Antologi Cerpen 9!
Judul : Antologi Cerpen 9!
Dicetak oleh : Meteor Doc Sdn. Bhd.
Tebal : 126 mukasurat
ISBN : 9778-983-43262-1-0
Sudah agak lama saya tidak melayani cerpen. Oleh itu, untuk kali ini saya akan membawakan kepada anda Antologi Cerpen 9! yang memuatkan cerpen-cerpen hasil garapan pengarang terpilih Minggu Penulis Remaja (MPR).
Sebanyak sembilan buah cerpen dimuatkan dalam buku ini. Setiap cerpen mempunyai kekuatannya tersendiri. Tiga cerpen yang menjadi pilihan saya adalah Warna-Warni Aidilfitri, Cinta Menyala di Constantinople dan Homo Fabulans Homo Islamicus.
Warna-Warni Aidilfitri karya Saharil Hasrin Sanin disampaikan dalam bentuk yang melucukan dan sedikit gila-gila tetapi mempunyai mesej yang tersendiri. Empat orang individu yang berlainan latar belakang ditemukan dengan pengkisahan tentang warna dan apa pula perkaitan warna tersebut dengan mereka.
Cinta Menyala di Constantinople tulisan Fahd Razy pula banyak dikisahkan melalui surat-surat yang diutus oleh dua orang yang sedang bercinta iaitu Leonidas Simpanis dan Natalya Dimas. Kisah ini membawa kita kembali menyorot sejarah kota Constantinople ditawan oleh tentera Islam. Sungguh menarik lagi bila Leonidas terpikat dengan cahaya Islam lantas memeluk Islam dan tanpa diketahui oleh Leonidas, Natalya juga sebenarnya sudah melafaz dua kalimah syahadah.
Homo Fabulans Homo Islamicus karya Faisal Tehrani mengajak pembaca bersatu dengan penceritaan dengan meletakkan watak utama cerpen ini sebagai ‘Engkau’ walau pun sebenarnya yang dimaksudkan dengan Engkau itu adalah merujuk kepada diri penulis sendiri iaitu Faisal Tehrani yang disebut sebagai FT sahaja dalam cerpen ini. Homo Fabulans Homo Islamicus banyak memperkatakan dan membincangkan tentang idea Islam tsaqafi (kebudayaan) dan juga Islam siyasi. Turut menarik minat saya adalah perbincangan di antara kafir dan bukan kafir dengan golongan yang tertindas dan menindas. Saya belum membaca karya FT Tuhan Manusia tetapi mungkin cerpen ini menggambarkan serba sedikit tentang kandungannya.
Cerpen-cerpen lain yang turut dimuatkan dalam siri ini adalah Elegi Puteri Sa’adong karya Nasriah Abdul Salam, Demi Cintamu Husnil Khatimah karya Zaid Akhtar, Selembar Sejadah di Lantai Madrasah karya Salman Sulaiman, Rumah Nurul Iman karya Ghafirah Idris, Sepaun Daging Hutang karya Nisah Haji Haron dan Teratai karya Amir Mukhriz.