Sudara
Tajuk Buku : Sudara
Penulis : Arena Wati
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 427
ISBN : 983-62-4080-2
Ulasan :
Pada peringkat permulaan, agak sukar bagi saya membaca Sudara kerana ia disampaikan oleh penulis di dalam bahasa Melayu Indonesia yang sukar untuk saya fahami. Tetapi, lama-kelamaan setelah membacanya berulang-ulang kali, saya mula mengikuti rentak dan berjaya juga menghabiskan pembacaan walau pun ada masanya saya terpaksa membelek semula beberapa segmen sebelum itu bagi meraih pemahaman yang lebih.
Sudara (bermaksud saudara) bagi saya adalah kisah yang mampu membawa kita kembali kepada sejarah. Berasaskan cerita pencarian Raja Hamidah ke atas pasangan caping yang beliau miliki dan pusakai, penulis mampu membawa pembaca meneroka sejarah Melayu Makasar. Usaha Raja Hamidah membuahkan hasil dan berjaya menemui pasangan caping tersebut setelah dipisahkan selama 324 tahun. Kisah pencarian beliau yang hampir menemui jalan buntu tetapi penuh dengan pengembaraan juga diselitkan dengan kisah cinta di antara Raja Hamidah dan Salehuddin yang saya kira untuk mengendurkan emosi pembaca yang agak tegang. Membaca Sudara seperti merasakan bahawa diri saya adalah Raja Hamidah yang merupakan watak utama novel ini.
Sudara sesuai dibaca oleh semua golongan terutama sekali mereka yang menggemari genre 'epik thriller'.