Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi



Tajuk Buku : Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi
Penulis : Saifullizan Yahaya
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : H. Ardy

Pengarang merupakan antara karyawan muda yang prolifik dan menonjol dalam persada kesusasteraan tanah air pada hari ini. Menang dalam pelbagai sayembara penulisan membuktikan kemampuannya berkarya. Antologi cerpen ini menampung 20 buah cerpen pengarang yang terhasil sepanjang sedekad. Pengarang menyentuh pelbagai isu dan sisi kehidupan yang berlaku di hadapan mata kita atau yang tidak kita sedari. Antaranya isu kekeluargaan, sosial, budaya, politik, pendidikan, sejarah dan agama.

Cerpen "Lelaki Tua dan Kerusi" merupakan simbolik manusia yang suka menyalahgunakan kelebihan yang dimiliki. Kisahnya berkisar tentang penduduk sebuah kampung yang berupaya menukarkan barangan kepada barangan lain mengikut kesukaan mereka. Antaranya boleh menukarkan batu menjadi emas.

Pengarang dilihat menyenangi dunia persekolahan apabila menghasilkan dua buah cerpen yang menyentuh tentangnya. Cerpen "Amat" menceritakan seorang perajar yang selalu disalah anggap oleh guru lantaran kemiskinannya. Segalanya terbongkar setelah peristiwa tragis menimpa rumah Amat. Cerpen "Cikgu Rizal" pula cuba mengkritik tindakan sesetengah pentadbiran sekolah yang mudah mengambil tindakan buang sekolah tanpa menyiasat punca sebenar.

Pengarang turut memberikan tumpuan kepada bencana yang menimpa rakyat Palestin. Beliau meng­garap dua buah cerpen yang berkaitan dengannya, iaitu "Bertemu Drakula" dan "Intifada”. Cerpen "Bertemu Drakula" merupakan satira tentang Ariel Sharon, sang penyembelih Palestin yang sangat kejam. Cerpen ini padat dengan fakta sejarah. Cerpen kedua menggunakan latar bumi Palestin dan menggambarkan kegigihan rakyatnya memperjuangkan kebebasan.

Sisi agama dan masalah sosial juga turut mendapat tempat dalam antologi ini. Cerpen "Alison@Nur Aidil" mungkin memberikan gambaran tepat tentang ke­rosakan akhlak sebahagian masyarakat hari ini. Cerita ini adalah tentang si isteri yang bertukar kepada agama Islam tetapi masih mengamalkan cara-cara hidup agama asal. Si ayah gagal menyelamatkan anaknya yang berkahwin dengan pemuda yang bukan beragama Islam.

Cerpen "Eh" juga gambaran sebenar yang berlaku pada sisi sosial masyarakat Islam hari ini. Ramli, Koperal yang menuduh orang lain sebagai punca kampung mereka ditimpa bencana tidak sedar bahawa anaknya sendiri melakukan zina.

Sesetengah masyarakat Melayu tidak mengetahui batas-batas dalam mencari rezeki. Mereka tidak menghitungkan yang halal dan yang haram asalkan dapat dijadikan sumber pendapatan. Inilah yang digambarkan pengarang melalui cerpen "Eeh”, kisah lelaki yang memburu babi hutan semata-mata ingin melunaskan hutang. Lama-kelamaan dia menjadi seronok dengan kerjaya itu walaupun ditegur oleh orang kampung. Akhirnya dia ditimpa bencana apabila tertembak anak sendiri ketika sedang memburu di hutan.

Cerpen "Mala Ayu" digarapkan secara simbolik tentang negara yang pernah dijajah oleh bangsa asing. Pengarang menggambarkan tanah air sebagai wanita yang dikahwini oleh empat lelaki, satu demi satu hingga akhirnya berkahwin dengan lelaki bangsa sendiri.

Cerpen-cerpen lain juga tidak kurang menariknya, menyentuh pelbagai perkara yang begitu hampir dengan kehidupan. Pengarang menggunakan pelbagai teknik dan bahasa yang mudah supaya mudah difahami dan dapat diteladani.

Sumber : Dewan Sastera November 2008