warisan Bertuah Enterprise sebagai pembekal gendang dalam tender yang baharu sahaja ditutup dan sedang dalam proses pemilihan.

Begitulah lumrah Melayu berniaga, tidak senang untuk melihat orang lain senang. Peniaga Melayu yang berfikiran sempit sering mengambil jalan pintas untuk menjatuhkan pesaing dengan menabur fitnah malahan ada yang sanggup bersekongkol dengan syaitan untuk melakukan perbuatan sihir. Inilah yang menimpa keluarga Fatimah. Atuknya yang dulu merupakan pemain kumpulan gendang Di Raja telah difitnah malahan disantau dek perbuatan dengki melihat kejayaannya.

Namun demikian, Fatimah bukanlah seorang yang mudah menyerah kalah. Berbekalkan dorongan dan sokongan keluarga tercinta serta guru-gurunya yang sentiasa menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan terhadap beliau, beliau memilih untuk 'melawan' dan bertindak dengan cara bijaksana. Doa dan tawakal itulah resipi beliau bagi mengatasi cabaran getir ini.

Alhamdulillah, beliau bukan sahaja berjaya membuktikan beliau tidak bersalah, syarikat beliau juga mendapat penghormatan bagi mewakili negara dalam pertandingan permainan gendang di Korea. Tambah mengujakan lagi apabila pasukan gendang beliau memenangi pertandingan tersebut sekaligus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Bagi Fatimah - tidak perlu menjadi moden untuk berjaya. Menerusi kecintaan terhadap seni warisan tradisional juga kita mampu menjadi wira yang menjulang martabat negara di mata dunia.

Melalui Lagukan Senandung Itu, saya sedikit sebanyak mendapat ilmu tentang pergendangan. Dalam novel ini ada diterangkan jenis-jenis gendang, cara membuat gendang - daripada memilih kayu dalam hutan, merendam bongkah kayu di dalam sungai sehinggalah proses 'menarik' (mengikat) tali gendang. Turut dinyatakan juga satu pasukan gendang lazimnya dianggotai oleh 5 hingga 6 orang dan setiap ahli kumpulan mempunyai alatan muzik masing-masing iaitu gendang ibu, gendang anak, serunai, gong dan selebihnya bermain marakas dan tamborin.

Selain pergendangan, Lagukan Senandung Itu juga mengetengahkan unsur-unsur jampi serapah dan mantera yang digunakan sama ada untuk tujuan perubatan atau sebagai pendorong motivasi ketika hendak memulakan persembahan gendang di khalayak ramai.

Karya ini amat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama yang berbangsa Melayu yang ingin mengenali seni pergendangan dan mereka yang mahu mencari 'roh' Melayu yang sememangnya adalah adat budaya Melayu. Namun harus diingat, sekadar mengetahui sahaja tidak memadai tetapi kita juga harus mengambil inisiatif untuk menghidupkan 'roh' itu agar ia akan terus hidup. Kerana selagi 'roh' ini hidup, tamadun Melayu akan tetap wujud di muka bumi ini.

Berikut, saya catatkan beberapa perkara yang ada disebutkan dalam novel ini yang menarik perhatian saya:

1. Ada disebutkan perbezaan 'cang' dan 'bam' dalam gendang ibu dan gendang anak.

2. Dalam babak Fatimah ditemuramah oleh salah sebuah stesen televisyen, pengarah studio memberi arahan "O.K., audio - standby. All camera - standby for recording, action.", saya sangat suka penulis mengatakan "... tidak bolehkah arahan tersebut diberikan dalam bahasa Melayu? Kalau begini, sehingga dunia kiamat pun bahasa Melayu tidak akan dihormati sesiapa."

3. Saya sangat suka pada kata-kata - "Kita belajar sampai boleh mengajar."

4. Selain daripada yang saya sebutkan di atas (berkenaan gendang), pada mukasurat 53 ada diterangkan dengan terperinci cara-cara duduk ketika memukul gendang.

5. Pada mukasurat 53 juga ada disebutkan cara-cara berlatih untuk meniup serunai. Ada juga disebutkan pada peringkat permulaan, si peniup serunai hendaklah belajar meniup penyedut minuman ke dalam air sebagai latihan mengawal pernafasan.

6. Lagu "Bismillah" adalah nama yang diberikan kepada lagu yang mula-mula dimainkan oleh peniup serunai sebelum memainkan lagu-lagu lain. Lagu ini dapat menjelaskan dengan siapa si peniup serunai tersebut berguru.

7. Terdapat juga petua ketika hendak keluar rumah - " Sebelum keluar rumah pastikan nafas lebih ringan di sebelah kanan, kalau berat tunggu sebentar sehingga lega." dan "Dan jangan lupa juga membaca pelangkah, dengan Fatihah dan ayat seribu dinar".

8. Bukan kahwin sahaja ada ijab dan kabul, dalam menuntut ilmu juga patut ada ijab dan kabulnya agar ilmu tersebut lebih berkat.

9. Ini juga antara ayat yang saya suka - "Kehidupan beragamalah yang menyebabkan kita tidak hidup seperti ayam dan pipit..." - mukasurat 128

10. Ada diceritakan tentang santau. Siapa yang mempelajari ilmu penawar santau, kenalah bersedia untuk disantau oleh tok gurunya. Ada juga disebutkan penawar bagi santau - air kelapa muda dibubuh sedikit garam lalu dibacakan jampi penawar.

11. Terdapat satu bab yang menceritakan kisah Fatimah masuk ke hutan bersama ayahnya untuk mencari kayu yang sesuai untuk dijadikan gendang. Pengkisahan ini sangat menarik sekali terutama sekali kepada mereka yang belum pernah masuk ke dalam hutan secara realitinya, kerana bab ini padat dengan petua-petua yang perlu kita lakukan sebelum masuk dan ketika berada di dalam hutan.

12. Ini pun saya suka - "Askar Melayu Di Raja yang lengkap berpakaian Melayu tetapi bermain alat muzik 'Scottish" bukannya alat muzik budaya Melayu..." - mukasurat 197


Namun demikian, saya keliru dengan dua perkara berikut:

1. Dalam babak Fatimah ditemu ramah dalam studio, ada dinyatakan tentang penonton yang tidak berganjak dari kaca televisyen - "Terangguk-angguk semuanya" - mukasurat 39.

Saya keliru kerana setahu saya Fatimah berada dalam studio lantas macam mana beliau boleh melihat penonton di rumah. Tambahan, temu ramah ini hanyalah rakaman sahaja bukannya program tv secara langsung.

2. Pada mukasurat 188 - "Pernah terjadi, cikgu Ramli membahasakan budak pelayan di hotel ketika bermain di sana." - ayat ini seolah-olah tergantung dan saya tidak dapat memahami maksudnya.

Setakat ini saya sudah membaca dua karya Serunai Faqir. Saya doakan semoga beliau berjaya dalam dunia penulisan sekaligus dapat memertabatkan seni warisan budaya Melayu dan bagi merealisasikan "Takkan Melayu hilang di dunia".

Untuk semangat juang yang diketengahkan dalam Lagukan Senandung Itu, saya berikan lima bintang untuk karya ini.