Tajuk Buku : Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan Eksklusif Untuk Avon
Penulis : Redzuawan Ismail @ Chef Wan
Penerbit : Marshall Cavendish Cuisine
Tebal : 88 mukasurat
ISBN : 978-967-3035-06-9
Rasanya demam Syawal masih lagi terasa. Saya bawakan kali ini buku resepi yang saya beli daripada seorang rakan ejen jualan Avon beberapa hari sebelum hari raya. Walau pun tak sempat mencuba resepi biskut yang ada di dalam buku ini tetapi saya tertarik untuk mencuba resepi masakan yang disajikan terutama sekali resepi Laksa Johor yang memang saya cari-cari resepinya.
Pada masa komentar ini ditulis, saya belum lagi berkesempatan mencuba resepi ini kerana saya bercadang untuk mencubanya pada hujung minggu ini. Apa yang saya ingin kongsikan dengan anda semua adalah keistimewaan buku ini yang mengandungi resepi pelbagai biskut, muffin, kek, juadah Ramadhan dan juga 3 resepi minuman mengembalikan tenaga setelah letih berpuasa.
Di antara resepi yang agak menarik adalah Ketam Masala, Tajine Ayam Aicha,Laksa Johor Cik Zah Jais, Pasta Goreng Aneka Rasa, Kaserol Kuetiau Dengan Ikan Tuna, Kerabu Daging Salai Bersama Mangga, Sup Harira Magribi dan Nasi Ulam DiRaja. Menarik kan?
Turut menarik perhatian saya adalah segmen Tip-tip Chef Wan pada helaian terakhir buku resepi ini yang pada saya amat berguna untuk semua.