Tajuk : Meniti Batas
Penulis : Zulkifli Khair
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Hassan Alias
Kerajaan sentiasa berusaha memperkenalkan hasil industri kampung seperti seni kraf dan makanan ke pasaran antarabangsa. Hasilnya, masyarakat antarabangsa sudah mengenali beberapa produk negara kita. Antaranya termasuklah makanan ringan seperti kerepek pisang atau ubi. Jika sebelum ini kita terbiasa dengan kerepek kentang yang dipek dalam bekas yang cantik, kini kita sudah dapat membeli kerepek ubi atau pisang di dalam bekas yang tidak kurang cantiknya.
Inilah inti pati novel Meniti Batas nukilan Zulkifli Khair yang terhasil melalui Bengkel Perolehan Judul yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama KEPEZI. Sazali, iaitu watak utama novel ini sanggup meninggalkan jawatan tetap kerana ingin mengusahakan perusahaan kerepek ubi. Dia memulakan perniagaannya di pasar malam. Digambarkan Sazali mewarisi sifat ayahnya yang saggup menempuh dugaan dunia perniagaan.
Sazali dilukiskan berperwatakan baik dan patuh kepada suruhan Allah. Dia tidak mudah melenting walupun diperli kerana menjual kerepek, sebaliknya berkobar-kobar ingin membuktikan bahawa dia boleh berjaya. Dia tidak patah semangat walaupun ditipu oleh Saat yang tidak membayar hutang kerepek.
Sazali mengikuti beberapa kursus untuk memantapkan pengetahuan dan kemampuannya dalam perusahaannya. Dia patuh kepada pesanan bapanya bahawa tiada satu perkara pun di dunia ini yang mampu dilakukan dengan cemerlang dan gemilang tanpa bersandarkan ilmu. Dalam salah satu kursus, dia bertemu dengan sahabatnya, Yusuf, salah seorang penceramah.
Daripada pertemuan itu mereka bersepakat untuk bekerjasama memajukan perniagaan kerepek, lalu terhasil jenama Krepeque, keluaran Krepeque Food Industries Sdn. Bhd. Yusuf menjual kereta mewahnya untuk merealisasikan harapan besar mereka. Mereka turut berjaya mendirikan kilang di luar negara.
Digambarkan mereka kerap bercanggah pendapat, namun semuanya diselesaikan melalui perundingan. Contohnya apabila Sazali berhasrat ingin menjual formulasi dan teknologi pembuatan kerepek ubi. Bagi Yusuf, harta intelektual tidak wajar dijual atau didedahkan tetapi bagi Sazali, ilmu mesti dikongsi bersama orang lain apatah lagi sesama Islam. Baginya, persaingan bukan sesuatu yang perlu digeruni.
Kegigihan kedua-dua peniaga ini terus memuncak sehingga mereka berjaya memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat pengeluar makanan antarabangsa. Setelah menakluki Asia, jenama Krepeque akan diusahakan untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat pula.
Perjalanan urusan perniagaan Krepeque Food Industries Sdn. Bhd berjalan dengan lancar hasil persefahaman dan kegigihan mereka. Mereka juga menghadapi konflik dan rintangan dengan tenang.
Pengarang menyulamkan beberapa peristiwa untuk menambahkan rencam dan perisa jalan cerita. Walau bagaimanapun tindakan pengarang menyelitkan terlalu banyak subplot yang tidak relevan dengan dunia perniagaan yang cuba digarap agak mengganggu plot utama cerita ini. Pengarang sewajarnya memaparkan liku sebenar yang biasa dihadapi oleh peniaga industri kecil terutamanya daripada aspek modal dan pemasaran.
Sumber : Dewan Sastera November 2008