Tuesday 28 October 2008

The Air Asia Story



Tajuk Buku : The Air Asia Story
Penulis : Sen Ze dan Jayne Ng
Pengulas : Jaafar Abdul Rahim

Buku ini menceritakan kisah penubuhan Air Asia oleh Tony Fernandez yang beralih bidang daripada bidang muzik ke bidang penerbangan. Tony Fernandez yang memegang jawatan Naib Presiden Times Warner Music South East Asia mengambil keputusan nekad menjual saham-saham beliau dengan harga AS$70.00 setiap satu semata-mata membeli Air Asia daripada DRB-Hicom pada 08 Disember 2008 dengan harga RM1.00 bersama dua pesawat Boeing 737-700, jaringan perjalanan yang kecil dengan hutang hampir RM40 juta. Beliau juga terpaksa menyewakan rumahnya untuk membiayai pengambilan Air Asia.

Walau pun ramai yang mengatakan beliau gila tetapi beliau mengambil kata-kata tersebut sebagai cabaran untuk beliau berusaha gigih bagi membuktikan usaha beliau berhasil. Pada ketika itu, beliau yakin bahawa penggunaan kapal terbang oleh rakyat Malaysia akan meningkat melebihi 6%.

Usaha Tony menampakkan hasil apabila Air Asia dilancarkan semula pada Januari 2002 dengan hanya 3 buah pesawat dan dengan kos hanya separuh daripada pesaingnya Malaysia Airlines. Tambang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya RM39.00, lebih murah daripada harga tiket bas iaitu RM40.00. Semestinya orang akan memilih untuk naik kapal terbang!

Selepas tujuh bulan beroperasi, Air Asia mengumumkan berita gembira dalam bulan Disember 2002 apabila memperolehi hasil RM113 juta dengan keuntungan RM19.4 juta dan bilangan penumpang adalah sebanyak 1.1 juta orang.

Hal ini menunjukkan bahawa Air Asia mempunyai formula kejayaan yang berkembang pesat sejak hari pertama operasinya dengan tambang promosi RM1.00. Datuk Tony menyifatkan kejayaan syarikat penerbangan beliau didorong oleh produktiviti kakitangannya dan etika kerja yang diamalkan.

Kejayaan berikut Air Asia adalah dengan termeterainya usaha sama dengan Shin Corporation bagi mewujudkan Thai Air Asia, subsidiarinya yang pertama pada tahun 2003. Thai Air Asia terbang ke Bangkok dari Kuala Lumpur dengan penerbangan sulungnya pada tahun yang sama.


Seterusnya, Air Asia disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada tahun 2004. Pada ketika itu, Air Asia mempunyai 22 perjalanan dari KLIA, lima perjalanan lagi dari Senai, 10 dari Bangkok, kedua-duanya perjalanan dalam negeri dan serantau.

Buku ini menceritakan bagaimana Tony Fernandez melihat peluang dalam industri penerbangan selepas tragedi 11 September 2001. Beliau banyak dibantu oleh para kakitangannya yang berpengalaman dan kos penyewaan pesawat yang turun sebanyak 40% pada ketika itu telah banyak memberi penjimatan kepada Air Asia. Air Asia juga harus bersaing dengan MAS. MAS melancarkan kempen “penjimatan besar” selepas penyusunan semula pada tahun 2004 untuk bersaing dengan Air Asia. Hal ini memaksa Air Asia membuat lokasi semula terhadap KLIA yang menjadi semakin mahal. Namun, selepas beberapa tahun Air Asia bukan sahaja dapat bersaing tetapi juga mampu berdiri gagah dengan ditunjangi barisan pengurusan yang cukup berpengalaman untuk menempuh cabaran dan jalan yang sukar.

Begitulah kisah kejayaan Air Asia di bawah pimpinan Tony Fernandez yang berfikiran kreatif dan radikal.

“Percaya kepada sesuatu yang sukar dipercayai, mimpikan sesuatu yang mustahil. Jangan berkata tidak sebagai jawapan”-Tony Fernandez dalam ceramah beliau tentang wawasan dagang di Singapore Institute of International Affairs (SIIA) pada bulan Ogos 2005.

Sumber : Dewan Ekonomi Februari 2008 Mukasurat 64.