Terima Kasih Nudra Syafini





Tajuk Buku : Terima Kasih Nudra Syafini
Penulis : Abdul Ahmad
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 146
ISBN : 983-62-0331-1

Ulasan :

Seingat saya, saya membaca buku ini ketika di Sekolah Rendah dahulu. Novel ini adalah di antara penulisan terawal yang saya baca. Kebetulan saya berkunjung ke Jualan Gudang Dawama pada bulan Julai / Ogos yang lalu, saya terpandang buku ini lantas membelinya untuk koleksi peribadi dan sebagai galakan kepada anak-anak saya untuk membudayakan aktiviti membaca.

Buku yang dipaparkan dengan gaya santai ini amat sesuai dibaca oleh para remaja. Walau pun santai, namun ia penuh dengan pengajaran. Ia mengisahkan kehidupan harian sekumpulan remaja Tingkatan 3 yang mana watak utamanya ialah Nudra Syafini dan Badrul Hisyam. Badrul Hisyam yang baru sahaja berpindah sekolah ke Sekolah Menengah Simpang Sepuluh adalah anak kepada orang kaya dan terkenal dengan kenakalannya mengusik Nudra Syafini. Walau pun Badrul Hisyam hidup dalam kemewahan, Badrul Hisyam miskin didikan agama. Sementara Nudra Syafini yang hidup di dalam serba sederhana tetapi kaya dengan didikan agama.