Pantun Setia Kasih Untukmu Malaysia




Tajuk Buku : Pantun Setia Kasih Untukmu Malaysia
Penulis : Abang Seruji Abang Muhi
Pengulas : Ani Hamzan

Pantun merupakan tonggak utama dalam sastera lisan yang mendahului syair, gurindam, seloka, dan nazam, malah pantun lebih di­kenali dan popular hingga kini. Terdapat banyak ciptaan baharu dalam penulisan pantun, seperti yang diusahakan oleh Abang Seruji Abang Muhi. Beliau, anak jati Bumi Kenyalang, berjaya menghasilkan 660 rangkap pantun yang bertemakan kesetiaan kepada negara.

Menurut penulis, ilham untuk mencipta pantun­pantun ini lahir di tengah-tengah kesibukan rakyat Sarawak menyambut ulang tahun ke-25 Kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia, sebagai tanda terima kasih atas jasa para pemimpin kerana membawa Sarawak ke puncak kejayaan.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama "Pantun Setia Malaysia" terdiri daripada "Setia Kasih”, "Perjuangan”, "UMNO”, "Gemilang”, "Budi", "Budaya", "Pemimpin", dan "Perpaduan". Bahagian kedua, "Pantun Setia Kasih: Sayang Sarawak" dan bahagian ketiga,”Pantun Setia Negara: Pantun Berkait”.

Kesemua pantun empat kerat yang disajikan dalam buku ini mempunyai unsur nilai estetika yang tinggi, mengekalkan unsur sastera/pantun, unsur sejarah/ legenda, unsur nilai pendidikan/moral/sindiran dan unsur nilai maksud/tujuan. Bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam pantun ciptaannya merupakan bahasa seharian yang mudah difahami oleh masyarakat.

Lebih istimewa lagi pantun yang disajikan dalam buku ini dikawal oleh pengarangnya dengan teliti dan rapi dari segi rima awal, rima tengah, malah antara rima awal, rima tengah dan rima hujung kesemuanya kelihatan serasi.

Pembayang pantunnya juga mempunyai kaitan yang kukuh antara baris pertama dengan baris kedua. Hal ini membuktikan pengarang amat memahami betapa pentingnya pembayang maksud setiap pantun mempunyai ikatan antara baris pertama dengan baris kedua. Contohnya seperti berikut:

Sekapur sirih dibuat bekal,
Pinang seulas di atas peti;
Anyaman kasih hamparan ambal,
Buat mengalas penghargaan kami.

Dalam "Perjuangan” pantun-pantunnya mampu meniupkan semangat juang demi membuktikan kecintaan dan kesetiaan kepada negara dan pertiwi tercinta. Isu bahasa juga menjadi lambang perjuangan yang diungkap oleh pengarang dalam pantunnya, seperti berikut:

Memburu rusa di pinggir paya,
Menahan jerat di rumpun padi;
Satu bangsa satu bahasa,
ltulah matlamat perjuangan kami.


Dalam "Gemilang" pula, pengarang merakamkan kemajuan dan pembangunan tanah air tercinta dan khususnya negeri Sarawak. Melalui rangkap pantunnya, pengarang berjaya memberikan gambaran kegemilangan Malaysia, seperti pantun berikut:

Bunga melur mewangi taman,
Anggerik desa subur di hutan;
Menara Kuala Lumpur tinggi mengawan,
Mercu tanda sepanjang zaman.
Pembaca yang menghayati buku ini akan dapat mengenali sejarah tempatan, di samping nilai budi dan pengajaran yang disisipkan oleh pengarang secara indah melalui bahasa yang indah. Contohnya seperti pantun berikut:

Burung kelit membuat sarang,
Hinggap berdua di pohon padi;
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa belahan hati.
Sumber:Dewan Sastera November 2008