Monday 6 October 2008

Bedar Sukma Bisu



Tajuk Buku : Bedar Sukma Bisu
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 312
ISBN : 978-983-62-9652-8
Anugerah : Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP


Ulasan :

Sememangnya wajar novel ini memenangi Anugerah Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Ini merupakan karya Faisal Tehrani yang pertama saya baca. Perkataan bedar biasanya digunakan di negeri Terengganu / Pantai Timur Semenanjung adalah merujuk kepada perahu besar sebagaimana gambar pada kulit novel ini.

Membaca novel ini seperti saya membaca karya-karya sasterawan-sasterawan negara tersohor seperti A. Samad Said dan Arena Wati. Sebagaimana karya-karya mereka, Faisal Tehrani juga membawakan mesej perjuangan di dalam penulisan beliau. Bedar Sukma Bisu adalah kisah perjuangan sebuah perniagaan milik bumiputera Islam di Semenanjung Emas. Perniagaan ini dimiliki turun-temurun setelah mengalami kejatuhan yang teruk pada zaman perang dunia kedua tetapi berkat kegigihan pelopornya, perniagaan Bedar Sukma Bisu di dalam arena perkapalan bangkit semula dan berjaya mencipta nama sekaligus membantu menjana ekonomi negara termasuk sektor pelancongan. Bedar Sukma Bisu juga sekali lagi menghadapi saat getir pada tahun-tahun ekonomi meleset sekitar 90-an, namun berjaya bangkit semula dengan strategi perniagaan yang lain iaitu lebih menjurus kepada sektor pelancongan di dalam negeri dan mengetengahkan pelayaran sebagai pakej untuk perniagaan dan juga keluarga.

Apa yang menarik perhatian saya adalah penulis berjaya membincangkan ciri-ciri perniagaan Islam termasuklah ekonomi di dalam Islam itu sendiri. Yang paling saya ingat adalah perbincangan mengenai pembayaran zakat dan cukai pendapatan. Saya juga turut berpendapat bahawa di dalam negara kita yang diisytiharkan sebagai negara Islam sepatutnya orang-orang Islam diwajibkan untuk membayar zakat pendapatan sebagai kontra pembayaran cukai pendapatan. Saya juga turut tertarik dengan perbincangan mengenai tarikan pelancong menggunakan pelayaran mengelilingi Semenanjung Emas yang pada pendapat saya memang cukup bernas dan sepatutnya dilaksanakan bagi menarik lagi pelancong dalam dan luar negara. Kisah ini mengingatkan saya kepada Cruise Muhibbah yang memberikan perkhidmatan pelayaran menggunakan feri satu ketika dahulu.

Selain daripada perbincangan isu-isu ekonomi yang Islami novel ini juga kaya dengan perbendaharaan kata yang pada saya belum saya temui dan jarang digunakan sebelum ini. Perkataan-perkataan seperti segara, pawana, beliku, peredus, melar, galir, cuik dan banyak lagi begitu asing bagi saya sehingga saya merujuk kepada kamus dewan untuk mendapat kepastian maksud perkataan-perkataan tersebut.