Crash Course On Losing Weight - 21 Practical Ways To Look And Feel Better
Tajuk Buku : Crash Course On Losing Weight – 21 Practical Ways To Look And Feel Better
Penulis : Max and Alanna Davis
Juruedit : Larry J. Koenig, PHD
Penerbit : J Countryman A Division of Thomas Nelson Publishers
Bilangan Mukasurat : 175
ISBN : 1-4041-8654-9
Ulasan :
Saya membaca semula buku ini setelah merasakan berat badan saya bertambah setelah berhari raya. Maklumlah berkunjung ke rumah keluarga dan rakan-rakan tidak terlepas daripada menjamah makanan seperti ayam, daging, kek dan biskut raya yang sememangnya mempunyai kalori yang tinggi. Memang tidak dinafikan ada juga rakan-rakan yang mengalami ceret-beret atau pun demam panas setelah 2/3 hari beraya. Mungkin kejutan pada perubahan pemakanan dan faktor perubahan cuaca.
Saya membeli buku ini dalam 2 tahun lepas di KLIA sementara menunggu masa penerbangan balik ke KK. Saya seorang yang berbadan gempal dengan rangka badan yang besar sehingga saya merasakan saya kelihatan hodoh. Saya beberapa kali cuba untuk mengurangkan berat badan namun setiap kali berjaya mengurangkannya akan naik semula setelah ‘lari’ daripada rutin pemakanan yang sepatutnya. Oleh sebab itu, untuk memotivasikan diri saya semula, saya akan membaca buku ini sebagai dorongan untuk saya mendisiplinkan diri di dalam mengambil hidangan makanan harian.
Buku ini ditulis di dalam Bahasa Inggeris yang mudah dan senang difahami oleh sesiapa sahaja yang membacanya. Pengolahan buku ini juga begitu menarik sebab pada setiap bab dinyatakan dengan jelas tip-tip yang berguna menggunakan nombor sehinggalah lengkap 21 tip bagi membantu kita mengurangkan berat badan. Pada setiap akhir bab pula dinyatakan ‘Your To Do List’ sebagai panduan langkah demi langkah program kesihatan yang perlu diikuti. Sebagai pendorong, penulis turut memuatkan cerita sebenar yang dilalui sendiri oleh mereka yang pernah mengikuti panduan kesihatan di dalam buku ini.
Seperti juga sunnah Rasulullah s.a.w di dalam pemakanan, buku ini juga menyatakan bahawa mengambil makanan pada masa yang sepatutnya mengikut sukatan yang diperlukan adalah perlu. Makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, banyakkan minum air serta tambahkan pengambilan serat diikuti dengan senaman yang berterusan adalah kunci kepada usaha menurunkan berat badan. Bagi diri saya, amat sukar untuk mendisiplinkan diri untuk bersenam. Bukannya mencari alasan tetapi itulah realitinya menjadi seorang ibu yang berkerjaya. Namun, saya akan berusaha memberi ruang untuk bersenam atau berekreasi bersama keluarga pada hujung minggu. Sememangnya tidak ada orang lain yang mampu untuk mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri. Apa yang penting adalah keinginan dan usaha untuk mencapai keinginan tersebut.
Daripada 5 bintang saya berikan 5 bintang untuk Crash Course On Losing Weight – 21 Practical Ways To Look And Feel Better.