Igauan Maut
Tajuk Buku : Igauan Maut
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Tebal : 164 mukasurat
ISBN : 983-62-4564-2
Anugerah : Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Dewasa 1992 Anjuran DBP Cawangan Sabah
Ulasan :
Igauan Maut merupakan karya pertama Ramlee Awang Murshid dan merupakan novel beliau yang kedua saya baca selepas novel Aku Darah Anak Malaysia (ADAM). Saya telah membeli buku ini 3 tahun lepas melalui tempahan secara online di Dawama. Pada masa ulasan ini ditulis, novel ini sudah kehabisan stok walhal ramai peminat Ramlee Awang Murshid di luar sana mencari novel ini dan ingin membelinya untuk koleksi peribadi.
Secara peribadi, saya amat berharap agar pihak Alaf21 Sdn. Bhd. dapat mengambil alih penerbitan buku ini untuk memenuhi permintaan yang ada. Saya percaya ramai di antara pembaca yang ingin memiliki novel ini setelah membaca karya Ramlee yang terbaharu iaitu Hijab Sang Pencinta lebih-lebih lagi buku ini berjaya mengungguli carta buku popular MPH dan Popular di dalam kategori cereka.
Igauan Maut merupakan sebuah kisah mendebarkan yang mengisahkan dendam seorang anak terhadap beberapa orang kampung yang bertanggungjawab ke atas kematian kedua ibu bapanya 25 tahun lalu. Penulis berjaya membuatkan pembaca berteka-teki - siapakah dalang di sebalik semua kejadian berbau dendam ini. Melalui pembacaan Iguaan Maut, saya dapat membaca kecenderungan penulisan Ramlee yang menjurus kepada genre ’thriller’ dan suspen. Untuk mengendurkan emosi pembaca, penulis menyelitkan kisah bibit-bibit cinta di antara dua watak utama novel ini. Saya rasa sedikit terkilan kerana penulis tidak mendedahkan ibu bapa sebenar Mizah. Saya kira penulis mempunyai alasan yang tersendiri untuk persoalan tersebut.
Novel ini sesuai dibaca oleh semua golongan terutama mereka yang ingin mengetahui gaya penulisan awal Ramlee Awang Murshid.