Citra
Tajuk Buku : Citra
Penulis : Arena Wati
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 294
ISBN : 983-62-2266-9
Ulasan :
Sudah terlalu lama saya khatam buku ini namun tidak berkesempatan untuk memberikan ulasan mengenainya. Mungkin para remaja dewasa kini tidak begitu mengenali penulisnya Arena Wati yang juga merupakan Sasterawan Negara yang seangkatan dengan A. Samad Said dan Shahnon Ahmad.
Seingat saya, saya membaca buku ini buat kali pertama kalinya kira-kira 14 tahun lepas ketika saya masih di dalam pengajian tinggi di UTM Skudai, Johor. Walau pun pada ketika itu, kehidupan sebagai pelajar memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian, membeli buku-buku rujukan, peralatan alatulis dan memenuhi keperluan harian, saya paksakan diri juga untuk membeli buku-buku karya Sasterawan Negara semata-mata untuk mengetahui dan menyelami hasil tulisan mereka.
Ternyata komitmen saya di dalam keterpaksaan dan kecintaan saya terhadap buku tidak sia-sia kerana penulisan mereka begitu berkesan sekali. Citra juga adalah di antara buah tangan Arena Wati yang begitu baik menggambarkan kisah perjuangan sekelompok orang Melayu Kuala dan Melayu Pulau yang telah berpecah akibat keberantakan politik dan keadaan ekonomi yang meruncing. Mereka berjuang untuk memartabatkan semula maruah mereka daripada cengkaman orang-orang yang hanya mementingkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata.
Karya yang agak padat dengan kisah kehidupan ini amat bersesuaian dengan semua golongan terutama sekali golongan remaja yang pada ketika ini rata-ratanya begitu leka dengan arus kemodenan tanpa ada rasa keinginan untuk memartabatkan diri, bangsa, agama dan negara.
Membaca Citra membuat saya tersadar bahawa masa depan diri sendiri dan mereka di sekeliling kita sama ada mahu atau tidak adalah bermula daripada diri kita sendiri. Situasi di dalam buku ini seolah-olah bertepatan dengan senario yang kita tengah hadapi kini - percaturan politik, isu pertelingkahan kaum, ketidakstabilan politik dan sedikit kepada pergeseran agama. Adakah kita mampu untuk memulihkan keadaan ini? Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan dia mengubah dirinya sendiri.
Walau pun sarat dengan konflik, Arena Wati turut memaparkan kisah percintaan yang pada saya agak melucukan di antara Bacok dan Jeng Sari. Kisah cinta mereka yang mencuit hati mampu membuatkan pembaca 'berehat' seketika sebelum dibawa semula ke dalam konflik.